Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

hubal

Soalan: Saya mendapat satu sebaran risalah yang menyatakan bahawa Allah itu adalah berhala Hubal yang asalnya disembahkan oleh masyarakat Arab Jahiliah. Adakah ianya benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Isu ini berlegar di internet sejak dahulu lagi dan menjadi hujah bagi segelintir pihak yang berkepentingan untuk menyebarkan keburukan tentang Islam.

Berhala Hubal

Menurut Ibn Jarir al-Tabari, Hubal adalah berhala terbesar bagi kabilah Quraisy di Mekah. Berhala tersebut terletak di atas telaga dalam Ka’bah. Telaga ini menghimpunkan apa yang dihadiahkan kepada Ka’bah (sebagai sembahan). Pada Hubal terdapat 7 anak panah. (Lihat Tarikh al-Tabari, 2/240)

Ibn Kalbi pula menceritakan dengan lebih terperinci. Menurutnya, Hubal dibuat daripada batu akik merah dalam rupabentuk manusia. Tangan kanannya patah dan para penyembahnya dalam kalangan Arab Quraisy menggantikannya dengan tangan daripada emas. Individu yang bertanggungjawab menjadikannya sebagai sembahan adalah Khuzaimah ibn Mudrikah ibn Ilyas. Berhala ini diletakkan di dalam Ka’bah. Di hadapannya ada 7 buah anak panah. Ditulis di anak panah yang awal perkataan “jelas” dan lainnya perkataan “campuran”. Jika mereka ragu-ragu dengan kelahiran, mereka akan mempersembahkan hadiah kepadanya dan kemudian mengocok anak-anak panah berkenaan.

Jika panah menunjukkan perkataan “jelas”, anak tersebut akan diterima. Jika anak panah menunjukkan perkataan “campuran, anak tersebut tidak akan diterima. Anak panah ketiga adalah berkaitan ramalan kematian. Manakala anak panah keempat berkenaan perkahwinan. 3 batang anak panah lain tidak diketahui fungsinya. Apa jua yang diputuskan oleh anak panah, mereka akan menurutinya dan mengikutinya. (Lihat Kitab al-Asnam, m. 28)

Menurut al-Azraqi, Hubal berasal daripada Hit, di Furat. Orang yang baru sampai daripada perjalanan jauh, kebiasaannya akan menemui ahli keluarga, selepas bertawaf di sekeliling Ka’bah dan mencukur kepalanya di sisi Hubal. (Lihat Akhbar Makkah, 1/117)

Dakwaan Hubal Adalah Allah

Carleton S. Coon dan Robert Morey antara sarjana yang menjadi rujukan mereka yang mendakwa bahawa Allah itu asalnya adalah Dewa Hubal yang juga Tuhan Bulan yang disembah oleh masyarakat Allah Jahiliyyah. Adakah ini benar?

Hakikatnya, tidak ada bukti yang sahih bagi menyokong dakwaan ini kecuali penemuan arkeologi berkaitan berhala Sin yang disembah oleh masyarakat Mesopotamia (sebahagian besar Iraq, Kuwait, bahagian utara Arab Saudi, bahagian timur Syria, timur selatan Turki, dan wilayah-wilayah sepanjang Turki-Syria dan Iran-Iraq) sebelum kedatangan Islam. Bagi masyarakat Sumeria, ia dikenali dengan nama Nanna. Selain daripada nama berkenaan, ia juga mempunyai nama-nama lain yang bergantung kepada fasa-fasa bulan. Nanna lebih merujuk kepada simbol bulan penuh manakala bagi bulan sabit, ia dikenali dengan nama Su-En / En- Zu yang dikemudiannya dikenali sebagai Sin. (Lihat The Treasures of Darkness: A History of Mesopotamian Religion, m. 121).

Tidak ada bukti yang masyarakat Arab menyamakan Allah dengan Hubal. Sebaliknya, mereka membezakan keduanya.

Pertama: Ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith daripada al-Barra’, beliau berkata:

لَقِينَا المُشْرِكِينَ يَوْمَئِذٍ، وَأَجْلَسَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَيْشًا مِنَ الرُّمَاةِ، وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ عَبْدَ اللَّهِ، وَقَالَ: «لاَ تَبْرَحُوا، إِنْ رَأَيْتُمُونَا ظَهَرْنَا عَلَيْهِمْ فَلاَ تَبْرَحُوا، وَإِنْ رَأَيْتُمُوهُمْ ظَهَرُوا عَلَيْنَا فَلاَ تُعِينُونَا» فَلَمَّا لَقِينَا هَرَبُوا حَتَّى رَأَيْتُ النِّسَاءَ يَشْتَدِدْنَ فِي الجَبَلِ، رَفَعْنَ عَنْ سُوقِهِنَّ، قَدْ بَدَتْ خَلاَخِلُهُنَّ، فَأَخَذُوا يَقُولُونَ: الغَنِيمَةَ الغَنِيمَةَ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: عَهِدَ إِلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لاَ تَبْرَحُوا، فَأَبَوْا، فَلَمَّا أَبَوْا صُرِفَ وُجُوهُهُمْ، فَأُصِيبَ سَبْعُونَ قَتِيلًا، وَأَشْرَفَ أَبُو سُفْيَانَ فَقَالَ: أَفِي القَوْمِ مُحَمَّدٌ؟ فَقَالَ: «لاَ تُجِيبُوهُ» فَقَالَ: أَفِي القَوْمِ ابْنُ أَبِي قُحَافَةَ؟ قَالَ: «لاَ تُجِيبُوهُ» فَقَالَ: أَفِي القَوْمِ ابْنُ الخَطَّابِ؟ فَقَالَ: إِنَّ هَؤُلاَءِ قُتِلُوا، فَلَوْ كَانُوا أَحْيَاءً لَأَجَابُوا، فَلَمْ يَمْلِكْ عُمَرُ نَفْسَهُ، فَقَالَ: كَذَبْتَ يَا عَدُوَّ اللَّهِ، أَبْقَى اللَّهُ عَلَيْكَ مَا يُخْزِيكَ، قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: اعْلُ هُبَلُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَجِيبُوهُ» قَالُوا: مَا نَقُولُ؟ قَالَ: " قُولُوا: اللَّهُ أَعْلَى وَأَجَلُّ "

Kami menemui orang musyrikin pada hari tersebut (Perang Uhud). Nabi SAW telah meletakkan sepasukan pemanah dan mengarahkan Abdullah (bin Jubair) sebagai ketua mereka dan bersabda: ‘Jangan tinggalkan tempat ini. Jika engkau melihat kami menawan musuh, jangan tinggalkan tempat ini. Jika engkau melihat mereka menawan kami, jangan menolong kami.’ Maka, apabila kami berhadapan dengan musuh, aku melihat para wanita (musuh) berlarian sehingga nampak perhiasan gelang di kaki-kaki mereka dan betis-betis mereka kerana mereka mengangkat pakaian mereka. Maka mereka berkata: Rampasan perang! Rampasan perang! Maka ‘Abdullah berkata: Nabi SAW telah menerima janjiku untuk tidak meninggalkan tempat ini.’ Tetapi sahabat-sahabatnya menolak. Apabila mereka menolak, Allah telah mengelirukan mereka supaya mereka tidak tahu hendak ke mana, dan mereka diuji dengan 70 orang terbunuh. Abu Sufyan naik ke tempat yang tinggi dan berkata: ‘Adakah Muhammad ada dalam kalangan kaum?’ Nabi SAW berkata: ‘Jangan jawab persoalannya.’ Abu Sufyan bertanya, ‘Adakah anak Abu Quhafah ada dalam kalangan kaum?’ Nabi SAW berkata: ‘Jangan jawab persoalannya.’ Abu Sufyan bertanya, ‘Adakah anak al-Khattab ada dalam kalangan kaum?’ Beliau menambah, ‘Kesemuanya telah dibunuh kerana jika mereka hidup, pasti mereka akan menjawab.’ Umar tidak dapat bertanya dan berkata, ‘Engkau penipu! Wahai musuh Allah! Allah telah menyimpan apa yang akan membuatkan engkau bersedih. Kata Abu Sufyan, ‘Hidup Hubal!’ Sabda Nabi SAW kepada para sahabatnya: ‘Jawablah kenyataannya.’ Mereka bertanya, ‘Apa yang perlu kami jawab?’ Nabi SAW bersabda, ‘Katakanlah Allah lebih Tinggi dan lebih Agung!’…”

(Riwayat al-Bukhari, no. 4043)

Jawapan Nabi SAW sendiri sudah membuktikan bahawa Allah SWT dan Hubal dibezakan dan tidak dianggap sebagai Tuhan yang sama.

Kedua: Apa yang dilakukan oleh Nabi SAW semasa pembukaan Kota Mekah adalah menghancurkan kesemua 360 buah berhala di Ka’abah dan ia termasuk dengan Hubal. Daripada Ibn Mas’ud RA:

دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ، وَحَوْلَ البَيْتِ سِتُّونَ وَثَلاَثُ مِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعُنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ، وَيَقُولُ: " {جَاءَ الحَقُّ وَزَهَقَ البَاطِلُ، إِنَّ البَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا} [الإسراء: 81]، {جَاءَ الحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ البَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ} [سبأ: 49]

Maksudnya: “Nabi SAW memasuki Mekah dan di sekeliling Ka’bah terdapat 360 buah berhala. Baginda kemudiannya menghancurkannya dengan tongkat yang berada di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 4720)

Disebutkan di dalam al-Sirah al-Halabiyah, dalam satu riwayat, Nabi SAW mendatangi Hajar al-Aswad, menyentuh dan menciumnya kemudian bertawaf di sekeliling Ka’bah. Pada tangannya terdapat busur panah dan Baginda menuju ke sisi Ka’bah yang terdapat Hubal, berhala yang menjadi tumpuan sembahan orang Arab Quraisy. Baginda mencucuk kedua mata Hubal dengan busurnya dan berkata: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik)”. Maka, hancurlah Hubal di tangan Nabi SAW. Melihat hal tersebut, al-Zubair bin al-‘Awwam berkata kepada Abu Sufian: “Telah hancur Hubal. Tidakkah kamu ketika berlaku Perang Uhud dalam keadaan tertipu, iaitu tatkala kamu menyangka bahawa Hubal akan memberikanmu kemenangan?” Abu Sufian membalas, “Biarkanlah ia berlalu, wahai Ibn al-‘Awwam. Sesungguhnya aku telah melihat, sekiranya bersama Tuhan bagi Muhammad SAW itu tuhan yang lainnya, nescaya ada selain dari yang ada itu. (al-Sirah al-Halabiyah, 3/123)

Oleh itu, tidak timbul lagi Hubal itu adalah Allah SWT yang sebenar kerana Nabi SAW sendiri telah menghapuskannya bersama-sama 360 buah berhala yang lainnya.

Kesimpulan

Hubal adalah berhala yang tidak ada kaitannya dengan Allah SWT. Cubaan sebahagian orientalis untuk menyamakan kedua-duanya jauh sekali daripada fakta yang sebenar.

Seorang sejarawan Arab, Muhammad Daruzah dalam ‘Asr Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam wa Bi’atuhu Qabla al-Bi’thah berpendapat bahawa sebahagian bangsa Arab sebelum Islam mengakui adanya Tuhan sebagai pencipta langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, mengatur dan menguasai alam semesta, menghidupkan dan mematikan, serta memberi rezeki manusia dan mengutus para nabi. Sebahagian bangsa Arab yang lain pula mengakui adanya Allah SWT, dan dalam masa yang sama mereka juga menyembah dan berdoa pada berhala-berhala sebagai perantara.

مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Maksudnya: Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya",”

(Surah al-Zumar: 3)

Semoga pencerahan ini memberikan kita kefahaman dalam meneliti kisah-kisah yang disebarkan, apatah lagi bertujuan memburukkan Islam.