Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

puja

 

Soalan: Penduduk kampung saya mengadakan penyembelihan lembu dan kambing kemudian bangkainya dihanyutkan ke laut. Mereka berpendapat bahawa ia menyelamatkan mereka daripada penunggu laut. Adakah amalan ini ada dalam Islam?

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pesta Puja Pantai atau juga dikenali sebagai Menjamu Hantu Laut, atau Menyemah Pantai, merupakan satu upacara popular yang dilakukan oleh golongan petani dan nelayan di Pantai Timur, terutamanya di Kelantan dan Terengganu sebelum musim menangkap ikan, pada zaman dahulu.

Seekor kerbau balar (putih) biasanya disembelih dan dihanyutkan ke laut bagi menenangkan semangat laut atau juga dikenali sebagai hantu air agar tidak membahayakan para nelayan ketika mereka menangkap ikan. Pesta Puja Pantai ini biasanya berlangsung selama beberapa hari dan penduduk pelbagai kampung akan riuh-rendah mendirikan khemah dan pentas pelbagai permainan.

Perkhemahan di tepi laut ini dahulunya diadakan selepas musim menuai, sekitar Mac. Pesta Pantai ini pada asalnya diadakan bersama semangat memuja pantai dengan membuang semah (kepala kerbau) ke laut untuk mendapat restu hantu laut agar memudahkan usaha menangkap ikan. Pesta Puja Pantai ini adalah bagi menolak bala kerana semasa musim tengkujuh di negeri pantai timur, air dari laut lepas mengulung sebagai gelombang-gelombang besar yang menghalang kegiatan mereka ke laut. Musim hujan ini diikuti pula musim angin kencang, tetapi tanpa hujan lebat, Januari dan Februari yang masih menghalang kegiatan menangkap ikan, lebih-lebih lagi ramai di antara mereka menggunakan perahu-perahu kecil sahaja. (Lihat Festivals of Malaya, m. 15)

Setiap sembelihan wajib diniatkan kerana Allah SWT. Sekiranya sembelihan itu kerana berhala, seseorang Muslim atau Nabi, tidak halal sembelihan itu. Firman Allah SWT:

وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ

“…dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah”

(Surah al-Maidah: 3)

Samada ia disembelih kerana yang lain dari Allah SWT, mahupun disebutkan nama selain dari nama Allah semasa menyembelih binatang tersebut. Firman Allah SWT,

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ (163)

Maksudnya: “Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".

(Surah Al-An’am: 162-163)

Mulla Ali al-Qari sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Hassan Ayyub (Lihat Tabsit al-‘Aqa’id al-Islamiyyah, m. 168) berkata, “Tidak dibolehkan meminta pertolongan dengan jin. Sesungguhnya Allah SWT telah mencela orang-orang kafir yang melakukan perbuatan itu. Beliau seterusnya menukilkan firman Allah SWT,

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَامَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الْإِنْسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الْإِنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-An’am: 128)

Ibn al-Qayyim berkata, “Sesiapa yang menyembelih korban kerana syaitan dan memohon pertolongan darinya serta mendekatkan diri kepadanya sepertimana yang dilakukannya, maka dia adalah hamba syaitan. Ini tidak dinamakan sebagai ibadah bahkan dia dipergunakan (oleh syaitan)…” (Lihat Bada’i al-Fawa’id, 2/235-236)

Kesimpulannya, amalan ini adalah haram dan termasuk dalam perbuatan yang syirik kepada Allah SWT. Sebarang sembelihan yang dibuat untuk mendekatkan diri kepada selain dari Allah SWT adalah haram dan cabang daripada syirik. Wallahu a’lam.