Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+

gereja.jpg

 

MUKADDIMAH

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Isu berkenaan had batas penghormatan kepada agama lain di dalam rumah ibadat di Malaysia merupakan isu yang selalu diutarakan kepada kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Lebih-lebih lagi, isu ini timbul dan hangat diperkatakan oleh masyarakat awam. Bahkan tidak kurang hebat bagi mereka yang memperdebatkan di dalam laman sosial. Situasi ini secara tidak langsung menggugat perpaduan kaum dan memberi impak kepada keharmonian dan keamanan negara yang telah sekian lama terpelihara. Agama Islam mengajar agar ummahnya berkenal-kenalan dan menghormati di antara satu sama lain sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah Al-Hujurat, 13)

Ekoran daripada permasalahan ini, kami terpanggil untuk mengupas isu berkenaan menerusi kolum Bayan Linnas Siri ke-152 dengan tajuk “HAD DAN BATAS PENGHORMATAN KEPADA AGAMA LAIN DI DALAM RUMAH IBADAT MEREKA DI MALAYSIA”. Semoga pencerahan ini mendapat kesefahaman yang baik kepada kita semua.

 

PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang aman dan damai di samping masyarakatnya yang berbeza bangsa, agama dan budaya. Merujuk kepada statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2018) jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia adalah seramai 32 juta orang. Jumlah tersebut adalah merangkumi kesemua bangsa yang berada di Malaysia termasuk 3 bangsa utama iaitu Melayu, India dan Cina. Dalam mengekalkan suasana perpaduan ini, di samping persekitaran masyarakat majmuk dan berbilang bangsa, menjadi tangungjawab kepada pihak kerajaan untuk memainkan peranan dalam menjaga kesefahaman dan perpaduan warganegara Malaysia. Kesefahaman dan perpaduan masyarakat yang terbina, secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian dan keamanan Malaysia seterusnya menjadi model ikutan oleh negara-negara lain.

Di Malaysia, agama Islam merupakan agama persekutuan. Namun begitu, tidak menjadi halangan bagi tiap-tiap warganya yang bukan beragama Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka sama ada Buddha, Hindu, Kristien, Sikh, Animisme, Taoisme, Konfiusme dan sebagainya. Hal ini jelas telah dinyatakan di dalam Undang-undang Malaysia (rujuk Perlembagaan Persekutuan, fasal 11). Begitu juga prinsip ajaran agama Islam yang tidak memaksa mana-mana penganut agama lain untuk menganut agama mereka. Hal tersebut termaktub di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Baqarah; 256)

Penanda jati diri manusia terutama rakyat Malaysia ialah agama. Maka atas sebab itu, kerajaan Malaysia memperuntukkan prinsip Rukun Negara yang pertama dengan “Kepercayaan kepada Tuhan”. Justeru tidak hairanlah bahawa jika agama yang dianuti diperlekehkan, maka akan ada pertumpahan darah yang berlaku selepas itu. Jika dilihat kepada sejarah bagaimana kesan peristiwa 13 Mei 1969 yang meragut banyak nyawa rakyat dan sebagainya.

Di Malaysia, masyarakat yang berbilang bangsa menganuti agama yang pelbagai. Berikut merupakan statistik agama-agama di Malaysia; Muslim: 63%, Budhha: 19.8%, Kristian: 9.2%, Hindu: 6.3%, Taoism, Konfusian dan agama tradisional masyarakat Cina: 1.3% dan lain-lain: 0.4%

Perpaduan dan saling hormat-menghormati menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan damai. Keadaan ini dapat dikukuhkan lagi dengan berlakunya toleransi yang baik diantara agama kerana ia merupakan elemen yang amat sensitif bahkan dianggap sebagai maruah bagi sesebuah bangsa. Jika timbul isu yang berkaitan agama, maka ia perlu ditangani secara bijaksana supaya tidak ada persengketaan yang berlaku. Bahkan Islam mengajar umatnya untuk saling hormat-menghormati di antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

(Surah Al-An’am; 108)

Amalan ini juga dapat dilihat apabila ada pemimpin-pemimpin masyarakat di Malaysia yang mengamalkan toleransi dalam menghormati agama lain. Contohnya, Almarhum Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz pernah melawat gereja Katholik Asssumption, Jalan Asunta pada Januari 2010. Begitu juga Tun Mahathir pernah mengadakan pertemuan bersama Pope John Paul pada tahun 2002.[1] Pada 3 Oktober 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat sebuah kuil.[2] Ini menunjukkan bahawa adanya sikap toleransi yang jauh daripada sifat kebencian dan permusuhan.

Di peringkat dunia pula, jelas menunjukkan bahawa Syeikh al-Azhar, Professor Dr. Ahmad Tayyib telah melakukan lawatan ke Gereja Vatican di Rom untuk menunjukkan Fiqh al-Ta’ayush terhadap agama lain. Pertemuan tokoh-tokoh agamawan Islam dengan bukan Islam sudah berlangsungan sekian lama seperti Saidina Umar dengan Sofronius di Gereja al-Qiyamah, Baitul Maqdis. Begitu juga tindakan yang dibuat oleh Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih.

Namun demikian, sebagai penganut beragama Islam, kita dituntut agar sentiasa menjaga dan memelihara jati diri sebagai seorang muslim. Selagi mana pergaulan kita dengan bukan Islam tidak melampaui batas-batas yang digariskan agama, maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk kita menyantuni mereka kerana itu sememangnya menjadi karakter agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keamanan dan keharmonian beragama. Hanyasanya apa yang penting adalah memahami tanggungjawab kita sebagai seorang muslim sepertimana yang akan dibahaskan dalam subtopik berikutnya.

 

BATAS-BATAS ANTARA KUFUR DAN IMAN

Sebagai seorang Muslim yang telah memahat janji dengan penuh keyakinan dalam ungkapan syahadah, menjadi suatu kewajipan untuk terus beristiqamah dalam memelihara segala tuntutannya. Dengan itu, seseorang akan tetap dianggap sebagai Muslim selagi mana tidak terjebak ke dalam apa jua bentuk kekufuran. Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mengetahui batas-batas antara iman dan kufur sebagaimana yang dijelaskan dalam nas-nas syarak.  

Menurut Ibn Manzur, kata al-kufr (الكفر) asalnya bermakna “تغطية الشيء” (menutup sesuatu sehingga tidak nampak). Al-Laith mengatakan, “Orang kafir dinamakan kafir kerana kekafirannya telah menutupi hatinya.” (Lihat Lisan al-Arab, 5/144-145)

Menurut Ibn Hazm, kafir dalam perkara agama adalah mengingkari salah satu di antara perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk diimani setelah ditegakkan hujjah kepadanya, iaitu dengan sampainya kebenaran kepada yang bersangkutan, baik pengingkarannya dengan hati sahaja, dengan lisan sahaja, atau dengan kedua-duanya. Kekufuran boleh terjadi kerana dia melakukan sebuah tindakan yang menurut syariat dapat mengeluarkan pelakunya dari keimanan. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 1/49-50)

Pada asasnya, seseorang masih dikira Muslim sekiranya memenuhi ciri-ciri sebagaimana disebut dalam sebuah hadis, daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ

MaksudnyaSesiapa yang bersolat seperti solat kita, menghadap (sebagaimana kita menghadap) ke kiblat kita, makan (sebagaimana kita makan) sembelihan kita, maka dia adalah Muslim. Baginya jaminan Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (391)

Imam al-Nawawi berkata:

وَاتَّفَقَ أَهْلُ السُّنَّةِ مِنَ الْمُحَدِّثِينَ وَالْفُقَهَاءِ وَالْمُتَكَلِّمِينَ عَلَى أَنَّ الْمُؤْمِنَ الَّذِي يُحْكَمُ بِأَنَّهُ مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَةِ وَلَا يُخَلَّدُ فِي النَّارِ لَا يَكُونُ إِلَّا مَنِ اعْتَقَدَ بِقَلْبِهِ دِينَ الْإِسْلَامِ اعْتِقَادًا جَازِمًا خَالِيًا مِنَ الشُّكُوكِ وَنَطَقَ بِالشَّهَادَتَيْنِ

Maksudnya: Ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah daripada kalangan ahli hadith, fuqaha’ dan mutakallimin telah bersepakat bahawa seorang Mukmin yang dihukum ahli qiblat - di mana dia tidak kekal dalam neraka- tidak terjadi perkara itu melainkan dia orang yang benar-benar memiliki keyakinan yang pasti terhadap agama Islam, bersih daripada sebarang keraguan dan dia pun telah (jelas) mengucapkan dua kalimah syahadah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim1/149)

Imam al-Tahawi Rahimahullah berkata:

وَنُسَمِّي أَهْلَ قِبْلَتِنَا مُسْلِمِينَ مُؤْمِنِينَ، مَا دَامُوا بِمَا جَاءَ بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَرِفِينَ، وَلَهُ بِكُلِّ مَا قَالَهُ وَأَخْبَرَ مُصَدِّقِينَ

Dan kami menamakan ahl al-Qiblah sebagai muslimin dan mukminin selama mana mereka mengiktiraf dan membenarkan apa yang dibawa dan dikhabarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/432)

Imam Ibn Abi al-'Izz al-Hanafi ketika mensyarahkan kata-kata Imam al-Tahawi menyebut: “Dalam kata-katanya ini, Syeikh al-Tahawi memberitahu bahawa Islam dan iman adalah satu dan seorang Muslim tidak keluar dari Islam disebabkan melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya.

Maksud ahl al-qiblah ialah orang yang mengaku sebagai Islam dan menghadap ke Ka’bah sekalipun daripada kalangan orang yang suka mengikut hawa nafsu atau daripada kalangan ahli maksiat selagi dia tidak mendustakan sesuatu daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyah oleh Ibn Abi al-'Izz al-Hanafi, 2/78)

Imam al-Tahawi turut berkata:

وَلَا نُكَفِّرُ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَةِ بِذَنْبٍ، مَا لَمْ يَسْتَحِلَّهُ، وَلَا نَقُولُ لَا يَضُرُّ مَعَ الْإِيمَانِ ذَنْبٌ لِمَنْ عَمِلَهُ

Kami tidak mengkafirkan seorang pun dari ahl al-Qiblah yang melakukan dosa selagi mereka tidak menghalalkannya, namun kami tidak mengatakan bahawa iman tidak terjejas bagi orang yang melakukan dosa. (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/432)

وَلَا يَخْرُجُ الْعَبْدُ مِنَ الْإِيمَانِ إِلَّا بِجُحُودِ مَا أَدْخَلَهُ فِيهِ

Seseorang itu tidak terkeluar daripada iman melainkan jika dia mengingkari perkara-perkara yang memasukkannya ke dalam keimanan (pengakuan tauhid dan perkara yang diketahui sebagai asas agama). (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah tahqiq al-Arnauth, 2/458)

Perkara yang memasukkan seseorang dalam keimanan ialah membenarkan dalam hati dengan teguh, akur dengan penuh mendalam dan penyerahan hati terhadap apa yang diturunkan Allah dan diwahyukan kepada rasul-Nya. Maka ucapan tauhid adalah merupakan bukti terhadap perkara tersebut. (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 953)

Ini menunjukkan, syarak tidak semudah itu untuk mengeluarkan seseorang daripada daerah keislaman. Imam al-Ghazali mengatakan, setiap hukum syarak diketahui menerusi sumber asal syarak atau ijmak atau qiyas. Demikian juga bagi menentukan kekufuran seseorang, ia juga diketahui menerusi sumber asal syarak atau qiyas kepada asalnya. Asal yang muktamad adalah sesiapa yang membohongi Rasulullah SAW maka ia kafir. (Lihat al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 156) Di tempat lain al-Ghazali mengatakan, penjelasan mengenai apa yang mengkufurkan dan apa yang tidak mengkufurkan memerlukan penerangan yang panjang lebar bagi menyenaraikan pendapat setiap kumpulan berserta syubhatnya. (Lihat Faysal al-Tafriqah Bayn al-Islam wa al-Zandaqah, hlm. 88-89)

Berdasarkan perbahasan di atas, dapat difahami bahawa membincangkan batas-batas iman dan kufur perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Ini penting agar tiada mana-mana pihak yang tersalah faham sehingga terjebak ke dalam sikap melampau. Sama ada terlampau ekstrem dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau terlampau liberal sehingga mengharuskan apa jua bentuk kekufuran yang dilakukan.

 

Perkara-perkara yang Boleh Mengkafirkan

Haji Said Haji Ibrahim, bekas mufti negeri Sabah dalam bukunya Aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah menyebut berkenaan perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang yang beriman terkeluar daripada agama Islam dan menjadi kafir, antaranya:

  • Ingkar kepada perkara-perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, seperti mengingkari ba’ath (bangkit dari kubur), hisab (dihitung amal ibadat – buruk atau baik), mizan (timbangan), sirat (titian di atas neraka), syurga, neraka, dan lain-lainnya daripada perkara-perkara yang ghaib.
  • Ingkar akan sesuatu ayat yang ada di dalam al-Quran, kerana semua ayat al-Quran yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW itu adalah wahyu Allah (kalam Allah SWT), di mana seseorang yang ingkar akan sesuatu ayat daripada ayat-ayat al-Quran itu adalah bermakna mereka telah mendustakan Rasulullah SAW yang menyebabkan seseorang itu menjadi kafir.
  • Ingkar akan sesuatu hukum yang didapati dalil dan nasnya di dalam al-Quran atau al-Sunnah, seperti ingkar hukum wajib sembahyang, atau wajib zakat, atau ingkar hukum haram zina dan seumpamanya. Sebaliknya, tidak menjadi kafir jika seseorang itu ingkar akan sesuatu hukum yang tidak masyhur di dalam Syariat Islam, dan tidak diketahui hukumnya, kecuali ulama-ulama sahaja yang mengetahuinya.
  • Ingkar kerasulan rasul-rasul atau kenabian nabi-nabi yang disebutkan di dalam al-Quran bahawa mereka itu adalah rasul-rasul Allah dan nabi-nabi-Nya, atau mencerca salah seorang daripada rasul-rasul dan nabi-nabi dengan cercaan yang tidak layak bagi mereka yang dipilih Allah sebagai seorang rasul dan nabi.
  • Ingkar mukjizat al-Quran yang berkekalan hingga ke hari Qiamat, kerana mukjizat al-Quran itu telah sabit dengan wahyu Allah SWT dan telah melemahkan kafir-kafir Quraisy untuk meniru bahasa al-Quran yang terserlah keindahan susunan dan jalan bahasanya.
  • Memperolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu hukum yang sudah jelas diketahui dalam agama Islam, dan disebutkan nasnya di dalam al-Quran, di mana mereka yang melakukan perbuatan tersebut bermakna mereka memperolok-olok dan mengejek-ejek Allah dan Rasul-Nya, dan kitab-kitab-Nya atau memperolok-olok dan mengejek-ejek orang-orang yang beriman dengan sebab keimanan mereka itu.
  • Melahirkan kebencian dan kemarahan ketika menyebut dan mengingati Allah dan rasul-Nya, atau ketika dibacakan ayat-ayat al-Quran, atau membincangkan sesuatu hukum agama, atau ketika berdakwah bersabit dengan agama Islam. (Lihat buku Aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah, hlm. 343-347)

 

Keadaan yang Boleh Menyebabkan Kekafiran

  • Kufur dengan Niat/ I’tiqad

Allah SWT berfirman:

بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ الْحَقَّ ۖ فَهُم مُّعْرِضُونَ

Maksudnyabahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.

(Surah al-Anbiya’: 24)

Sesiapa yang berpaling dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW daripada Allah SWT, dengan cara memalingkan hatinya daripada beriman terhadapnya atau memalingkan anggota badan dari mengamalkannya, bererti dia kafir kerana penentangannya itu. (Lihat al-Madkhal, hlm. 156)

  • Kufur dengan Perkataan atau Ucapan

Allah SWT berfirman:

قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ﴿٦٥﴾ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ

MaksudnyaKatakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.

(Surah al-Taubah: 65-66)

Imam al-Syafi’e ketika ditanya berkenaan seseorang yang mengejek atau mempersendakan sesuatu daripada ayat-ayat Allah, beliau mengatakan bahawa dia telah kafir dengan berdalilkan ayat di atas. (Lihat al-Sharim al-Maslul, 3/956)

Allah SWT juga berfirman:

مَن كَفَرَ بِاللَّـهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّـهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

MaksudnyaSesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

(Surah al-Nahl: 106)

Ibnu Nujaym mengatakan, para ulama berkhilaf jika seseorang mengucapkan perkataan kufur dengan sengaja, namun dia tidak beriktikad dengan kekufuran. Sebahagian ulama mengatakan ia tidak mengkufurkan kerana kufur itu berkaitan dengan dhamir sedangkan dhamirnya tidak mengakui kekufuran, namun sebahagian ulama pula mengatakan jatuh kufur dan beliau memilih pendapat yang mengkufurkan kerana perbuatan tersebut memperlecehkan agama. Malah para ulama bersepakat sesiapa yang mengungkapkan perkataan kufur dalam keadaan tahu dan sengaja maka jatuh kufur. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 5/134; Hasyiah Ibn ‘Abidin, 4/224)

Ibnu Abd al-Bar menerangkan bahawa para ulama telah bersepakat tentang orang yang mencela Allah dan Rasul-Nya, menolak sesuatu yang telah Allah SWT turunkan, atau membunuh seorang nabi Allah meskipun dia mengimani apa yang Allah SWT turunkan, maka dia kafir. (Lihat al-Tamhid, 4/226)

Ibnu Rajab berkata: “Jika (seseorang) mencela Allah SWT dan Rasul-Nya, sedangkan dia meyakini dua kalimah syahadah, maka dihalalkan darahnya, sebab dengan itu dia telah meninggalkan agamanya.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 171)

  • Kufur dengan Perbuatan

Allah SWT berfirman:

لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّـهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

MaksudnyaJanganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.

(Surah al-Fussilat: 37)

Ibn Kathir berkata: “Yakni, janganlah kamu melakukan syirik kepada-Nya. Tidaklah bermanfaat bagi kamu penyembahan kamu kepada benda-benda itu bersama dengan pengabdian kepada-Nya. Kerana sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa perbuatan syirik.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim7/217)

Sebahagian ulama berkata berkenaan tafsir ayat ini: Sesiapa yang ingin menjadi hamba Allah yang ikhlas, maka janganlah dia bersujud kecuali kepada-Nya. Janganlah sujud kepada matahari dan bulan. Disebutkannya matahari dan bulan untuk mengisyaratkan kepada makhluk langit (alam atas) lainnya. Jika demikian maka sujud dan rukuk kepada makhluk alam bawah: Batu, pokok dan lain-lain adalah terlebih dilarang. Ayat ini menetapkan bahawa dalam agama kita, sujud itu merupakan hak sang Khaliq, maka tidak boleh sujud kepada makhluk, siapa pun dia, kerana makhluk, ia adalah sama dengan matahari dan bulan, wali dan nabi, batu dan tanah serta pohon dan lain-lain. (Lihat al-Din al-Khalish2/53)

Al-Imam Al-Nawawi berkata: “Perbuatan-perbuatan yang mengakibatkan kekufuran adalah yang dilakukan dengan sengaja dan merupakan penghinaan secara nyata kepada agama, seperti sujud kepada berhala dan matahari..” (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/326)

Al-Qadhi Iyadh berkata: “Kita juga mengkafirkan semua perbuatan yang mana kaum Muslimin bersepakat bahawa ia tidak dilakukan kecuali oleh orang kafir seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, salib dan api.” (Lihat al-Syifa’, 2/1072)

Al-Qadhi ‘Iyadh bin Musa berkata: “Demikian pula kami menyatakan kafir terhadap perbuatan yang telah disepakati oleh kaum muslimin sebagai perbuatan yang tidak dilakukan kecuali oleh orang-orang kafir, meskipun pelakunya menyatakan Islam saat melakukannya. Seperti (perbuatan) sujud kepada patung atau matahari, bulan, salib dan api, serta berusaha mendatangi gereja dan berjanji setia bersama penghuninya. Semua perbuatan ini tidaklah dilakukan kecuali oleh orang-orang kafir.” (Lihat al-Tawassuth wa al-Iqtishad, hlm. 41)

Oleh itu, jelas bahawa sujud kepada selain Allah SWT adalah syirik kepada-Nya. Walaupun begitu, perlu dibezakan antara sujud ibadah dan sujud penghormatan (tahiyyah).

Allah SWT berfirman:

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا

MaksudnyaDan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf.

(Surah Yusuf: 100)

Ibnu ‘Athiyyah berkata tentang makna sujud dalam ayat ini: Ada perbezaan pendapat tentang makna sujud ini, ada yang berkata, ia adalah sujud seperti sujud yang kita kenal iaitu meletakkan dahi di atas tanah. Ada yang berkata, ia kurang daripada sujud, seperti rukuk dan sejenisnya di mana ia merupakan kebiasaan mereka menghormati para raja pada masa itu. Para ahli tafsir bersepakat bahawa sujud tersebut – apa pun caranya – adalah sujud penghormatan, bukan ibadah. Qatadah berkata, “Ini adalah penghormatan kepada para raja di zaman mereka.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi1/293)

Ibnu Kathir berkata berkenaan ayat di atas: “Sujud dibolehkan dalam syariat mereka. Jika mereka memberi salam kepada pembesar, maka mereka bersujud kepadanya. Sujud ini dibolehkan sejak Nabi Adam sehingga Nabi Isa A.S, lalu ia diharamkan dalam agama ini, dan sujud hanya dikhususkan kepada Allah SWT. Inilah kandungan dari ucapan Qatadah dan selainnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim2/491)

Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

MaksudnyaDan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah (tunduklah beri hormat) kepada Nabi Adam".

(Surah al-Baqarah: 34)

Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata: “Ia adalah sujud yang kita tidak mengetahui tatacaranya. Akan tetapi dasar-dasar agama mengajarkan kepada kita bahawa ia bukanlah sujud ibadah, kerana tidak ada yang disembah selain Allah SWT. Sujud secara bahasa ertinya kerendahan, ketundukan, dan kepasrahan. Bukti terbesarnya adalah tindakan menyungkurkan diri ke bumi dengan menurunkan kepala dan meletakkan wajah di tanah. Pada umat terdahulu, ia termasuk penghormatan masyarakat kepada raja dan pembesar, termasuk dalam hal ini ialah sujud Ya’qub dan anak-anaknya kepada Yusud A.S.” (Lihat Tafsir al-Manar1/265)

 

Larangan Menyerupai Orang Kafir

Islam merupakan agama yang amat mementingkan identiti. Sedangkan manusia amat menitikberatkan identiti bangsa yang dianuti dan negara yang diduduki, apatah lagi Allah SWT, Tuhan yang menurunkan agama ini. Oleh itu, sebagai hamba-Nya yang taat, kita perlu berhati-hati dalam memastikan identiti Islam sentiasa terpelihara daripada penyerupaan dengan agama lain.

Lebih membimbangkan apabila Baginda SAW mengatakan bahawa pada akhir zaman kelak, akan ada di kalangan umatnya yang terikut-ikut dengan gaya golongan Yahudi dan Nasrani. Sabda Rasulullah SAW:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Maksudnya: “Kamu akan mengikut jejak langkah cara hidup golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak Dhob pun, kamu akan mengikuti mereka." Kami bertanya, "Wahai Rasulullah. Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian." Jawab Nabi, "Siapa lagi kalau bukan mereka?

Riwayat al-Bukhari (3456)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan, Ibnu Batthal berkata: Rasulullah SAW memberitahu bahawa umatnya akan mengikuti perkara-perkara baru daripada hal-hal bid'ah dan yang mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku kepada umat sebelum mereka. Baginda telah memberi amaran dalam banyak hadis tentang keadaan akhir zaman yang buruk. Kiamat tidak akan berlaku kecuali kepada manusia-manusia yang buruk. Ketika itu agama hanya dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. (Lihat Fath al-Bari, 13/301)

Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54)

Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram , 4/175)

Justeru, berdasarkan penelitian para ulama terhadap nas-nas al-Qur’an dan Sunnah, sekurang-kurangnya terdapat tiga bentuk penyerupaan dengan orang kafir yang dilarang ke atas umat Islam.

 

Pertama, menyerupai orang kafir dalam cara berpakaian.

Menurut sebahagian pendapat dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan jumhur Mazhab Syafie, menyerupai pakaian yang menjadi syiar orang kafir dihukumkan kafir. Kerana itu, sesiapa yang memakai topi orang Yahudi dengan sengaja maka ia kufur kecuali jika dipaksa atau memakainya sekadar untuk berlindung daripada kepanasan. Begitu juga orang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, ia dihukumkan kafir kecuali jika memakainya sebagai helah dalam peperangan, maka ia tidak dihukumkan kafir. (Al-Fatawa al-Hindiyyah: 2/276; Jawahir al-Iklil: 2/278; Tuhfah al-Muhtaj: 9/91)

Walaubagaimanapun, sesetengah ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie pula mengatakan, sesiapa yang mengenakan pakaian khas orang kafir, tidak jatuh kafir kecuali jika ia beriktikad dengan iktikad kufur tersebut. Sebagaimana kata al-Imam Abu Hanifah, “Seseorang tidak keluar daripada iman kecuali daripada pintu yang ia masuki, maka masuk ia ke dalam Islam menerusi perakuan dan pembenaran, sedangkan kedua-duanya masih kekal.” (Al-Fatawa al-Bazzaziyyah: 6/332)

Mazhab Hanbali pula mengatakan haram memakai pakaian bukan Islam yang merupakan syiar agama mereka. Kata al-Buhuti, “Jika seorang muslim memakai pakaian yang menjadi syiar ahli zimmah (kafir yang tunduk di bawah kerajaan Islam), atau menggantung salib pada dadanya, hukumnya haram, namun ia tidak kafir dengan demikian, tetapi berdosa seperti kemaksiatan yang lain.” (Kasysyaf al-Qina’: 3/128)

Pandangan ini juga sama dengan apa yang diutarakan oleh al-Nawawi yang mengatakan, seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian ia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Raudah al-Talibin: 10/69)

Bagi para ulama yang menghukumkan kufur kepada pemakai pakaian khas orang kafir, mereka meletakkan beberapa syarat. Antaranya hendaklah ia melakukannya di negara Islam bukan di negara kafir. Ini kerana di negara kafir, terdapat andaian kemungkinan ia tidak mendapati pakaian lain kecuali pakaian tersebut. Kedua, melakukannya tanpa sebarang darurat seperti dalam suasana peperangan dan beberapa lagi syarat lain. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: 12/6-7)

 

Kedua, menyerupai orang kafir dalam perayaan mereka.

Dilarang menyerupai orang kafir dalam perayaan mereka. Ia berdasarkan hadis yang disebutkan sebelum ini iaitu sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk daripada kalangan mereka. Hadis itu bertujuan untuk menjauhkan umat Islam daripada mengikuti apa jua perkara yang menjadi syiar khusus orang bukan Islam. Ia juga sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Umar R.A bahawa beliau berkata:

لاَ تَعَلَّمُوا رَطَانَةَ الأَعَاجِمِ وَلاَ تَدْخُلُوا عَلَى الْمُشْرِكِينَ فِى كَنَائِسِهِمْ يَوْمَ عِيدِهِمْ فَإِنَّ السُّخْطَةَ تَنْزِلُ عَلَيْهِمْ.

Maksudnya: “Janganlah kalian semua mengajarkan ungkapan-ungkapan aneh orang-orang ‘ajam (bukan Arab) dan janganlah kalian semua memasuki gereja-gereja orang musyrik pada hari raya mereka kerana kemurkaan (Allah) sedang turun kepada mereka.”

Riwayat al-Baihaqi dalam 
al-Sunan al-Kubra (19333)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa beliau berkata, “Barangsiapa yang tinggal di negeri ‘ajam (bukan Arab), lalu menyambut Nairuz dan Mihrajan mereka (perayaan orang Parsi beragama Majusi), ia menyerupai mereka hingga mati dalam keadaan seperti itu, maka dibangkitkan bersama dengan mereka pada hari Qiamat kelak.” (Ahkam Ahl al-Zimmah: 2/723)

Larangan ini adalah disebabkan oleh semua jenis perayaan adalah termasuk syariat atau cara hidup bagi setiap umat. Ia sepertimana firman Allah SWT:

لِّكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan..

(Surah al-Hajj: 67)

Tiada beza menyerupai mereka dalam perayaan sahaja atau dalam semua aturan agama mereka. Persamaan dengan mereka dalam perayaan adalah penerimaan terhadap kekufuran. Persamaan pada sebahagian cabangnya pula adalah penerimaan terhadap sebahagian cabang kekufuran. Bahkan perayaan merupakan aspek khusus yang menjadi syiar paling zahir bagi sesebuah agama. Maka merayakannya bermakna menyetujui aspek paling khusus tersebut serta membantu menegakkan syiar agama lain.

Qadi Khan mengatakan, seseorang yang membeli sesuatu pada Hari Nairuz, sedangkan pada hari lain dia tidak membelinya, jika ia bertujuan untuk mengagungkan hari tersebut sebagaimana golongan kafir mengagungkannya, maka ia suatu kekufuran. Namun jika ia melakukan perkara itu sekadar untuk berbelanja, bukan untuk mengagungkan hari tersebut, ia tidak kufur. Begitu juga jika ia menghadiahkan sesuatu pada Hari Nairuz tanpa meniatkan bersempena kebesaran Hari Nairuz, tetapi melakukannya sekadar adat, maka ia bukan kekufuran. Hendaklah ia tidak melakukan pada hari tersebut apa yang ia tidak lakukan pada hari lain dan bersungguh-sungguh untuk tidak menyerupai golongan kafir. (Al-Fatawa al-Khaniyah: 3/577)

Ibn al-Qasim daripada Mazhab Maliki mengatakan makruh seseorang muslim memberi hadiah kepada seorang Nasrani pada hari perayaan mereka. Beliau berpendapat perbuatan itu seperti mengagungkan perayaan mereka atau membantu kekufurannya. Sebagaimana dilarang menyerupai orang kafir, begitu juga dilarang membantu orang Islam yang menyerupai mereka, bahkan mereka sepatutnya ditegah daripada melakukannya. (Ahkam Ahl al-Zimmah: 2/725)

Oleh yang demikian, sesiapa yang menerima jemputan tertentu bersempena hari perayaan orang kafir, maka jemputannya itu hendaklah ditolak, begitu juga jika ia memberikan hadiah bersempena dengan hari perayaan orang kafir itu, maka hendaklah juga ia ditolak. Khususnya hadiah-hadiah yang berkaitan dengan hari perayaan orang kafir itu seperti hadiah lilin atau seumpamanya pada Hari Krismas. (Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim: 2/517)

Adapun berkaitan barangan yang dijual oleh orang kafir di pusat-pusat jualan pada hari perayaan mereka, maka tidak mengapa bagi orang Islam pergi ke sana dengan niat membeli barang-barang keperluan lain. Apa yang ditegah adalah pergi ke tempat-tempat ibadat mereka pada hari-hari perayaan sedang disambut. (Al-Adab al-Syar’iyyah: 3/441)

 

Ketiga, menyerupai orang kafir dalam peribadatan

Termasuk perkara yang dilarang juga adalah melakukan ibadat seperti orang kafir. Antara contoh-contoh ibadat yang dilarang oleh Nabi SAW kerana menyerupai orang kafir adalah seperti berikut:

 

a. Solat pada waktu-waktu makruh: Rasulullah SAW melarang solat pada waktu-waktu makruh kerana ia menyerupai waktu ibadat orang kafir. Amr bin Abasah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ صَلاَةَ الصُّبْحِ ثُمَّ أَقْصِرْ عَنِ الصَّلاَةِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ حَتَّى تَرْتَفِعَ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ حِينَ تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَىْ شَيْطَانٍ وَحِينَئِذٍ يَسْجُدُ لَهَا الْكُفَّارُ ثُمَّ صَلِّ فَإِنَّ الصَّلاَةَ مَشْهُودَةٌ مَحْضُورَةٌ حَتَّى يَسْتَقِلَّ الظِّلُّ بِالرُّمْحِ ثُمَّ أَقْصِرْ عَنِ الصَّلاَةِ فَإِنَّ حِينَئِذٍ تُسْجَرُ جَهَنَّمُ فَإِذَا أَقْبَلَ الْفَىْءُ فَصَلِّ فَإِنَّ الصَّلاَةَ مَشْهُودَةٌ مَحْضُورَةٌ حَتَّى تُصَلِّىَ الْعَصْرَ ثُمَّ أَقْصِرْ عَنِ الصَّلاَةِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَإِنَّهَا تَغْرُبُ بَيْنَ قَرْنَىْ شَيْطَانٍ وَحِينَئِذٍ يَسْجُدُ لَهَا الْكُفَّارُ

Maksudnya: “Laksanakanlah solat Subuh, kemudian jangan bersolat hingga terbit matahari sampai ia meninggi, sesungguhnya matahari ketika terbit ia berada antara dua tanduk syaitan, pada ketika itu orang kafir bersujud kepadanya. Kemudian laksanakanlah solat kerana solat itu didatangi dan disaksikan oleh para malaikat hingga sinar matahari tepat di atas kepala kita.

Kemudian jangan melakukan solat tepat di tengah hari kerana ketika itu neraka Jahannam pada puncak nyalanya. Jika matahari telah tergelincir ke barat, laksanakanlah solat kerana solat ketika itu didatangi dan disaksikan oleh para malaikat hingga engkau melaksanakan solat Asar.

Kemudian jangan laksanakan solat hingga matahari terbenam kerana sesungguhnya ia terbenam di antara dua tanduk syaitan. Pada saat demikian, orang kafir sedang bersujud kepadanya.”

Riwayat Muslim (1967)

 

b. Bersolat dalam keadaan ikhtisar iaitu bercekak pinggang. Tiada khilaf di kalangan fuqaha’ tentang kemakruhan bercekak pinggang ketika bersolat. Ia makruh kerana perbuatan itu menyamai golongan Yahudi yang gemar melakukannya. Daripada Abu Hurairah R.A:

أَنَّهُ نَهَى أَنْ يُصَلِّىَ الرَّجُلُ مُخْتَصِرًا

Maksudnya: “Baginda Rasulullah SAW telah menegah seseorang bersolat sambil bercekak pinggang.”

Riwayat al-Bukhari (1220) dan Muslim (1246)

Daripada Masruq R.A:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَتْ تَكْرَهُ أَنْ يَجْعَلَ يَدَهُ فِي خَاصِرَتِهِ وَتَقُولُ إِنَّ الْيَهُودَ تَفْعَلُهُ

Maksudnya: Daripada Aisyah R.Anha, bahawa beliau membenci seseorang yang meletakkan tangannya di atas pinggangnya sambil berkata, “Sesungguhnya Yahudi melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (3458)

 

c. Puasa wisal iaitu berpuasa dua hari berturut-turut tanpa berbuka. Para ulama Hanafiyyah, jumhur Malikiyyah, Syafi’iyyah daripada salah satu pendapat dan Hanabilah mengatakan kemakruhan puasa wisal. Satu lagi pendapat di sisi Syafi’iyyah hukumnya haram. Ia berdasarkan hadis Anas bahawa Nabi SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْوِصَالَ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا فَإِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ إِنَّكُمْ لَسْتُمْ فِي ذَلِكَ مِثْلِي إِنِّي أَبِيتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِي فَاكْلَفُوا مِنَ الأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ ‏"‏

Maksudnya: “Jangan berpuasa wisal. Para sahabat berkata: Bukankah engkau sendiri berpuasa wisal? Baginda menjawab: Aku tidak seperti salah seorang daripada kamu, aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku. Beramallah mengikut kemampuan kamu.”

Riwayat Muslim (1103)

Alasan dilarang kerana ia menyerupai perbuatan orang Nasrani. Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Basyir bin al-Khasasiyyah R.A apabila beliau melarang isterinya untuk berpuasa wisal disebabkan Rasulullah SAW pernah melarangnya kerana menyerupai puasa orang Nasrani. (HR Ahmad)

 

d. Berpuasa sehari pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau berkata, “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan agar berpuasa, para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, ia adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Lalu Baginda SAW bersabda: Jika diizinkan Allah pada tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari kesembilan (Muharram). Kata Ibn Abbas: Belum sempat tahun berikutnya, Rasulullah SAW telah wafat.” (HR Muslim) Al-Nawawi mengatakan boleh jadi sebab mengapa diperintahkan supaya berpuasa pada sembilan dan sepuluh Muharram adalah supaya tidak menyamai puasa orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari kesepuluh. (Syarah Sahih Muslim: 8/12-13) Oleh itu disunatkan dalam Mazhab Syafie dan Hanbali berpuasa pada sembilan dan sepuluh Muharram, manakala bagi Mazhab Hanafi disunatkan berpuasa sehari sebelum dan selepas hari kesepuluh. (Al-Mughni: 3/174; Fath al-Qadir: 2/78) Mazhab Maliki pula mengatakan sunat berpuasa dua hari sebelum hari kesepuluh. (Al-Syarh al-Saghir: 1/691-692)

 

 

Hukum Memasuki Gereja dan Rumah Ibadat Agama Lain

Para ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum memasuki rumah ibadat agama lain:

1. Haram: Antara yang berpandangan hukumnya haram adalah Imam Syihabuddin ar-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami (Rujuk Nihayat al-Muhtaj,2/63; Tuhfatul Muhtaj, 2/424). ‘Illah pengharaman adalah kerana kewujudan patung, jika tiada patung di dalamnya maka ia diharuskan.

2. Makruh: Sebahagian ulama’ mazhab Hanafi berpandangan solat dalam gereja ialah makruh, dan Ibn Nujaim menukilkan fatwa daripada Ibn al-‘Alaa al-Ansari akan kemakruhan memasuki biara Yahudi dan gereja Nasrani kerana ia tempat perkumpulan syaitan. Namun pandangan yang lebih tepat menurut Ibn Nujaim ialah hukumnya makruh tahrimi.(Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin1/380, Al-Bahr ar-Ra’iq 1/480 dan 7/214; Al-Fatawa al-Hindiyyah 5/346). Ini juga pandangan yang paling tepat menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (Lihat, dan Al-Fatawa al-Kubra 5/327). Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas RA dan Imam Malik juga memakruhkan solat di gereja. (Al-Adab as-Syar’iyyah, 3/431). Imam al-Buhuti memakruhkan solat di dalam gereja yang mempunyai patung berdasarkan hadith Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai patung. (Kasyaf al-Qanna’ 1/293)

3. Harus: Jumhur ulama mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat harus memasuki gereja dan rumah ibadat agama lain. (Rujuk Jawahir al-Iklil, 1/383; Kashshaf al-Qina’, 1/293) Ini ialah pandangan Ibn Qudamah dan Al-Mardawi daripada mazhab Hanbali. Ibn Qudamah juga meriwayatkan bahawa Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, Sya’bi dan al-Auza’ie juga berpegang pada pendapat ini. (Rujuk Al-Mughni8/113 dan 2/57, Al-Insaf fi Ma’rifati ar-Rajih min al-Khilaf, 1/496 dan Al-Muhalla 1/400).

 

Antara dalil yang menunjukkan keharusan memasuki rumah ibadat bukan Islam adalah satu athar yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah, diriwayatkan oleh Ibn A’iz dalam Futuh al-Sham, “Bahawa golongan Nasrani menyediakan jamuan makan ketika kedatangan Umar ke Sham lalu mereka menjemputnya. Umar bertanya: Di mana (jamuan)? Mereka menjawab: Di dalam gereja. Umar memutuskan tidak mahu pergi lalu berkata kepada Ali: Pergilah kamu dengan orang lain, lalu makanlah. Ali pergi bersama-sama orang lain, memasuki gereka dan makan bersama orang Islam yang lain. Ali terlihat patung-patung lalu berkata: Apa salahnya jika Amir al-Mu’minin masuk dan makan.” (Rujuk al-Mughni, 10/203)

Athar ini memberikan kefahaman bahawa Umar sebagai pemerintah Islam tidak hadir ke dalam rumah ibadat bukan Islam bagi mengelakkan fitnah atau salah faham umat Islam awam bahawa beliau telah memperakui kesyirikan dan kesesatan yang berlaku dalam agama tersebut. Justeru, beliau mengelakkan diri untuk menghadirinya namun tidak menegah bahkan membenarkan orang lain hadir mewakilinya.

 

Perkaitan Dari Sudut Pandang As-Siyasah as-Syar’iyyah Dalam Konteks Kerukunan Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang agama dan bangsa. Justeru, pemimpin yang dilantik ini akan mewakili suara seluruh warga yang diwakilinya. Namun begitu, aspek-aspek tertentu perlu diperhalusi lagi dalam meraikan seluruh warga umumnya dan menepati kaedah siasah syariyyah yang ditetapkan khasnya.

Menurut Syeikh Abdul Wahhab Khallaf, ilmu siyasah syar’iyyah bermaksud suatu ilmu yang membahaskan urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tidak ada dalil khusus berkenaannya dalam nas syarak. (lihat As-Siyasah as-Syar’iyyah fi al-Syu’un al-Dusturiyyah wal Kharijiyyah wal Maliyyah, hlm. 6-7)

 

Meraikan Maslahah Dalam Konteks Malaysia Yang Berbilang Kaum

Maslahah dari sudut bahasa bermaksud manfaat dan faedah, manakal dari sudut istilah syarak pula ialah perkara-perkara yang menepati syariat dan maqasidnya, namun ia tidak disebut secara pasti oleh mana-mana dalil samada ia dikira mu’tabar atau mulghah (tertolak). (Lihat Syeikh Wahbah al-Zuhaily, Usul al-Fiqh al-Islamiy, 2/757)

Dalam konteks Malaysia yang majmuk, pemimpin yang dipilih sewajarnya meraikan kepelbagaian dan perbezaan kaum dan agama yang ada. Sifat toleransi serta bertolak-ansur antara pemimpin dan rakyat ini akan menjadi satu simbul penyatuan yang utuh dalam menghasilkan sebuah negara yang gah. Namun begitu, batas-batas agama tidak boleh dilangkaui.

Satu kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya“Polisi pemerintah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”

 Kaedah di atas menunjukkan kemestian ke atas pemimpin untuk sentiasa memikirkan maslahat-maslahat yang timbul dalam kalangan masyarakat awam yang diwakilinya.

Selain itu, satu lagi konsep yang boleh dipakai dalam isu ini ialah sadd al-zari’ah. Zari’ah dari sudut bahasa ialah jalan yang boleh menyampaikannya dengannya kepada sesuatu. Manakala dari sudut istilah syarak, sadd az-zari’ah bermaksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan. (Lihat Imam al-Qarafi, Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 2/33)

Menghormati rumah ibadat agama lain asalnya adalah diharuskan atas dasar penghormatan terhadap hak-hak warga bukan Islam. Namun demikian, batas-batas iman dan kufur wajib dipatuhi, dan atas dasar ini, prinsip sadd al-zari’ah perlu difahami agar perbuatan-perbuatan para pemimpin tidak menyanggahi prinsip-prinsip akidah dan syarak, dan ia tidak menjadi hujah kepada rakyat untuk mengikutinya.

Dalam hal ini, kami bersetuju dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 berkenaan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.[3]

 

Garis Panduan Berinteraksi Dengan Agama Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka

Berdasarkan pembentangan di atas, kami perturunkan di sini garis panduan ringkas bagi sesiapa yang terlibat dengan keadaan di atas:

  • Tidak melakukan apa jua perbuatan yang menyerupai ritual agama lain seperti isyarat kepala atau tangan yang menunjukkan penghormatan kepada sesembahan mereka;
  • Tidak mengucapkan apa jua ungkapan yang menggambarkan pengiktirafan kepada agama dan sesembahan mereka;
  • Tidak memakai apa jua pakaian khas yang merujuk kepada perlambangan agama mereka seperti pakaian paderi Kristian, sami Hindu dan guru Sikh;
  • Tidak memakai apa jua peralatan yang memiliki simbol khas agama lain seperti memakai rantai salib, membuat tanda keagamaan di dahi dan memakai kalungan bunga;
  • Tidak terlibat dengan apa jua ritual yang dilakukan dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun;
  • Tidak memasuki rumah ibadat mereka ketika mana upacara ritual agama sedang berlangsung;
  • Tidak memasuki rumah ibadat mereka pada ketika perayaan keagamaan sedang dilangsungkan.
  • Begitu juga, tidak memaki dan mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka. Hal ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran.

 

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Berdasarkan perbahasan di atas, dapat disimpulkan seperti berikut:

 a. Hukum asal umat Islam masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam adalah harus. Ini kerana, Islam amat menggalakkan umatnya memelihara hubungan baik dan harmoni dengan golongan bukan Islam demi menjamin kerukunan hidup dapat dikecapi khususnya dalam konteks sebuah negara;

b. Islam menetapkan garis panduan yang jelas dalam menyantuni golongan bukan Islam selagi mana ia tidak menyentuh kesucian aqidah dan syariat Islam apatah lagi ketika berada dalam rumah ibadat mereka;

c. Seorang muslim tanpa mengira status dan kedudukannya wajib memelihara batas-batas yang digariskan oleh syarak demi menjamin segala tindakan, perbuatan dan percakapannya tidak melampaui batas sehingga mampu menjejaskan aqidahnya sama ada secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung;

d. Masyarakat awam tidak boleh dengan cepat menghukum sesuatu tindakan, perbuatan atau percakapan itu terkeluar daripada Islam kecuali setelah diteliti, dikaji dan dirujuk kepada pihak berkuasa agama. Ini bagi mengelakkan fenomena bermudah-mudahan dalam kafir mengkafir sesama umat Islam sehingga mencetuskan huru hara dalam masyarakat.

 

Dengan itu juga kami ingin mengemukakan beberapa cadangan seperti berikut:

a. Pihak berkuasa agama dan para pendakwah perlu terus berusaha dengan lebih giat memberikan kefahaman kepada masyarakat Islam berkenaan batas-batas iman dan kufur, ini bagi memelihara identiti dan jati diri umat Islam sentiasa terpelihara pada setiap masa dan ketika;

b. Masyarakat bukan Islam turut perlu diberikan kefahaman yang jelas dengan menyediakan suatu peraturan khusus sebagai rujukan mereka jika ingin melibatkan mana-mana orang Islam di tempat ibadat atau majlis perayaan mereka;

c. Dalam memimpin masyarakat yang berbilang kaum dan agama, adalah lebih baik bagi para pemimpin muslim untuk menghantar wakil bukan muslim yang seagama dengan pihak yang menganjurkan bagi menghadiri sebarang upacara yang dilakukan di tempat ibadat atau perayaan keagamaan mereka.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-112 pada 14 November 2018 telah memperakukan Bayan Linnas siri ke-152 ini yang bertajuk Had Berinteraksi dengan Agama Lain di dalam Rumah Ibadat Mereka di Malaysia. Justeru, ia akan dijadikan garis panduan kepada khalayak masyarakat umat Islam di Wilayah Persekutuan khasnya.

 

PENUTUP

Alhamdulillah, selepas perbahasan panjang dalam isu Had Berinteraksi dengan Agama Lain di dalam Rumah Ibadat Mereka di Malaysia, bahawa Islam agama rahmah dan tasamuh terhadap mana-mana orang bukan Islam dan juga penganut agama lain. Ini digelarkan dengan sifat samahah dan rahmatnya. Islam tatkala menerima kedatangan rombongan Nasara Habsyah, Nabi memuliakan mereka dengan dirinya sendiri. Daripada Abi Qatadah, sabda Baginda SAW:

إِنَّهُمْ كَانُوا لِأَصْحَابِي مُكْرِمِينَ، فَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ أُكَافِئَهُمْ

MaksudnyaSesungguhnya mereka telah memuliakan sahabat-sahabatku. Justeru, sesungguhnya aku suka untuk membalas kebaikan mereka.

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8704)

Kami tegaskan di sini seperti berikut:

  • Isu berkenaan akidah adalah amat penting diberi perhatian oleh semua pihak.
  • Perkara yang “معلوم من الدين بالضرورة” dalam urusan agama seperti batas kufur dan iman yang bersifat qath’ie perlu diberi perhatian dan difahami dengan sebaiknya.
  • Perkara yang menjadi khilaf sekalipun dalam isu berkaitan akidah, janganlah mudah untuk melemparkan perkataan kufur, fasiq dan munafik. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (6045)

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, barangsiapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu. Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.

Tambahan pula, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan. Adapun jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya maka ia tidak benarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah. Selain itu, selagimana seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu. (Lihat Fath al-Bari, 466/10)

  • Tidak bertasyabbuh dalam hal yang berkaitan keagamaan selain daripada Islam adalah wajib. Ini bertujuan sad al-zari’ah daripada terjerumus ke arah perkara yang diharamkan dan boleh membawa kufur seperti dinaskan.
  • Sayugia dan sewajarnya setiap umat Islam mempelajari Islam khususnya berkaitan akidah, iman, tauhid dengan benar-benar yakin dan kefahaman yang jelas. Justeru, dapat keluar dari belenggu taqlid dan kejahilan yang mungkin membawa kepada pembatalan iman.
  • Setiap tindakan seseorang Islam lebih-lebih lagi pemimpin berkaitan keagamaan lain kadang-kadang memberi banyak implikasi dan tohmahan yang kurang baik. Justeru, benarlah nasihat seperti:

اتَّقُوا مَواضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah. (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 1085)

 

Wallahua’lam.

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

 

Nota Hujung:

[1]Rujuk https://www.malaysianreview.com/21737/sejarah-malaysia-vatican-jalin-hubungan-rasmi-melalui-najib-razak/

[2] https://www.beritaharian.sg

[3] http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/115-garis-panduan-orang-islam-turut-merayakan-hari-kebesaran-agama-orang-bukan-islam