Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

SOALAN 66 (27 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 14/07/2015)

Siapakah dia golongan miskin yang berhak menerima zakat?

 

JAWAPAN

Golongan miskin ialah sekurang-kurangnya dapat menjamin keperluan hidup dan keluarga mereka. Hal ini menjadi kewajipan kepada pemerintah, kerajaan dan orang kaya untuk mencukupkan dan menjamin keperluan mereka seperti pendapat Imam Haramain al-Juwaini.

            Menurut al-Qurtubi, para ulama bahasa dan feqah telah berselisih pendapat tentang perbezaan antara fakir dan miskin kepada sembilan pendapat, iaitu:

  • Ya’kub bin al-Sikkit, al-Qutabi dan Yunus bin Habib menyatakan bahawa fakir lebih baik keadaannya daripada miskin. Ini juga pendapat sebahagian ahli bahasa dan ahli hadith, antaranya Abu Hanifah dan Qadhi Abdul Wahab.
  • Sebahagian ulama pula menyatakan sebaliknya, iaitu miskin lebih baik keadaannya dari fakir. Ini merupakan pendapat al-Asmu’ie, ulama Kufah dan salah satu pendapat Syafie dan sahabat-sahabatnya.
  • Syafie pada satu lagi pendapatnya menyatakan bahawa fakir dan miskin adalah sama, iaitu tiada beza antara keduanya dan dari segi makna walaupun berbeza dari segi nama. Ini juga pendapat al-Qasimi, Abu Yusuf dan semua sahabat Malik.
  • Malik pula menyatakan bahawa fakir adalah orang yang berhajat dan tidak meminta-minta, sedangkan miskin adalah orang yang meminta-minta. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas, al-Zuhri dan dipilih oleh Ibn Sya’ban.
  • Muhammad bin Musallamah berpendapat bahawa fakir ialah orang yang mempunyai tempat tinggal dan khadam, manakala miskin pula ialah orang yang tidak mempunyai harta.
  • Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa orang fakir ialah golongan muhajirin dan miskin pula ialah orang badwi yang tidak berhijrah. Pendapat ini juga turut dikongsi oleh al-Dahhak.
  • Ubaidillah bin al-Hasan berpendapat bahawa miskin ialah orang yang khusyuk dan tenang walaupun tidak meminta-minta. Manakala fakir pula ialah orang yang boleh menanggung kesusahan, menerima sesuatu dalam keadaan tersembunyi dan tidak khusyuk.
  • Mujahid, Ikrimah dan Zuhri pula menyatakan bahawa miskin ialah orang yang mengelilingi dan mencari sesuatu. Fakir pula ialah orang-orang fakir dalam kalangan umat Islam.
  • Ikrimah pula berpendapat bahawa fakir ialah fuqara’ dalam kalangan orang Islam, manakala miskin ialah fuqara’ dalam kalangan ahli kitab.