Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 337 : ANTARA DOKTOR LELAKI MUSLIM DENGAN DOKTOR PEREMPUAN BUKAN MUSLIM, SIAPAKAH YANG LEBIH DIDAHULUKAN?

IF 337

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan, siapakah yang lebih diutamakan, antara doktor lelaki Muslim dengan doktor perempuan bukan Muslim bagi menyambut kelahiran bayi?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka”.                                                                                    

(Surah al-Nur: 30)

Ayat di atas adalah merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Dan juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu lebih suci bagi mereka. [Lihat : al-Tafsir al-Muyassar, m/s : 353]

Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi kita sesama manusia dalam kehidupan seharian.

Nabi SAW bersabda :

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain” [HR Muslim (338)]

Sebelum kita bahaskan persoalan ini lebih lanjut, kita harus fahami bahawa ianya berkait rapat dengan dua isu yang berbeza iaitu hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bayi dan aurat antara wanita muslim dengan wanita bukan muslim. Kedua-dua isu telah kami jawab dan bahaskan di dalam :

  1. Al-Kafi li al-Fatawi (674) : Hukum doktor lelaki meyambut kelahiran bayi.
  2. Al-Kafi li al-Fatawi (695) : Hukum tinggal sebilik dengan rakan bukan Islam.
  3. Irsyad al-Fatwa ke-141 : Aurat antara muslimah dan wanita bukan muslim.

Berbalik kepada soalan yang telah ditanyakan, kita ketahui bahawa Aurat dari segi syara’ bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/124)]

Oleh itu, tidak dibenarkan di sisi hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, (atau sebaliknya) melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak. Justeru, boleh bagi seorang lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki. [Lihat : al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]

Begitu juga, hal ini bertepatan dengan kaedah :

الضرورات تبيــح المحــظورات

Maksudnya : “Mudarat mengharuskan yang haram”

Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan seorang doktor melihat aurat pesakitnya ketika merawat, sekiranya ada keperluan mendesak sebagaimana syarat-syarat yang telah digariskan oleh Syarak seperti ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang tsiqah (terpercaya), tidak boleh berdua-duaan yang berlainan jantina antara pesakit dan perawat dan lain-lain.

Kaedah ini juga mestilah diikat dengan kaedah yang lain iaitu :

الضرورات تقدر بقدرها

Maksudnya : “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja”

Seorang doktor hanya boleh melihat aurat pesakitnya atau memegang atau lain-lain ketika ada keperluan mendesak, bagi merawatnya serta menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Contohnya, sekiranya bagi merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan pehanya, maka tidak boleh membuka auratnya sehingga lebih daripada itu atau sekiranya cukup dapat dikenalpasti sakitnya hanya dengan memegangnya secara berlapik, maka tidak boleh memegangnya tanpa berlapik dan lain-lain.

Termasuk juga di dalam perkara ini ialah mengutamakan doktor lelaki bagi pesakit lelaki, doktor perempuan bagi pesakit perempuan kerana ini lebih selamat dan jauh daripada fitnah. Manakala ketika perlu melihat kepada aurat pesakit perempuan utamakan dahulu doktor perempuan muslim, kemudian barulah doktor perempuan bukan muslim, kemudian doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki bukan muslim. Dan kalau sekiranya tiada keperluan dan cukup hanya dengan doktor perempuan muslim (bukan pakar), tidak boleh menyingkap aurat pesakit perempuan tadi di hadapan doktor lelaki sekalipun dia adalah doktor pakar (bagi sakit berkenaan).

Peringkat keutamaan

Ulama mazhab Syafie telah meletakan syarat bahawa seorang doktor lelaki boleh merawat pesakit wanita sekiranya ketiadaan doktor perempuan yang berkepakaran bagi merawatnya, termasuklah doktor perempuan kafir. Begitu juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Al-Bulqini telah menyatakan pandangannya dalam isu ini dengan katanya :  

يُقَدَّمُ فِي عِلاَجِ الْمَرْأَةِ مُسْلِمَةٌ... ، فَامْرَأَةٌ كَافِرَةٌ، فَمَحْرَمٌ مُسْلِمٌ، فَمَحْرَمٌ كَافِرٌ، فَأَجْنَبِيٌّ مُسْلِمٌ، فَكَافِرٌ

Maksudnya : “Diutamakan doktor perempuan muslim bagi merawat perempuan,… kemudian doktor perempuan kafir, kemudian mahramnya yang muslim, kemudian mahramnya yang kafir, kemudian barulah doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki kafir”. [al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (12/137)]

Menurut al-Lajnah al-Daimah ketika mana ditanya berkenaan bolehkah seorang perempuan pergi mendapatkan rawatan daripada seorang doktor lelaki pakar sakit puan yang beragama kristian? Mereka menyatakan bahawa bagi seorang (pesakit) perempuan ialah mendapatkan rawatan daripada doktor wanita pakar sakit puan yang beragama Islam. Sekiranya tiada, barulah boleh beralih kepada doktor wanita kristian. Sekiranya tiada juga dan keadaan mendesak bagi mendapatkan rawatan boleh pergi mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki Muslim dengan syarat bersamanya mahram. Dan sekiranya tiada juga barulah boleh mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki kristian. [Lihat : Fatawa al-Lajnah al-Daimah, No. 3426, (17/260)]

Syeikh Ibn Baz pernah ditanyakan berkenaan yang manakah patut di dahulukan antara doktor wanita kafir dengan doktor lelaki muslim sekiranya pesakit seorang wanita? Beliau berpandangan bahawa doktor wanita kafir lebih didahulukan berbanding doktor lelaki kerana ia melibatkan aurat wanita dan ini lebih selamat. Secara peringkatnya (jika pesakit seorang wanita), dahulukan doktor wanita muslimah, kemudian doktor wanita kafir, kemudian doktor lelaki muslim dan barulah doktor lelaki kafir sekiranya perlu. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mendapatkan khidmat doktor-doktor kafir sebaliknya dahulukan khidmat daripada doktor-doktor muslim. Akan tetapi tidak mengapa menggunakan khidmat doktor-doktor kafir jika ada keperluan mendesak serta kekurangan doktor-doktor muslim dan muslimah dengan syarat mereka tidak memudaratkan orang Islam dan mengajak kepada agama mereka.[1]

Perkara ini disokong lagi oleh keadaan realiti semasa yang berbeza dengan zaman dahulu. Kita boleh ketahui bahawa sebab kepada larangan mendedahkan aurat seorang Muslimah di hadapan seorang wanita kafir melalui riwayat daripada Umar RA, dengan katanya : “Sesungguhnya tidak dibenarkan bagi wanita ahli kitab (kafir) masuk ke dalam hammam (bilik mandi awam) bersama wanita Muslimah di dalamnya kerana kemungkinan wanita kafir itu akan menceritakan rupa paras wanita Muslimah kepada lelaki yang kafir. Oleh yang demikian, apa yang boleh dilihat oleh wanita kafir kepada wanita Muslimah seperti seorang lelaki ajnabi kepada seorang wanita. Akan tetapi boleh untuk wanita kafir itu melihat bahagian yang (biasanya) terdedah pada wanita Muslimah ketika bekerja” . [Lihat : al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]

Oleh itu, kita harus meraikan realiti semasa yang berbeza dengan zaman dahulu. Kini, para doktor mestilah mengikut kod etika dan tatakelakuan bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaiknya, beretika dan professional. Dan sebarang pelanggaran terhadap panduan dan kod etika ini, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin dan tatatertib. [Lihat : Kod Etika dan Tatakelakuan, KKM, hal. 15] Begitu juga, mereka terikat dengan Akta Perubatan 1971 yang mana salah satu fungsinya menentukan dan mengawal perilaku dan tata etika pengamal perubatan yang berdaftar.

JAKIM[2] juga telah mengeluarkan satu garis panduan berkenaan etika bagi menjaga aurat mayat ketika bedah siasat yang mana merujuk kepada keputusan Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami (IslamicFiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut ;

  1. Doktor perempuan muslim pakar.
  2. Doktor perempuan bukan muslim pakar.
  3. Doktor lelaki muslim pakar.
  4. Doktor lelaki bukan muslim pakar. Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-syarat seperti berikut ;
  • Tidak bersendirian
  • Menahan pandangan mata
  • Menyentuh di tempat yang berkaitan
  • Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Sekiranya pesakit adalah seorang wanita, keutamaan hendaklah diberikan terlebih dahulu kepada doktor wanita muslimah, kemudian kepada doktor wanita kafir, kemudian kepada doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah kepada doktor lelaki kafir. Hal ini kerana (keadaan terpaksa) melihat aurat daripada jantina yang sama adalah lebih ringan (selamat). [Lihat : al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (12/136)]
  • Daripada segi psikologi, seorang pesakit wanita akan lebih senang dan berasa selamat sekiranya doktor yang akan merawatnya adalah daripada jantina yang sama. Begitulah juga sebaliknya, jika pesakit seorang lelaki. Hal ini kerana kita tidak dapat menafikan bahawa wanita akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kewanitaan daripada lelaki dan lelaki akan lebih mengetahui perkara-perkara berkaitan kelakian berbanding seorang wanita. Sepertimana kata ulama :

أن المباشر للأمر أعلم به من المخبر عنه

Maksudnya : “Seseorang yang terlibat secara langsung dalam sesuatu perkara itu lebih mengetahui akannya berbanding orang yang hanya menyampaikannya”[Lihat : Fathu al-Mun‘im (4/553)]

  • Seorang doktor boleh melihat aurat pesakitnya atau memegang atau lain-lain ketika ada keperluan bagi merawatnya serta menolak kemudaratan dan perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu.
  • Pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama jantina sekalipun bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah orang Islam. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

 

[1] Lihat : https://binbaz.org.sa/fatwas/13645/ ايهما-يقدم-الطبيبة-الكافرة-ام-الطبيب-المسلم-بالنسبة-للمراة . Telah diakses pada 22 November 2019.

[2] Lihat : http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/53-garis-panduan-bedah-siasat-mayat-menurut-perspektif-islam. Telah diakses pada 26 November 2019.