Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-341: HUKUM HARTA ORANG YANG MAFQUD

irsyad341

Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada soalan mengenai bagaimanakah cara untuk menguruskan harta orang yang hilang? Bolehkah diagihkan serta merta harta tersebut atau ada tempoh masa yang tertentu? Bagaimana jika orang yang hilang muncul kembali? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpah kurnia dan rahmatNya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Perhitungan.

Kami mulakan kalam ini dengan sabda Rasulullah S.A.W:

«أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَعَلَيَّ قَضَاؤُهُ، وَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ»

Maksudnya: “Aku adalah lebih penting bagi orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan masih berhutang dan tidak dapat diselesaikan, maka kami akan melunaskannya. Sesiapa yang meninggalkan harta maka serahkan kepada warisnya”.

Riwayat al-Bukhari (2298), Muslim (1619)

Berdasarkan hadith di atas, apabila meninggalnya seseorang, maka harta peninggalannya mestilah diagihkan kepada para waris setelah diselesaikan terlebih dahulu kewajipan-kewajipan harta pusaka iaitu pengurusan jenazahnya, wasiatnya dan juga hutang-hutangnya.

Dalam faraid (pembahagian harta pusaka), rukun adalah asas terpenting. Pembahagian harta pusaka tidak dapat dilakukan jika berlakunya kekurangan pada rukun tersebut. Rukun-rukun tersebut ialah pewaris (al-muwarrith), waris (al-warith) dan harta pusaka (al-mawruth). Kemudian, terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi bagi membolehkan perwarisan itu berlaku. Pertama, telah pasti akan kematian pewaris terlebih dahulu secara hakikat (sebenar) atau secara hukmi (undang-undang) sepertimana kematian yang diputuskan oleh mahkamah bagi orang yang hilang dan sebagainya. Kedua, telah pasti hidupnya waris bagi si mati walaupun sekejap. Ketiga, mengetahui sebab hubungan sama ada melalui keturunan, pernikahan atau wala’ (penguasaan) dan tiada halangan pewarisan seperti pembunuhan, hamba dan perbezaan agama. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/74-75].

Berbalik pada persoalan yang diutarakan mengenai harta orang yang mafqud. Perkataan mafqud berasal dari kalimah faqada yang bermaksud hilang atau lenyap. Pada istilah pula, ia bermakna orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/131]. Menjadi permasalahan di sini ialah apabila tidak dipastikan sama ada si pewaris telah mati atau tidak seterusnya menyebabkan proses pengagihan pusaka tidak boleh dilakukan atas sebab kekurangan syarat tersebut.

Jenis Mafqud

Mafqud di sisi mazhab Syafi’i dan juga mazhab Hanafi adalah satu jenis yang sama. Manakala di sisi mazhab Maliki, mafqud terbahagi kepada empat jenis iaitu orang yang hilang di negara Islam, orang yang hilang di negara kafir, orang yang hilang dalam peperangan orang Islam menentang kafir dan orang yang hilang dalam peperangan orang Islam sesame Islam. Dan al-Mafqud di sisi mazhab Hanbali pula terpecah kepada dua jenis. Pertama, orang yang terputus khabar beritanya di tempat yang pada zahirnya selamat seperti orang yang bermusafir kerana urusan perniagaan atau melancong atau menuntut ilmu dan sebagainya. Kedua, orang yang terputus khabar beritanya di tempat yang pada zahirnya tidak selamat seperti contoh askar yang hilang ketika peperangan atau penumpang pesawat yang terhempas dan sebagainya.

Adapun bagi kes tawanan pula, mazhab Syafi’i, Hanafi dan juga Hanbali mengkategorikan mereka ini sebagai mafqud. Manakala Mazhab Maliki tidak meletakkannya sebagai kategori mafqud.

[Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 38/266-267]

Tempoh Mafqud

Pada dasarnya, orang yang hilang atau tiada khabar beritanya tidaklah dianggap terus mati akan tetapi ia memerlukan kepada bukti dan melalui beberapa tempoh. Namun begitu, tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan juga Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum diputuskan status kematiannya. Rujuk juga artikel Irsyad al-Fatwa Siri-864 di laman web PMWP berkenaan tempoh mafqud dalam mazhab dan undang-undang.  

Maka, harta peninggalan orang yang hilang atau mafqud tidak boleh diagihkan sehinggalah ada dalil atau bukti kematiannya atau telah melepasi tempoh yang mustahil baginya untuk hidup (berdasarkan sangkaan yang kuat) tetapi ia adalah suatu tempoh yang tidak ditentukan secara spesifik serta hakim menetapkan sebagai mati (Anggapan mati). Adapun sebelum dipastikan kematiannya, maka sebarang perbelanjaan dari hartanya adalah tidak sah. Ini kerana, orang itu pada asalnya masih hidup, maka hartanya tidak boleh diwarisi kecuali telah yakin dan pasti akan kematiannya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/132].

Imam al-Nawawi berkata:

فَإِنْ قَامَتْ بَيِّنَةٌ عَلَى مَوْتِهِ، قُسِّمَ مِيرَاثُهُ

Maksudnya: Jika telah terbukti atau ada bukti yang menunjukkan akan kematiannya, maka bolehlah dibahagikan harta peninggalannya secara faraid. [Lihat: Rawdatu al-Tolibin wa ‘Umdatul Muftiin; 6/34].

Di Malaysia, menurut Undang-undang Persekutuan, Seksyen 108, Akta Keterangan 1950, Akta 56, memperuntukkan bahawa seseorang yang hilang itu boleh anggap mati mestilah menunggu setelah tidak mendengar khabar berita tentang diri orang yang hilang itu selama tujuh tahun. Anggapan kematian ini akan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi tujuan untuk memohon surat tadbir harta pusaka.

Natijahnya, berkenaan tempoh mafqud, setelah meneliti terhadap pendapat para ulama, maka pendapat yang terpilih di sisi kami dan juga selari dengan pegangan mazhab Syafi’i dalam isu tempoh mafqud adalah ianya bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 4/48].

Hukum Mafqud dalam Perwarisan Harta

Apabila telah pasti bahawa mafqud tersebut telah mati bersandarkan pada bukti-bukti yang wujud dan juga berdasarkan kepada keputusan hakim, maka harta peninggalannya perlulah diagihkan kepada waris-waris yang layak pada masa diputuskan kematiannya. Akan tetapi, jika ada kaum kerabatnya (mafqud) meninggal sebelum keputusan mahkamah terhadap mafqud ditetapkan, maka dia tidak akan mewarisi apa pun dari si mafqud. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/132].

Selain itu, dalam hal yang lebih kompleks iaitu orang yang hilang yakni mafqud sebagai waris dan dia bersama-sama dengan waris yang lain mewarisi harta seseorang. Keadaan ini cara pengagihannya lebih kurang sama dengan keadaan pengagihan harta bagi orang khunsa musykil. Imam al-Rahabi ada menyatakan mengenainya dalam matannya:

واحكم على المفقود حكم الخنثى ... إن ذكرا يكون أو هو أنثى

Maksudnya: Jadi hukumlah orang yang hilang (mafqud) itu dengan hukum khunsa, sekiranya dia lelaki ataupun wanita.

[Lihat: Matan al-Rahabiyyah; m/s 36]

Maka, para ulama’ ada meletakkan tiga cara bagi pengagihan harta tersebut:

Pertama: Waris menerima seluruh bahagiannya tanpa terkesan dengan kehadiran si mafqud. Ini bermakna, jika mafqud ada atau tiada, waris tersebut tetap mendapat bahagiannya yang sebenar.

Sebagai contoh: Si mati meninggalkan seorang isteri, seorang ayah, seorang anak lelaki dan seorang adik lelaki yang mafqud. Maka, waris yang layak di sini ialah isteri, ayah dan anak lelaki. Manakala, adik lelaki tersebut terhalang oleh sebab kewujudan ayah dan juga anak lelaki kepada si mati. Maka, kewujudannya atau ketiadaannya tidak memberi kesan kepada bahagian ahli-ahli waris yang lain.

Kedua: Waris tidak menerima bahagiannya sehinggalah terbukti kematian si mafqud tersebut kerana ada kebarangkalian bahawa si mafqud masih hidup.

Contohnya: Si mati meninggalkan seorang anak lelaki yang mafqud dan seorang pakcik. Maka, menurut gambaran ini, pakcik tidak boleh menerima harta pusaka disebabkan wujud anak lelaki kepada si mati. Dan harta tersebut akan tertahan sehinggalah telah terbukti bahawa anak lelaki yang mafqud  itu telah mati, kemudian barulah boleh diberikan kepada pakciknya.

Ketiga: Waris yang berbeza bahagian hartanya berpandukan kepada hidup mati si mafqud. Maka waris tersebut diberi dengan bahagian yang sedikit sebagai langkah yang lebih selamat.

Gambarannya adalah seperti berikut: Keadaan bagi si mati meninggalkan isteri, bapa, ibu, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki yang hilang.

[Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/133]

Hukum Bagi Kes Mafqud Yang Kembali Setelah Diputuskan Sebagai Mati

Jika orang yang hilang yakni mafqud muncul kembali setelah disabitkan sebagai mati oleh hakim dan harta peninggalannya pula telah diagihkan kepada waris-warisnya. Maka, dia mempunyai hak untuk menuntut semula kesemua harta yang telah diagihkan kepada kaum kerabatnya yang lain sama ada dalam bentuk ‘ain (benda) atau seumpama dengannya atau yang sama nilai dengannya. Ini kerana anggapan kematian yang dikeluarkan oleh hakim setelah menunggu dalam tempoh tertentu adalah dalil zanni kerana pada dasarnya tidak diketahui sama ada orang yang hilang itu masih hidup ataupun telah mati, adapun keputusan hakim adalah secara zanni bahawa si mafqud itu telah mati. Maka pengagihan harta sebelum ini dikira tidak sah kerana tiada hak pada waris terhadap harta tersebut selagimana pewaris masih hidup.

[Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 38/280]

Akan tetapi, tempoh bagi orang yang mafqud untuk menuntut semula harta peninggalannya adalah berdasarkan budi bicara dan juga keputusan hakim dengan mengambilkira asas pembentukan hukum dan masalih mursalah. Walaubagaimanapun, tidak ada kes yang telah dilaporkan berkaitan perkara ini di Mahkamah Syariah di Malaysia. Adapun bagi harta yang tidak dituntut oleh para waris, maka harta tersebut akan disalurkan ke Baitulmal manakalah harta mafqud berbentuk wang tunai yang tidak dituntut pula akan disalurkan ke Akta Wang Tak Dituntut (AWTD). [Lihat: Jurnal Muamalat Bil. 6 2013; m/s 38]

Penutup

Kesimpulannya, kes mafqud (orang yang hilang) ini tidaklah dianggap terus mati akan tetapi ia memerlukan kepada bukti dan melalui beberapa tempoh. Tempoh mafqud itu pula ditentukan dan diputuskan oleh hakim. Sepanjang tempoh itu, sebelum disabitkan dan dipastikan kematian si mafqud, maka segala hukum hakam berkaitan agama terutamanya dalam bab harta pusaka turut terkesan dan harta peninggalan tidaklah boleh diagihkan kepada waris-warisnya sehinggalah adanya dalil dan bukti mengesahkan kematiannya. Kemudian, jika hakim telah memutuskan supaya boleh diagihkan harta tersebut, maka cara pengagihannya adalah sama seperti kes khunsa musykil. Seterusnya, jika si mafqud ternyata hidup setelah diputuskan oleh hakim akan kematiannya, maka dia berhak untuk menuntut semula hartanya yang telah diagihkan kepada waris-waris yang lain. Akhir kalam, semoga segala urusan dan amal kita diberkati serta diredhai Allah S.W.T, dipermudah segala urusan kita di dunia dan di akhirat, serta moga Allah memberikan kita kefahaman dan juga manfaat dari ilmu yang dipelajari.

 

Wallahua’lam.