Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

IUF 37 KHURUJ MINAL KHILAF

 

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah berikan penjelasan berkenaan dengan sebuah kaedah yang menyatakan bahawa keluar dari khilaf itu dituntut ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kalimah al-khilaf  sebagaimana yang disebutkan oleh Fairuz Abadi membawa maksud: ‘’Menyelisihi seseorang pada sesuatu perkara, iaitu bercanggah dengannya’’. Rujuk Al-Qamus al-Muhith, al-Fairuz Abadi (1/251).

Manakala Al-Jurjani pula mendefinisikan khilaf dengan katanya: ‘’Percanggahan yang berlaku di antara dua orang yang saling berbeza untuk mentahkikkan kebenaran ataupun membatalkan kebathilan’’. Lihat Al-Ta’rifaat, al-Jurjani. Hlm. 135.

Sebahagian ulama pula memberikan definisi yang berbeza di antara perkataan khilaf dan juga ikhtilaf. Antaranya adalah Syeikh Ayyub bin Musa al-Husaini di dalam kitabnya al-Kulliyyaat beliau berkata: ‘’Ikhtilaf adalah sesuatu yang bersandarkan kepada dalil manakala khilaf adalah sesuatu yang tidak bersandarkan kepada dalil’’. Rujuk al-Kulliyyaat (Hlm. 61).

Begitu juga pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Salim bin ‘Ali al-Tsaqafi bahawa para fuqaha kadangkala menggunakan perkataan khilaf kepada perselisihan yang berlaku di antara mazhab-mazhab dan juga firqah-firqah tertentu. Manakala ikhtilaf adalah perselisihan yang berlaku di antara ashab mazhab yang satu. Lihat Asbab Ikhtilaf al-Fuqaha, Salim bin ‘Ali al-Tsaqafi (Hlm. 18-19).

Kami lebih cenderung mengatakan bahawa tidak ada perbezaan ketara antara Al-Khilaf dan juga Al-Ikhtilaf, bahkan beberapa pendapat yang membezakan antara al-Khilaf dan al-Ikhtilaf hanyalah sekitar isu pengistilahan sahaja. Dan kaedah menyatakan:

لَا مُشَاحَةَ  فِي الاصْطِلَاح

Maksudnya: Tidak ada perbalahan di dalam pemberian istilah.

Para sahabat terdahulu amat menitik beratkan soal menjauhi khilaf ini dengan cara menangani isu-isu khilaf dengan penuh keinsafan dan adab. Ini seperti yang ditunjukkan dalam sejarah bahawa pernah berlaku perbezaan pandangan antara Usman bin Al-Affan dengan Abdullah Ibn Mas’ud berkenaan isu solat qasar bagi seseorang yang bermusafir. Usman bin Affan berpandangan untuk menunaikan solat secara tamam (penuh) manakala Ibn Mas’ud berpendapat bahawa solat mesti dilakukan secara qasar. Meskipun begitu, apabila Usman menjadi imam dan Ibn Mas’ud menjadi makmum di belakang beliau dengan turut melakukan solat secara tamam sedangkan beliau berpegang dengan pandangan yang menyatakan perlu qasar solat. Maka apabila ditanyakan kepada Ibn Mas’ud akan keadaan tersebut beliau berkata:

الخِلَاف شَرٌّ

Maksudnya: Khilaf (perselisihan) itu adalah suatu yang buruk.

Riwayat Abu Daud (1960)

Definisi Kaedah “Al-Khuruj Minal Khilaf Mustahab’’

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, iaitu berkenaan dengan sebuah kaedah الخروج من الخلاف مستحب yang membawa maksud keluar dari khilaf adalah dituntut maka kami katakan bahawa ia merupakan satu kaedah yang diterima dan digunapakai oleh majoriti ulama fekah.

Kata Imam Tajuddin al-Subki: ‘’Antara kaedah yang masyhur dalam ucapan majoriti imam (ulama), dan hampir-hampir seseorang faqih itu memasukkan ia sebagai kaedah yang disepakati ke atasnya adalah ; Keluar dari khilaf itu adalah lebih utama dan lebih afdhal’’. Rujuk Al-Asybaah wal-Nazhaair, Al-Subki (1/127).

Cumanya di sisi ulama Malikiyyah kaedah ini dikenali sebagai “Mura’ah al-Khilaf”.

Perbahasan panjang lebar berkenaan dengan kaedah ‘’Mura’ah al-Khilaf’’ telah kami jelaskan dalam Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-7: Huraian Kaedah “Mura’ah Al-Khilaf” Serta Pengaplikasiannya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/31iXoCe

Sebahagian ulama menyatakan bahawa terdapat beberapa syarat dalam proses meraikan khilaf. Antaranya:

  • Meraikan khilaf tidak menyebabkan berlakunya khilaf yang lain.
  • Ia tidak bercanggahan dengan sunnah yang sahih atau hasan.
  • Dalil yang menjadi sandaran bagi seorang mujtahid dalam permasalahan tersebut merupakan dalil yang kuat.

 

Beberapa Contoh Pengamalan Kaedah Al-Khuruj Minal Khilaf Mustahab

Berikut kami nyatakan beberapa contoh dalam menjelaskan lagi kaedah keluar dari khilaf adalah dituntut. Antaranya:

Pertama: Perbaharui Wuduk Bagi Mereka Yang Menghidap Salis al-Baul (Kencing Tidak Lawas).

Dalam isu ini, para fuqaha telah berbeza pandangan tentang hukum memperbaharui wuduk bagi golongan yang menghadapi permasalahan kencing tidak lawas. Sebahagian ulama antaranya golongan Malikiyyah berpandangan bahawa memperbaharui wuduk bagi golongan ini untuk setiap kali solat adalah disunatkan. Manakala majoriti fuqaha selain Malikiyyah berpandangan bahawa wajib memperbaharui wuduk untuk setiap kali solat bagi mereka yang menghadapi permasalahan salis al baul melainkan ketika solat jamak (maka tidak wajib perbaharui wuduk).

Kata Imam al-Mawardi Rahimahullah:

والمستحاضة وَهِي الَّتِي ترى الدَّم فِي غير أَيَّام الْحيض كالطاهر إِلَّا أَنَّهَا تتوضأ لكل صَلَاة فَرِيضَة بعد غسل فرجهَا وَكَذَلِكَ الْمُبْتَلى بالمذي وَمن بِهِ سَلس الْبَوْل

Maksudnya: Dan seorang wanita yang keluar darah istihadhah iaitu dia melihat keluarnya darah bukan pada hari-hari (tempoh masa) keluarnya haid adalah sama seperti orang yang suci. Kecuali dia perlu berwuduk bagi setiap solat fardhu setelah dia membasuh kemaluannya. Begitulah juga dengan seseorang yang diuji dengan keluar air mazi dan mereka yang mempunyai salisil baul (kencing tidak lawas).

Rujuk Al-Iqna’, Al-Mawardi (Hlm. 29)

Oleh yang demikian, cara untuk keluar dari khilaf yang menyebut antara sunat atau wajib memperbaharui wuduk adalah dengan mengambil pandangan yang paling ahwath (selamat dan berhati-hati), iaitu dengan tetap memperbaharui wuduk untuk setiap kali solat yang hendak dilakukan bagi mereka yang menghadapi permasalahan kencing tidak lawas.

Kedua: Tawaf Wada’ Bagi Orang Yang Mengerjakan Umrah

Para fuqaha berbeza pandangan berkenaan hukum mengerjakan tawaf wada’ bagi seseorang yang mengerjakan umrah. Sebahagian menyatakan bahawa hukum tawaf wada’ bagi mereka adalah wajib. Inilah pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama’ berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu meninggalkan (Mekah) sehinggalah perbuatan terakhirnya di Baitullah adalah tawaf (wada’).

Riwayat Abu Daud (2002)

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Pandangan paling sahih dalam mazhab kami adalah tawaf wada’ itu hukumnya wajib dan mewajibkan dam sekiranya ia ditinggalkan’’. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (8/284).

Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa ia hanya wajib bagi golongan yang mengerjakan ibadah haji sahaja manakala ia tidak diwajibkan ke atas mereka yang mengerjakan umrah. Dalam erti kata tawaf wada’ hanya sunat bagi mereka yang mengerjakan ibadah umrah.

Ini kerana jika dilihat kepada dalil-dalil yang mewajibkannya ia merujuk kepada mereka yang mengerjakan haji dan bukannya terkhusus kepada golongan yang mengerjakan umrah.

Justeru, bagi seseorang yang menunaikan umrah maka dalam usaha untuk keluar dari khilaf yang menyatakan tawaf wada’ sama ada sunat ataupun wajib maka dia memilih pandangan yang menyatakan wajib dengan melakukan tawaf wada’ sebelum keluar dari tanah haram Makkah.

Ketiga: Sapu Keseluruhan Kepala Ketika Mengambil Wuduk

Dalam isu sapuan kepala semasa proses berwuduk, para ulama turut berkhilaf pada bahagian apakah dari kepala yang wajib untuk disapu. Ini kerana mereka berbeza pandangan terhadap maksud ayat berikut:

وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

Maksudnya: Dan sapulah kepala kamu (ketika berwuduk).

Surah Al-Ma’idah (6)

Para ulama telah berijma’ bahawa menyapu kepala itu merupakan antara kefardhuan di dalam berwuduk. Namun mereka berbeza pandangan terhadap kadar sapuan yang memadai dari bahagian kepala tersebut kepada beberapa pendapat seperti berikut:

  • Sebahagian ulama berpendapat bahawa wajib disapu keseluruhan kepala ketika mengambil wuduk. Ini adalah pandangan mazhab Imam Malik dan beberapa tokoh fuqaha yang lain.

Antara hujah kumpulan ini dalam menguatkan pandangan di atas adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata:

أَتَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَخْرَجْنَا لَهُ مَاءً فِي تَوْرٍ مِنْ صُفْرٍ فَتَوَضَّأَ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا وَيَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ، وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ فَأَقْبَلَ بِهِ وَأَدْبَرَ، وَغَسَلَ رِجْلَيْهِ‏

Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah datang kepada kami lalu kami keluarkan kepada baginda air di dalam bekas tembaga lalu baginda berwuduk (dengan air tersebut). Maka baginda membasuh muka sebanyak tiga kali, kemudian membasuh kedua tangan baginda sebanyak dua kali, dan menyapu kepala baginda ke hadapan dan ke belakang, lalu membasuh kedua kaki baginda.

Riwayat Al-Bukhari (197)

  • Manakala sebahagian ulama yang lain pula berpandangan bahawa memadai sapuan tersebut dengan menyapu sebahagian kepala ketika berwuduk. Ini adalah pandangan dalam mazhab Imam Abu Hanifah dan juga Imam Al-Syafi’e. Cuma mereka berbeza pendapat terhadap kadar sapuan yang memadai dari sebahagian kepala tersebut. Sebahagian menyatakan bahawa sapuan itu ke atas tiga helai rambut, ada juga pendapat yang menyebut satu perempat kepala dan ada pandangan yang menyebut separuh kepala.

Hujah yang digunakan oleh kumpulan ini antaranya adalah dengan mengatakan bahawa huruf بِ dalam ayat tersebut merujuk kepada للتبعيض (sebahagian) sahaja.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu ingin keluar dari khilaf dalam isu ini adalah dengan cara dia menyapu keseluruhan kepalanya. Ini kerana perbuatan tersebut telah merangkumi keseluruhan pendapat-pendapat yang berbeza dalam isu ini.

Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam membahagikan proses keluar dari khilaf ini kepada beberapa bahagian seperti berikut:

  1. Sekiranya khilaf itu berlaku antara haram dan harus, maka keluar dari khilaf dengan meninggalkan perkara tersebut adalah lebih afdhal.
  1. Sekiranya khilaf berlaku antara wajib dan harus, maka keluar dari khilaf adalah dengan cara melakukan perbuatan tersebut berserta mengi’tikadkan ia wajib supaya dapat memadai akan hukum wajib.
  1. Khilaf berlaku antara hukum sunat dan haram, maka keluar dari khilaf adalah dengan cara meninggalkan perbuatan itu adalah lebih afdhal.
  1. Khilaf berlaku antara makruh dan wajib, maka keluar dari khilaf adalah dengan cara melakukan perbuatan tersebut adalah lebih afdhal. Sebagai berhati-hati dari mendapat hukuman meninggalkan yang wajib. Manakala melakukan perbuatan yang makruh tidak memberikan mudarat kepada dirinya.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa pengamalan berdasarkan kaedah Al-Khuruj Minal Khilaf ini adalah sangat dituntut dan juga menatijahkan kesan yang baik pada diri seseorang. Ini kerana dia meraikan kepelbagaian pendapat dengan mengambil pendapat yang menggabungkan pandangan-pandangan yang berbeza di dalam satu-satu perbuatan.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.