Kaedah Permohonan

 

Pengajar

21. Tiada seorang pun boleh diterima sebagai pengajar,melainkan jika dia diberikan tauliah untuk mengajar pengajaran agama Islam.

Kelayakan

22. (1) Seseorang itu layak memohon untuk mendapatkan suatu tauliah mengajar jika dia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. (i) memegang suatu kelayakan pengajian tinggi Islam daripada universiti tempatan atau luar negeri yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;

(ii) memegang suatu kelayakan pengajian tinggi Islam daripada mana-mana institut pengajian Islam tempatan; atau

(iii) berpengetahuan dalam Hukum Syarak;dan

  1. telah mencapai umur dua puluh satu tahun dan dalam hal pengajaran Al-Quran dan tajwid, lapan belas tahun.

Bagi maksud kaedah ini,"berpengetahuan" ertinya mana-mana orang yang memperoleh pengetahuan yang berhubungan dengan ajaran Islam,melalui mana-mana institusi pendidikan formal selain subperenggan a(i) dan (ii).

Permohonan

23.   (1)  
Tiap-tiap permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar hendaklah dibuat dalam Borang 1 bagi warganegara atau Borang 2 bagi bukan Warganegara.
         
    (2)  
Tiap-tiap permohonan hendaklah dialamatkan kepada Pengerusi dan hendaklah disertakan dengan fi yang ditetapkan dan apa-apa maklumat dan dokumen sebagaimana yang dinyatakan dalam Borang itu.
         
    (3)  
Tiap-tiap permohonan hendaklah disokong oleh dua orang penyokong warganegara Malaysia dan menganut agama Islam.

Keputusan

24.   (1)  
Apabila diterima sesuatu permohonan di bawah kaedah 23,Jawatankuasa hendaklah mempertimbangkan permohonan itu dan membuat keputusannya.
         
    (2)  
Jawatankuasa hendaklah,dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan dibuat,memaklumkan kepada pemohon mengenai keputusan itu secara bertulis dan keputusan Jawatankuasa itu adalah muktamad.

Tauliah Mengajar

25.   (1)  
Sesuatu tauliah mengajar hendaklah dikeluarkan oleh Jawatankuasa mengikut Borang 3 bagi warganegara dan Borang 4 bagi bukan warganegara selepas dibayar fi yang ditetapkan.
         
    (2)  
Walau apa pun subkaedah 1,Jawatankuasa boleh membatalkan tauliah mengajar jika terdapat apa-apa perlanggaran syarat yang ditetapkan di bawah kaedah 26.
         
    (3)  
Mana-mana orang yang memiliki tauliah mengajar hendaklah mengemukakan tauliahnya jika dikehendaki oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Majlis.

Syarat-syarat

26. Tiap-tiap pengajar yang telah diberikan tauliah mengajar di bawah kaedah 25 hendaklah, dalam melaksanakan tugasnya, tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut:-

  1. tidak mengajar dan menyebarkan apa-apa ajaran yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  2. tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubugan dengan kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana Raja sebagai Ketua agama Islam sesuatu Negeri;
  3. tidak menghina perkara khilafiah yang terdapat dalam empat mazhab yang muktabar dan yang tidak tak selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  4. tidak menyentuh isu parti politik;
  5. tidak menyentuh secara langsung hal-hal peribadi mana-mana individu;
  6. tidak menghina mana-mana pihak berkuasa agama; dan
  7. mematuhi apa-apa peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Nota : rujuk muka surat 279 dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993