Visitors Hit

8943548 Views

SS Datuk Hj. Md Hashim bin Hj. Yahya (1 Mac 1997 - 15 Januari 2003)

Prof. Datuk Dr. Haji Md. Hashim Haji Yahaya dilahirkan pada 3 Julai 1939. Beliau berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang dan kini menetap di Shah Alam, Selangor sejak tahun 1981. Beliau merupakan Mufti Wilayah Persekutuan yang keempat. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Aminah Zakaria yang berasal dari Perlis. Pasangan bahagia ini memiliki seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kubang Semang, Bukit Mertajam. Kemudian beliau memasuki pendidikan menengah di Madrasah Masriah, Bukit Mertajam pada tahun 1953 hingga 1960 sebelum memasuki Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah pada tahun 1961. Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di Universiti al-Azhar, Mesir dari tahun 1963 hingga 1969. Beliau juga memiliki Diploma Pendidikan daripada Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir dan Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti al-Azhar, Mesir.

Dari segi pengalaman, beliau memulakan kerjaya sebagai Pensyarah Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kelantan pada tahun 1970 hingga 1980. Selepas itu, beliau menjawat jawatan sebagai Pensyarah, Dekan dan Ketua Akademi Islam Universiti Malaya dari tahun 1981 hingga 1986. Jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan disandang pada 1 Mac 1997 hingga 15 Januari 2003. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan gelaran Very Distinguished Academic Fellow sejak Jun 2003.

Beliau banyak menyumbangkan khidmat dan jasa kepada negara dan antarabangsa. Antara penglibatan beliau di peringkat negara ialah menjadi Ahli Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ahli Jawatankuasa Panel Kajian Akidah (JAKIM), Anggota Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Anggota Majlis Penasihat Syariah Bank Negara, Ahli Jawatankuasa Syariah Skim Unit Amanah Saham Angkasa Johor, Anggota Majlis Penasihat Syariah Muamalat Consultan, Ahli Jawatankuasa Syariah Amanah Saham Darul Iman, Terengganu, Ahli Majlis Penasihat Syariah KFC, Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Ahli Majlis Pengawasan Bank negara. Manakala di peringkat antarabangsa pula, beliau merupakan Ahli Majlis Fiqah Islami OIC, Anggota Majlis Penasihat Syariah Syarikat Amanah Takaful Sri Lanka dan Ahli Majlis Syariah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.

Sepanjang penglibatan beliau dalam aktiviti akademik dan kemasyarakatan, beliau telah menerima beberapa anugerah, iaitu Ahli Setia Mahkota Kelantan (A.S.K) 1983, Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1994, Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang (1995-1997), Darjah Setia Pangkuan Negeri Pulau Pinang (D.S.P.N.) 1996, Ahli Majlis Agama Negeri Selangor (1995-1996), Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 1996 dan Darjah Panglima Jasa Negara (P.J.N.) 2002.

Rate this item
(0 votes)
Login to post comments

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top