Visitors Hit

8943407 Views

Soalan: Saya ada terdengar orang berkata, kalau kita niat untuk buat jahat tetapi tidak membuatnya, kita akan dapat pahala. Benarkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Abbas RAnhuma, daripada Nabi ASW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 6491)

Walaubagaimanapun, tidaklah hadith di atas boleh disalahfahami dengan menganggap sekiranya berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya maka akan mendapat pahala. Ini kerana, terdapat hadith lain di mana Nabi SAW bersabda:

إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ قَالَ فَقُلْتُ: أَوْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ قَدْ أَرَادَ قَتْلَ صَاحِبِهِ

Maksudnya: “Bila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh berada di dalam neraka. Aku (Abu Bakrah) pun bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh (memang patut dimasukkan ke dalam neraka), bagaimana pula dengan orang yang dibunuh? Nabi s.a.w. menjawab: ‘Sesungguhnya dia mahu membunuh temannya”.

(Riwayat al-Bukhari, no. 14)

Di sini dapat difahami bahawa niat seseorang untuk melakukan kejahatan juga dikira mendatangkan dosa sekiranya niat itu disertai dengan keazaman, kesungguhan dan kemahuan yang tinggi, tinggal sahaja terhalang untuk melakukannya.

Berhubung dengan hadith pertama (Riwayat al-Bukhari, no. 6491), Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, “Al-hummu itu mentarjihkan niat bagi perbuatan. Misalnya: ‘Aku telah berniat dengan tekad untuk ini…’ atau ‘aku berniat dengan niat yang tekad…” dan ianya adalah lebih atas daripada sekadar sesuatu lintasan dengan hati.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/323)

Bagi memudahkan pemahaman saudara, kami huraikan dalam bentuk turutan seperti di bawah:

  • Sekiranya tujuan niat untuk melakukan kebaikan atau kejahatan itu hanya berlegar atau terlintas dalam hati atau sekadar terdetik misalnya, kemudian tidak dilakukan maka ianya tidak dikira berpahala atau berdosa.
  • Apabila niat tersebut sampai kepada tahap keazaman dan niat yang tekad; sekiranya niat untuk melakukan kebaikan kemudian terhalang atas beberapa sebab, maka dikira baginya pahala. Jika dia niat untuk melakukan kejahatan, kemudian tidak melakukannya atau meninggalkannya kerana Allah SWT, maka ditulis baginya pahala. Inilah yang dimaksudkan dengan hadith pertama yang kami nyatakan di atas.
  • Sekiranya niat untuk melakukan kejahatan sampai kepada keazaman dan niat yang tekad, tetapi terhalang kerana beberapa faktor, maka dia dikira berdosa. Inilah yang dimaksudkan dengan hadith kedua seperti di atas.

Kami tutup perbincangan ini dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 5269)

Kami ada menyebutkan kalam Imam al-Ghazali di dalam buku kami al-Kafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi yang menjelaskan, “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan berbuat maksiat.”

Semoga kita dapat berusaha memelihara niat kita dan menyedari betapa besar dan luasnya rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Wallahua'lam.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top