Visitors Hit

6400076 Views

 

Soalan:

Bolehkah seseorang itu mengucapkan ayat begini pada seseorang "Allah panjangkan umur mu untuk menjalankan kerja iblis dan syaitan."

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Ayat “Allah panjangkan umurmu untuk menjalankan kerja iblis/syaitan” adalah ayat yang memiliki penentuan kepada seseorang dan memiliki maksud yang cukup buruk dari sudut keimanan terhadap qada’ dan qadar Allah SWT. Ini berlainan jika seseorang mengucapkan “Barangkali Allah memanjangkan umurnya kerana istidraj berikutan sombongnya dia daripada menerima kebenaran” seperti kisah iblis yang Allah berikan umur panjang sehingga Hari Kiamat untuk menyesatkan manusia setelah dia ingkar dan takbur daripada perintah Allah. Namun, ayat kedua ini tidak dikhususkan kepada indivitu tertentu yang tidak sabit dalam al-Quran ataupun Hadis bahawa umurnya dipanjangkan kerana ditaqdirkan buat maksiat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ  (168) إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (169)

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).”

(Surah al-Baqarah, 2:168-169)

Berkata Imam al-Qurtubi rahimahullah (w.671) tentang tafsir ayat ke-169 di atas, antara lainnya: “Al-Tabari berkata yang dimaksudkan ialah (mereka yang mengikuti syaitan itu) mengharamkan memakan bahirah dan sa’ibah, dan selain daripadanya, yang mana mereka menjadikan pengharaman itu sebagai satu bentuk pensyariatan (baru).”

Rujuk Tafsir al-Qurtubi (2/210)

Ayat ini menjelaskan bahawa syaitan menghasut manusia untuk menyandarkan kepada Syariat dengan suatu perkara yang bukan daripada Syariat bahkan bertentangan dengannya. Ini termasuklah menetapkan bagi individu khusus bahawa Allah Taala telah mentaqdirkan umurnya untuk melakukan maksiat. Ini merupakan penipuan yang jelas atas nama Allah SWT.

Daripada sudut pertentangan lain dalam Syarak, al-Quran melarang seseorang berputus asa daripada rahmat Allah dengan bertaubat dan memperbaiki diri, sedangkan putus asa itu adalah perangai kaum yang ingkar seperti syaitan. Firman Allah Taala:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

(Surah Yusuf, 12:87)

Berkata Imam al-Tabari rahimahullah (w.310): “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.”

Rujuk Jami’ al-Bayan (12:232)

Maka, Allah Taala sahajalah yang berhak menghukum seseorang dengan kesenangan atau kesengsaraan. Selagi mana manusia itu masih hidup, peluang untuk berubah itu diwujudkan Allah agar dia bertaubat dan berubah jika dia membuat dosa.

Kesimpulannya, jika ayat berkenaan ditujukan kepada individu khusus kononnya dia mengetahui perkara ghaib maka hal itu adalah salah dan mengelirukan. Namun jika konteks adalah untuk memberi nasihat, seperti dalam bentuk sindiran dan hiperbola, maka ia perlu digunakan secara umum dan berhati-hati supaya sampai maksudnya.

Insafilah sebuah kisah yang disepakati kesahihannya, tatkala seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang berjumpa dengan seorang ahli ibadah bertanyakan adakah dosanya boleh diampunkan Allah. Ahli ibadah menjawab bahawa dosanya begitu besar itu tidak diampunkan Allah. Lantas dia dibunuh maka bertambah lagilah dosa lelaki tersebut. Padahal apabila soalan yang sama diberikan kepada orang yang berilmu, nescaya akan diberitahu bahawa rahmat Allah itu luas dan Dia Maha Pengampun.  

Wallahua’lam.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top