Visitors Hit

7452542 Views

Soalan:

Bagi seseorang yang melakukan ibadah akikah pada hari raya korban bersama-sama para muslimin yang lain, adakah dia tertakluk kepada larangan bercukur atau mencabut rambut dan memotong kuku sehingga haiwan disembelih ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tidak dinafikan berkenaan dengan larangan ke atas sesorang yang hendak melakukan ibadah korban, apabila telah masuknya sepuluh hari bulan zulhijjah maka dia tidak boleh untuk memotong rambutnya dan juga kukunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا

Maksudnya: Apabila masuknya sepuluh (hari zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.

Riwayat Muslim (1977)

Manakala perbahasan dan syarahan para fuqaha terhadap hadis di atas, kami mencadangkan supaya dirujuk kepada jawapan kami di dalam ruangan Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri Yang Ke- 12 di bawah tajuk: Anjuran Untuk Tidak Memotong Kuku Dan Rambut Bagi Yang Ingin Melakukan Korban yang boleh dibaca melalui pautan berikut https://goo.gl/FVTfvX

Kesimpulan

Akhir kalam, kami berpandangan bahawa seseorang yang melaksanakan akikah pada hari raya korban atau hari-hari tasyriq, maka mereka tidak termasuk di dalam larangan memotong kuku dan rambut sebagaimana golongan yang melakukan sembelihan korban. Ini kerana, nas jelas menyebutkan perkataan يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ merujuk kepada seseorang yang hendak melakukan udkhiyyah (korban). Manakala akikah tidak dinamakan sebagai al-udkhiyyah, melainkan dengan kalimah akikah atau nasikah sahaja. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top