Visitors Hit

8943221 Views

Soalan

Apakah hukumnya seseorang itu melaungkan azan apabila dia melihat kebakaran sedang berlaku ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Isu ini turut berkait rapat dengan kemalangan yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran al-Ittifaqiyah baru-baru ini. Kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya mengurniakan pahala dan ganjaran syahid kepada kesemua 23 mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Kami tidak mengucapkan, selain dari perkataan yang diredhai oleh Tuhan kami: Inna lillah wa Inna ilayhi rajiuun.

Berkenaan dengan isu melaungkan azan selain untuk solat, terdapat beberapa pendapat para fuqaha. Hal ini dapat kita ketahui apabila meneliti kepada kitab-kitab fekah dalam mazhab-mazhab yang muktabar. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah yang berkata: Turut disunatkan azan pada selain solat, sebagaimana azan kepada maulud (bayi yang baru dilahirkan), ketika dalam keadaan dukacita, ketika berlaku pertempuran, ketika marah, juga bagi sesiapa yang buruk akhlaknya dari kalangan manusia atau haiwan, ketika berlakunya pertembungan tentera, dan juga ketika berlakunya kebakaran.

Beliau turut menyatakan satu pendapat yang dinilai sebagai pendapat yang lemah, iaitu azan ketika menurunkan jenazah si mati ke dalam kubur, diqiyaskan kepada azan sewaktu kali pertama dia keluar ke dunia. Akan tetapi pendapat ini dikritik sendiri oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah. Demikian juga disunatkan azan ketika mana munculnya jin atau syaitan. Lihat Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami (1/461).

Berikut kami nyatakan keadaan-keadaan yang disunatkan untuk azan sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar dalam bentuk noktah-noktah berikut:

  • Azan kepada bayi yang baru dilahirkan.
  • Ketika berada dalam keadaan dukacita.
  • Dalam keadaan marah.
  • Ketika dalam pertempuran.
  • Azan untuk seseorang yang buruk akhlaknya.
  • Ketika berlakunya kebakaran.
  • Ketika munculnya syaitan.

Di dalam kitab I’anah al-Thalibin, penulisnya apabila mensyarahkan keadaankeadaan di atas ini berkata seperti berikut: Sesungguhnya disunatkan untuk azan pada selain solat, sebagaimana disunatkan azan untuk solat seperti azan kepada seseorang yang berada dalam keadaan dukacita atau kegusaran. Ini kerana, kegusaran dan kesedihan akan hilang apabila dilaungkan azan. Sekiranya ia tidak hilang dengan sekali azan, maka dituntut untuk mengulangi semula azan.

Demikian juga azan ketika dalam keadaan marah dan juga kepada orang yang buruk akhlak atau peribadinya. Sesiapa yang buruk peribadinya dari kalangan manusia atau haiwan, hendaklah diazankan pada telinganya. Rujuk I’anah al-Thalibin, Abu Bakar al-Dimyathi (1/267).

Berdasarkan kepada riwayat-riwayat hadis, maka kami mendapati bahawa dua keadaan yang disunatkan untuk azan padanya yang ada disebutkan di dalam hadis adalah untuk bayi yang baru dilahirkan dan juga ketika diganggu jin dan juga syaitan. Kami nyatakan dalilnya seperti berikut:

  1. Azan di telinga bayi yang baru dilahirkan.

Ianya adalah pendapat golongan mutaakhirin dari al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah dan ianya juga adalah qaul dari al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah.

Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Abi Rafi’ daripada ayahnya RA:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ - حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ - بِالصَّلاَةِ

Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah SAW telah mengazankan pada telinga alHasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.

Riwayat Abu Daud (5105), Al-Tirmizi (1514)

Terdapat juga athar yang dikeluarkan oleh Imam ‘Abd al-Razzak al-Son’aani di dalam Musannafnya dan oleh Imam al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah yang mana meriwayatkan daripada Umar bin Abd al-‘Aziz Rahimahullah bahawa ketika beliau mendapat cahaya mata, beliau akan mengazankannya di telinga kanan dan mengiqamatkannya pada telinga kiri. Namun athar ini tidak terlepas daripada kritikan para muhaddith. Wallahu a’lam.

 

  1. Ketika diganggu jin dan syaitan.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA:

 فإَذِا تغَولَتْ لكُمُ الْغِيلَانُ فَناَدُوا باِلْأذَانِ

Maksudnya: Sekiranya al-ghilaan (jin dan syaitan) mengganggu (dengan bertukar rupa bentuk) maka laungkanlah azan.

Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (10725)

Hadith ini juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada yang mengatakan bahawa hadith ini dhoif (lemah) kerana terputus sanadnya. Al-Imam Hasan al-Basri di dalam rantaian perawi hadith ini tidak pernah mendengar daripada Jabir bin Abdullah R.Anh sepertimana yang dikatakan oleh Abu Hatim dan juga al-Bazzar.

Manakala berkenaan keadaan-keadaan selainnya yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Abu Bakar al-Dimyathi di atas, begitu juga sebagaimana yang terdapat di dalam hasyiah-hasyiah kitab fiqh mazhab Imam al-Syafie seperti Hasyiah al-Syabramallisi dan Hasyiah al-Qalyubi hanyalah sekadar sebutan dan nukilan namun tidak didatangkan bersamanya dalil. Berdasarkan pemerhatian dan penelitian kami, hal tersebut berkemungkinan kerana fungsi azan yang dapat menjauhkan syaitan, ianya dikiaskan pada keadaan-keadaan yang lain selain dari solat seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menunjukkan bagaimana syaitan lari menjauhkan diri apabila terdengar laungan azan iaitu:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut.

Riwayat Muslim (389)

Melaungkan Azan Ketika Kebakaran

Berbalik kepada persoalan berkaitan hukum melaungkan azan ketika berlakunya kebakaran, maka di sisi tokoh-tokoh mazhab Imam al-Syafie menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat. Pendapat ini berhujahkan kepada qiyas kepada azan untuk solat, kerana syaitan lari bertempiaran ketika azan dikumandangkan. Justeru, dengan sangkaan baik kami kepada pendapat al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah, serta Syeikh al-Syabramallisi Rahimahullah ini maka kami katakan bahawa dibolehkan untuk azan sekiranya berlaku kebakaran. Kami juga turut menambah bahawa, perbanyakkanlah juga ucapan takbir apabila melihat kebakaran. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang mengatakan:

إذا رأيتم الحريقَ فكبِّرُوا ، فإنَّ التكبيرَ يُطفئُه

Maksudnya: Apabila kamu melihat kebakaran, maka bertakbirlah. Sesungguhnya takbir itu akan memadamkan api.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kaamil fi Al-Dhu’afa’ (5/249), demikian juga diriwayatkan oleh al-Daraquthni, serta Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Fathul Bari (3/427). Di samping yang terawal sekali yang patut dilakukan bagi sesiapa yang melihat kebakaran adalah dengan menghubungi bomba terlebih dahulu sebagai makluman awal bagi mendapatkan bantuan dan pertolongan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberikan kefahaman yang benar kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top