Visitors Hit

8943258 Views

Soalan :

Bacaan al-fatihah dalam solat, adakah sah solat jika bacaan di dalam hati atau bunyi sahaja ?

Jawapan :

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Bacaan al-fatihah ketika solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika kita meninggalkannya maka tidak sah solat kita. Hendaklah bacaan al-fatihah itu dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah, bukannya di dalam hati. Kata Imam al Syafi’e Rahimahullah :

وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ

Maksudnya ; Tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (al-fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya. Rujuk Mukhtasar al Buwaithi (hlm. 244).

Pandangan Imam al-Syafi’e ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Khabbab R.anh bahawa beliau ditanyakan :

بِأَىِّ شَىْءٍ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ قَالَ بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ

Maksudnya : Dengan cara apakah kamu mengetahui bacaan Nabi S.A.W pada solat zohor dan asar ? Kata Khabbab: Kami (mengetahui bacaan Nabi SAW) dari pergerakan janggut baginda.

Riwayat Ibn Majah (826)

Kesimpulan

Kami menyatakan di sini, adalah tidak sah solat seseorang itu sekiranya bacaan al-fatihah dibaca melalui hati sahaja. Justeru, hendaklah bacaan al-fatihah dibaca dengan jelas melalui lidah sebatas pendengaran kita, dan tidak pula sehingga ke tahap mengganggu makmum yang bersebelahan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top