Visitors Hit

8943323 Views

Soalan :

Berkenaan dengan bacaan surah al-fatihah ketika solat berjamaah, perlukah seseorang makmum itu menghabiskan bacaannya sekiranya imam telah rukuk (bukan disebabkan dia datang lewat) ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di dalam mazhab Imam Al-Syafie Rahimahullah, diwajibkan ke atas makmum untuk membaca al-fatihah ketika solat. Ini berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW yang menyebut :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya : Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah al-fatihah.

Riwayat al Bukhari (756)

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah :

 مَذْهَبُنَا وُجُوبُ قِرَاءَةِ الْفَاتِحَةِ عَلَى المَأْمُومِ فِي كُلِّ الرَّكعَاتِ مِنَ الصَّلَاة السِّرِّيَّةِ وَالجَهْرِيَّةِ وَهَذَا هُو الصَّحِيحُ عِنْدَنَا كَمَا سَبَق وَبِهِ قَالَ أَكْثَرُ العُلَمَاء

Maksudnya: Mazhab kami berpandangan wajibnya makmum membaca al Fatihah pada setiap rakaat solat sama ada solat as sirriyyah (yang dibaca perlahan) atau solat al-jahriyyah (yang dibaca kuat) dan inilah pandangan yang sahih di sisi kami sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dan ini jugalah pendapat kebanyakan para ulama’. Rujuk Majmu’ Syarh al Muhazzab, Al-Nawawi (3/323).

Kesimpulan

Dalam kes seperti ini, kami berpandangan bahawa makmum hendaklah menghabiskan bacaan al-fatihah, dengan kadar bacaan yang sederhana iaitu tidak terlalu laju dan tidak juga terlalu perlahan. Perlu juga diberi perhatian bahawa para imam hendaklah meraikan situasi dan keadaan makmum di belakangnya ketika solat dengan cara tidak terlalu laju dalam bacaan sehingga menyebabkan makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-fatihah. Wallahu A’lam.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top