Visitors Hit

6400228 Views

 

Alhamdulillah, kami merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW begitu juga kepada keluarga, para Sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.

Zaman ini menyaksikan kemunculan satu gejala jijik mengancam keamanan dan kemajuan tamadun manusia, apabila kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan segelintir manusia yang tidak bersifat dan bersikap selayaknya sebagai seorang manusia. Mereka melihat kanak-kanak sebagai objek seksual dan pemuas serakah mereka. Sedangkan kanak-kanak seharusnya dilihat sebagai kain putih yang suci, lambang keindahan ciptaan Allah SWT di muka bumi dan simbol kasih sayang kepada para hamba-Nya.

Justeru, kami mengambil kesempatan ini, sempena pembentangan Rang Undang-Undang Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak, untuk menilai isu ini daripada kaca mata Syariah, dan kami namakan; “Bayan Linnas Siri ke-86 : Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak : Satu Pandangan Islami.” Semoga penulisan kali ini dapat memberikan pencerahan dan kesedaran bagi kita untuk terus mempertahankan kaum yang tertindas dalam masyarakat dan memberi sinar harapan yang gemilang bagi generasi akan datang.

 

Mukadimah

Satu fakta yang harus diketahui, bahawa lebih 91% daripada pesalah yang terlibat dalam kes jenayah kanak-kanak adalah terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan mangsa.[1] Ini tidak syak lagi merupakan satu perkara yang amat menakutkan dan perlu diberi perhatian serius. Pepatah Melayu yang berbunyi ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ amat tepat untuk menggambarkan situasi ini. Keluarga dan saudara-mara yang sepatutnya menjadi pelindung dan contoh terbaik untuk kanak-kanak, sebaliknya menjadi ‘duri dalam daging’ dan ibarat ‘haruan yang memakan anak.’

Pembongkaran kes seorang pedofil Britain, Richard Huckle baru-baru ini telah menggemparkan seluruh negara dan mencetuskan amarah rakyat. Lelaki ini telah datang ke Malaysia dan menyamar sebagai aktivis masyarakat dan guru bahasa Inggeris, serta memperdaya ratusan keluarga miskin di bandar Kuala Lumpur. Ratusan kanak-kanak termasuk bayi berumur 6 bulan menjadi mangsa nafsu songsang lelaki ini. Dia telah didapati bersalah atas 71 pertuduhan jenayah seksual kanak-kanak pada Jun 2016 oleh Mahkamah Britain dan kini sedang menjalani hukuman penjara 25 tahun di sana.[2]

Satu hal yang perlu diberikan perhatian juga ialah fakta bahawa aplikasi media sosial seperti Wechat, Facebook Messenger dan Whatsapp merupakan antara penyumbang utama kepada gejala jenayah seksual kanak-kanak ini.[3] Ibu bapa dan orang dewasa harus lebih prihatin dan memberi perhatian terhadap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing, serta memantau apa yang mereka lakukan dan dengan siapa mereka berhubung.

 

Nas al-Quran tentang hakikat anak

Anak adalah merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dihargai. Firman Allah SWT:

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: Bagi Allah SWT jualah segala yang ada di langit dan di bumi, Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

               (Surah al-Syura: 49)

Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam Tafsir-nya:

“Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dialah Pencipta langit dan bumi, Pemilik kedua-duanya dan Yang Menguruskan semua yang ada di dalamnya. Apa sahaja yang Dia kehendaki akan berlaku, dan apa yang Dia tidak kehendaki tidak akan berlaku. Dan Dia memberi kepada sesiapa jua yang Dia kehendaki. Dan Dia menghalang sesuatu daripada didapati oleh seseorang, mengikut kehendak-Nya. Tiada siapa yang boleh menghalang jika Dia mahu memberi dan tiada siapa yang boleh memberi jika Dia menghalangnya. Dan sesungguhnya Dia mencipta setiap sesuatu yang Dia kehendaki. Dia mengurniakan seseorang anak-anak perempuan, kata al-Baghawi, seperti kaum Lut yang hanya mendapat anak laki-laki, dan Dia mengurniakan seseorang anak laki-laki, sepertimana anak-anak Nabi Ibrahim, tidak ada daripada kalangan wanita.”

Imam al-Maraghiy pula telah menjelaskan:

“Dia (yakni Allah SWT) menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia mampu menganugerahkan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menganugerahkan anak-anak lelaki kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki. Dia mampu menganugerahkan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki serta mampu tidak mengurniakan keturunan kepada sesiapa sahaja yang dikehendak-Nya."

Ini menunjukkan bahawa apabila Allah mentakdirkan kejadian anak-anak, maka itu adakah keputusan daripada-Nya. Tiada daya bagi seseorang untuk menentukan secara mutlak urusan mendapat anak melainkan hanya Allah sahajalah yang akan memberi atau menegahnya.

Dan firman Allah SWT lagi:

أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ (58) أَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ (59)

Maksudnya: (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? Adakah kamu menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

                 (Surah al-Waqi’ah: 58-59)

Kata Ibnu Kathir: “Maksud ayat itu “Apakah kamu yang menetapkan air mani itu di dalam rahim, dan mencipta anak di dalamnya, atau Kamilah yang menjadi Penciptanya?”

Imam Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir pula berkata: “Kalimah أفرأيتم itu bukan bermaksud pandangan mata kasar, tetapi lebih kepada sangkaan perasaan (zhon, khususnya apabila berkaitan dengan suatu yang menakjubkan). Kata al-Radhi, permisalan kalimah رأيت  ‘aku telah melihat’ lebih merujuk kepada makna makrifah dan penglihatan mata hati.”

Kita lihat daripada ayat-ayat al-Quran dan tafsir para ulama ini ialah, anak adalah merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dihargai dan atas setiap ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk menjaga maslahah anak-anaknya dan menjauhkan mereka daripada sebarang keburukan. Inilah fitrah yang Allah SWT telah jadikan dalam diri setiap manusia.

 

Islam Dan Pemeliharaan Kanak-Kanak

Islam memandang tinggi dan memberi perhatian serius kepada tanggungjawab memelihara dan mendidik kanak-kanak, samada dari sudut fizikal, mental mahupun spiritual.

Surah Luqman dalam al-Quran telah menukilkan kisah hamba Allah SWT yang soleh, Luqman al-Hakim yang memberi untaian nasihat dan pedoman hikmah kepada anaknya dengan penuh kasih-sayang dan tanggungjawab. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (12) وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (13)

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

(Surah Luqman: 12-13)

Al-Imam al-Maraghi sewaktu menafsirkan ayat-ayat ini telah menyebut:

“Allah SWT menjelaskan berkenaan Luqman yang menasihati anak lelakinya supaya melakukan seperti yang beliau lakukan, iaitu hendaklah bersyukur kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT memberi nasihat yang bersifat umum kepada setiap orang anak, supaya melayani kedua-dua ibu bapa mereka dengan cara yang baik sebagai menjaga hak mereka. Hal itu sebagai membalas jasa dan kebaikan yang diberikan ibu bapa kepada mereka. Walaupun demikian, dalam perkara berbakti kepada ibu bapa itu tidak boleh melanggar hak-hak Allah SWT. Seterusnya Allah SWT menyebut pula nasihat Luqman yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT dan perhubungan mereka antara sesama manusia”[4], antaranya ialah amar ma’ruf nahi munkar, serta anjuran supaya bersabar atas musibah yang dihadapi. Selain itu juga ialah larangan berlaku sombong di atas muka bumi.

Al-Quran juga berulang kali menekankan kebajikan anak-anak seperti kewajipan bapa menunaikan nafkah kepada anak-anaknya. Firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan kepada dan pakaian kepada ibu itu (yang menyusukan anak) menurut cara yang sepatutnya.

       (Surah al-Baqarah: 233)

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

  (Surah al-Isra’: 31)

وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنْكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Maksudnya: Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu; meminta izin.

              (Surah al-Nur: 59)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga seringkali menuntut agar umatnya berbuat baik pada anak-anak, seperti suruhan agar menamakan anak-anak dengan nama-nama yang baik:

Daripada Abu Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ، وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ، فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ                                

Maksudnya: Sesungguhnya kalian akan dipanggil di hari akhirat dengan nama-nama kalian, dan nama-nama ayah-ayah kalian. Maka perelokkanlah nama-nama kalian.

 Riwayat Abu Daud (4948)

Nabi SAW juga menganjurkan agar umatnya memberikan layanan yang baik dan adil kepada mereka. Daripada Anas RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

سَمِعتُ النَّبِـيَّ يَقُولُ: أكْرِمُوا أوْلاَدَكُمْ وَأحْسِنُوا آدابَهُمْ

Maksudnya: “Muliakanlah anak-anak kamu, dan perbaikilah adab mereka.”

                                                                                                           Riwayat Ibn Majah (3671)

Dan juga anjuran Baginda SAW supaya mencium anak-anak kecil sebagai tanda belas kasihan dan kasih sayang. Daripada Aisyah RA, dia berkata:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: تُقَبِّلُونَ الصِّبْيَانَ؟ فَمَا نُقَبِّلُهُمْ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوَأَمْلِكُ لَكَ أَنْ نَزَعَ اللَّهُ مِنْ قَلْبِكَ الرَّحْمَةَ

Maksudnya: “Telah datang seorang ‘Arab kepada Nabi SAW dan berkata: Adakah kalian mencium anak-anak kalian? Kerana kami tidak mencium anak-anak kecil kami. Maka Nabi SAW bersabda: Aku tidak mampu berbuat apa-apa setelah Allah SWT mencabut rasa kasih sayang dari hati kamu.”

Riwayat al-Bukhari (5998)

Baginda SAW juga pernah mendoakan Ibn Abbas yang pada waktu itu masih lagi seorang kanak-kanak. Ini menunjukkan baginda menghargai bakat dan kecerdikan seseorang tanpa mengira usia. Daripada Ibn ‘Abbas RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَضَعَ يَدَهُ عَلَى كَتِفِي - أَوْ عَلَى مَنْكِبِي، شَكَّ سَعِيدٌ - ثُمَّ قَالَ: " اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW meletakkan tangannya atas tulang belikatku – atau bahuku – dengan perasan gembira kemudian mendoakan aku: “Ya Allah! Jadikanlah dia seorang faqih dalam agama, dan ajarkanlah dia takwil (ilmu tafsir, dll).”

Riwayat Ahmad (2397)

Selain itu, terdapat banyak riwayat di mana Baginda SAW sendiri bermain-main dan bergurau-senda dengan dua cucu kesayangannya Saidina Hasan dan Saidina Hussein R.Anhuma, contohnya riwayat seperti mana daripada Abu Ya’la, daripada Umar al-Khattab, bahawa satu hari dia berjumpa Nabi SAW:

رَأَيْتُ الْحَسَنَ وَالْحُسَيْنَ عَلَى عَاتِقَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ : نِعْمَ الْفَرَسُ تَحْتَكُمَا . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "نِعْمَ الْفَارِسَانِ هُمَا "

Maksudnya: “Aku melihat al-Hasan dan al-Husein R.Anhuma berada di atas tengkuk Nabi SAW. Lalu aku berkata: Sebaik-baik kuda tunggangan adalah yang berada di bawah kalian berdua. Maka sabda Nabi SAW: Dan sebaik-baik penunggang kuda adalah mereka berdua.”[5]

Salah satu Maqasid Syariah yang dituntut oleh syari’ untuk menjaganya ialah hifzu an-nasl (pemeliharaan nasab dan keturunan). Tokoh ilmu Maqasid Syariah kontemporari seperti Syeikh Dr. Jasser Auda berkata skop hifzu an-nasl ini daripada sekadar mengelakkan zina dan hukuman hudud keatas penzina, kepada bina’ul usrah (pengukuhan, pemeliharaan dan penjagaan institusi kekeluargaan, di mana anak-anak merupakan salah satu komponen di dalamnya). Dalam hal ini beliau turut memetik pandangan ‘Allamah Tahir ibn ‘Asyur rahimahullah yang telah menyatakan perkara yang sama sebelumnya, di mana beliau berpandangan penjagaan terhadap keluarga merupakan satu Maqasid Syariah yang tersendiri.[6]

Para ulama’ Islam- silam mahupun kontemporari- telah banyak menulis pada menerangkan tanggungjawab, kepentingan dan seruan kearah pendidikan dan penjagaan kanak-kanak. Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazzali ada menerangkan tentang pendidikan awal kanak-kanak dalam magnum opus beliau Ihya’ Ulumiddin. Antara contoh kitab kontemporari yang amat baik dijadikan rujukan pula ialah Tarbiyatul Aulaad fil Islam karangan ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan.

Atas sebab inilah, umat Islam perlu menjuarai isu jenayah seksual kanak-kanak ini kerana agama Islam sendiri amat memberi perhatian yang khusus pada penjagaan dan pendidikan kanak-kanak. Umat Islam juga harus mula melibatkan diri secara aktif dalam isu-isu nasional yang melibatkan maslahah umum seperti ini, dan mereka seharusnya menjadi pemain utama (main player) dalam menggerakkan kempen-kempen kesedaran. Perbalahan dan perdebatan sekitar isu remeh-temeh dan tidak penting harus segera dihentikan; tenaga dan masa umat Islam harus diarahkan kearah medan yang sepatutnya.

 

Perspektif Undang-Undang

DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V telah menyampaikan titah semasa perasmian pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 pada 6 Mac 2017. Antara lain, Baginda telah menyentuh mengenai usaha melindungi kanak-kanak daripada penjenayah seksual yang mengeksploitasi mereka, dan Seri Paduka bertitah kerajaan akan membentangkan rang undang-undang jenayah seksual kanak-kanak untuk menangani masalah itu secara komprehensif, iaitu Rang Undang-Undang Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2016) merupakan akta utama yang mengawal dan mengendalikan isu dan kes melibatkan kanak-kanak di Malaysia. Akta ini yang telah dibentangkan dan diluluskan di parlimen pada tahun 2016 yang lalu merupakan satu kejayaan besar dalam usaha membanteras gejala jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak. Akta ini (sebelum pindaan 2016) yang tidak dipinda sejak tahun 2001, sebelum ini dianggap sebagai akta yang lapuk kerana tidak mampu mengatasi masalah jenayah seksual kanak-kanak yang kini melibatkan kecanggihan teknologi dan modus operandi baru, selain hukuman yang rendah ke atas pesalah.

Alhamdulillah, di bawah undang-undang baru ini, satu mahkamah khas akan ditubuhkan untuk mengendalikan kes jenayah kanak-kanak, di mana antara lain adalah hakim harus terdiri daripada pakar dalam isu ini, dan sebarang kes mestilah diselesaikan dalam tempoh setahun.[7]

 

Kenapa Perlunya Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak Ini

Namun demikian, Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2016) ini masih belum lengkap kerana ia tidak mengandungi peruntukan berkenaan sexual grooming. Secara mudahnya, child sexual grooming bermaksud suatu proses berkawan dan mendekati kanak-kanak (mereka yang berumur di bawah 18 tahun) serta memperoleh kepercayaan mereka, dengan niat untuk mengeksploit mereka secara seksual.

Negara-negara seperti Singapura dan Australia sudah pun mempunyai undang-undang yang komprehensif dalam menangani kes sexual grooming ini, dimana pelaku jenayah boleh didakwa sebelum mereka bertemu secara berdepan dengan mangsa.[8] Atas sebab ini lah RUU Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak ini dicadangkan bagi membolehkan pendakwaan terhadap pelaku sexual grooming ini ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Selain itu, Malaysia juga masih belum mempunyai undang-undang spesifik berkenaan pornografi kanak-kanak atau eksploitasi kanak-kanak untuk penghasilan pornografi. Seseorang yang memiliki bahan pornografik kanak-kanak bukan merupakan satu jenayah di negara ini.[9] Ini juga penting memandangkan pornografi kanak-kanak telah dikenalpasti antara penyumbang kepada gejala pedofil dan jenayah seksual kanak-kanak.[10]

Adalah diharapkan agar penggubalan undang-undang baru ini mampu menyelesaikan masalah jenayah seksual kanak-kanak ini, sekaligus merealisasikan hasrat rakyat negara ini bagi melihat negara yang lebih selamat dan aman untuk didiami.

 

Penutup

Pihak kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pertubuhan R.AGE[11], UNICEF, Protect and Save the Children (P.S the Children) dan Women's Centre for Change, Federation of Reproductive Health Associations Malaysia (FRHAM) serta para aktivis dan individu bukan kerajaan seperti Tan Sri Lee Lam Thye (Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia), Sdr. Syed Azmi AlHabsyi dan Lisa Surihani yang telah giat berkempen tanpa mengenal penat lelah dalam memastikan isu ini mendapat perhatian sewajarnya.

Bersempena dengan sidang parlimen penggal kelima kali ini, kami menyeru setiap ahli Parlimen Muslim dan bukan Muslim agar memainkan peranan secara proaktif dalam menyebarluaskan kesedaran rakyat akan hal ini, serta mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan, memberi input dan cadangan untuk penambahbaikan, sekaligus menyokong kearah penggubalan dan pelaksanaan akta ini.

Secara tuntasnya, semua pihak harus sama-sama menggalas beban tanggungjawab dalam memastikan kanak-kanak yang teraniaya mendapat pembelaan sewajarnya. Isu ini wajar diberi perhatian serius oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan bangsa, agama dan pangkat. Jadikan RUU Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak ini sebagai medan penyatuan rakyat Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Semoga dengan Bayan Linnas yang membicarakan isu ini akan dapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak untuk memelihara dan memberikan hak yang sewajarnya kepada kanak-kanak kita semua yang akan menjadi pelapis generasi akan datang.

 

Akhukum fillah,

 

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

8 Mac 2017 bersamaan 9 Jamadil Akhir 1438

 

Nota hujung:

[1] http://utusan.com.my/rencana/utama/bersama-tangani-penderaan-seksual-kanak-kanak-1.442340

[2] https://www.theguardian.com/uk-news/2016/jun/06/richard-huckle-given-23-life-sentences-for-abusing-malaysian-children

[3] http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/07/02/wechat-most-commonly-used-by-paedophile/

[4] Al-Maraghiy, 11/5370

[5] Hayatu al-Sahabah, 3/512.

[6] Jasser Auda, 2007, Maqasid Shariah as Philosophy of Islamic Law: A Systems Approach, Washington: The International Institute of Islamic Thought, hal. 22

[7] http://utusan.com.my/rencana/utama/bersama-tangani-penderaan-seksual-kanak-kanak-1.442340

[8] http://rage.com.my/we-need-grooming-laws/

[9] ibid.

[10] http://www.apa.org/monitor/2009/12/child-abuse.aspx

[11] R.AGE terdiri daripada sekumpulan wartawan muda yang aktif menulis dan melaporkan isu-isu penting. Video-video penyamaran jurnalis R.AGE dibawah kempen Predator in My Phone boleh diakses dan ditonton di lama web mereka ataupun di Youtube. Video-video pendedahan yang membongkar gejala child sexual grooming ini telah mencapai angka sejuta tontonan sejak projek ini dimulakan.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top