Visitors Hit

7452497 Views

 

Soalan: Apakah kaedah dan jenis tanah yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan samak?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Riwayat-Riwayat Berkaitan Cara Menyamak Bekas Di Jilat Anjing

Antara riwayat yang menceritakan berkaitan cara menyucikan bekas yang dijilat anjing adalah:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَرِبَ الكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali”. [Riwayat al-Bukhari (172)]

 

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah. [Riwayat Muslim (279)]

 

يُغْسَلُ الإِنَاءُ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الكَلْبُ سَبْعَ مَرَّاتٍ: أُولَاهُنَّ أَوْ أُخْرَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Dibasuh bekas apabila dijilat padanya anjing sebanyak tujuh kali, yang pertama atau yang terakhir”. [Riwayat al-Tirmizi (91)] [Hadith ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi]

 

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ ، أَحْسَبُهُ قَالَ: إحْدَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali”. Cukup baginya: “Salah satu daripadanya (basuhan) dengan tanah”. [Riwayat al-Bazzar (8887)]

 

Hadith ini kami tidak ketahui ia diriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah, daripada Abi Zinad, daripada al-A’raj, daripada Abi Hurairah melainkan Yunus bin Bakir. [Lihat: Musnad al-Bazzar, 332/15]

  • Daripada Ali RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ إِحْدَاهُنَّ بِالْبَطْحَاءِ

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya tanah yang rata”. [Riwayat al-Daraquthni (192)]

 

Di dalam hadith terdapat perawi bernama al-Jarud dan dia adalah Ibn Abi Yazid seorang yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). [Lihat: Sunan al-Daraquthni, 107/1]

Di dalam Sunan al-Daraquthni terdapat lafaz “إِحْدَاهُنَّ” juga dan sanadnya adalah dhaif kerana di dalam sanad hadith tersebut terdapat al-Jarud bin Yazid dan dia adalah seorang yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). [Lihat: Nail al-Awthar, 55/1]

Telah berkata al-Hafiz di dalam al-Fath bahawa riwayat “أُولَاهُنَّ” adalah arjah (lebih kuat) dari sudut banyaknya (الأكثرية) dan juga lebih terpelihara (الأحفظية). Selain itu juga, dari sudut makna hadith juga kerana jika dibasuh dengan tanah di akhir maka ia memerlukan basuhan yang lain bagi menyucikannya.

Kata mereka permulaan dan juga akhir basuhan dengan tanah di dalam riwayat al-Tirmizi, jika ia adalah kalimah (sebahagian daripada hadith) atau ia wujud disebabkan oleh syak daripada perawi. Maka ia kembali kepada tarjih dan engkau telah ketahui bahawa riwayat “أُولَاهُنَّ” lebih kuat. Akan tetapi jika perkataan “أُخْرَاهُنَّ” itu thabit daripada Nabi SAW maka ia menunjukkan takhyir (pemilihan) daripada hadith tersebut. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 253/1]

 

Definisi tanah “التراب

Turab di dalam Bahasa Arab membawa maksud bahagian tanah yang lembut pada permukaan bumi. Definisi ini boleh didapati di dalam kamus serta mu’jam Bahasa Arab seperti Mu`jam al-Ghaniy, Mu`jam al-Ra’id, Mu`jam al-Lughah al-`Arabiyyah al-Mu`asir dan Mu`jam al-Wasit.

Adapun tanah mengikut Kamus Dewan, ia membawa maksud lapisan bumi yang di atas sekali iaitu lapisan luar yang terzahir di atas muka bumi ini.

Sebagaimana yang diketahui bahawa tanah di dalam bahasa arab adalah al-Turab “التراب” atau al-Thin “الطين”. Antara firman Allah SWT dan juga hadith Nabi SAW menggunakan perkataan ini adalah:

  • Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ إِذَا أَنتُم بَشَرٌ تَنتَشِرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah, setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi”. [al-Rum:20]

 

  • Firman Allah SWT:

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِّن طِينٍ

Maksudnya: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah”. [al-Shad:71]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

النَّاسُ كُلُّهُمْ بَنُو آدَمَ وَآدَمُ خُلِقَ مِنْ تُرَابٍ

Maksudnya: “Manusia semuanya adalah anak Adam dan Adam diciptakan dari tanah”. [Riwayat al-Tirmizi (3955)] [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan]

 

Tambahan pula, Allah SWT memerintahkan kita agar bertayammum dengan tanah apabila ketiadaan air. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

  • Firman Allah SWT:

 

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ

Maksudnya: “kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu”. [al-Nisa’:43]

 

Di dalam Tafsir Ibn Kathir, al-Sha’id (الصعيد) dikatakan setiap yang berada di atas muka bumi. Untuk itu, termasuk di dalamnya (Al-Sha’id) itu tanah, pasir, pokok, batu dan tumbuhan. Ini adalah satu pendapat di dalam mazhab Malik. Dikatakan juga, al-Sha’id itu daripada jenis tanah seperti pasir, al-Zarnikh (jenis batu) dan al-Naurah (jenis batu). Ini pula merupakan pendapat mazhab Ab Hanifah. Dikatakan al-Sha’id itu adalah tanah sahaja dan ini adalah pendapat mazhab al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal serta pengikut kepada kedua mazhab ini. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

 

فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا

Maksudnya: “Sehingga kebunmu itu menjadi tanah yang licin lagi tandus”. [al-Kahfi:40]

 

Iaitu Tanah yang lembut lagi suci. Selain itu juga, berdasarkan apa yang thabit di dalam Sahih Muslim. Daripada Huzaifah bin al-Yaman berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

فُضِّلْنَا عَلَى النَّاسِ بِثَلَاثٍ: جُعِلَتْ صُفُوفُنَا كَصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ، وَجُعِلَتْ لَنَا الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدًا، وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Kita dimuliakan di atas manusia yang lain dengan tiga perkara: Dijadikan saf-saf kita seperti saf-saf para malaikat, dijadikan bagi kita bumi yang mana semuanya adalah masjid dan dijadikan tanah pada bumi itu suci apabila kita tidak mendapati air”. [Riwayat Muslim (522)]

 

Di dalam satu lagi lafaz:

 

وَجُعِلَ تُرَابُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Dijadikan tanah pada bumi itu bagi kita adalah suci apabila kita tidak mendapati air”.

 

Oleh yang demikian, mereka mengkhususkan kesucian itu dengan tanah pada tempat kelebihan. Jika yang dimaksudkan pada tempat tanah itu adalah selain daripada tanah nescaya akan disebut bersama dengan tanah. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 280/2]

 

  • Di dalam Sahih al-Bukhari:

 

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ، فَقَالَ: إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبِ المَاءَ، فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ: أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ، فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ، وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ، فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صلّى الله عليه وسلم، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا» فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الأَرْضَ، وَنَفَخَ فِيهِمَا، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Umar bin al-Khattab lalu berkata: Aku berjunub dan aku tidak mendapati air. Maka berkatalah Ammar bin Yasir kepada Umar bin al-Khattab: Tidakkah kamu ingat ketika aku dan kamu di dalam perjalanan. Ketika itu, kamu tidak mengerjakan solat sedangkan aku berguling di atas tanah lalu solat. Kemudian hal ini diceritakan kepada Nabi SAW lalu baginda SAW bersabda: “Sebenarnya cukup bagi kamu melakukan begini”. Nabi SAW menepuk dengan dua tapak tangannya ke tanah dan meniupnya lalu menyapu kedua tapak tangan tersebut di muka dan kedua pergelangan tangannya”. [Riwayat al-Bukhari (338)]

 

  • Telah berkata Ammar bin Yasir kepada Umar bin al-Khattab:

 

تَمَعَّكْتُ، فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَكْفِيكَ الوَجْهَ وَالكَفَّيْنِ

Maksudnya: “Aku telah berguling lalu aku mendatangi Nabi SAW. Maka Nabi SAW bersabda: Cukup bagi kamu wajah dan dua tangan”. [Riwayat al-Bukhari (341)]

 

Berdasarkan kedua hadith di atas, kita memahami bahawa tanah yang dimaksudkan di dalam hadith adalah di bahagian atas permukaan bumi. Ini kerana, di dalam hadith tidak diisyaratkan bahawa Nabi SAW memerintahkan sahabat agar menggali permukaan bumi bagi mendapatkan tanah untuk bersuci. Selain itu juga, melihat kepada perbuatan Ammar bin Yasir sudah jelas bahawa beliau berguling di atas permukaan bumi dan Nabi SAW tidak menegurnya bahawa tanah yang digunakan itu adalah tidak sah digunakan untuk bersuci.

 

Hukum Membasuh Dengan Tujuh kali basuhan

Para ulama’ al-Malikiyyah berpandangan bahawa membasuh bekas dengan tujuh kali basuhan adalah Ta’abudiyy maka dengan itu mereka berpandangan bahawa air yang dijilat anjing adalah suci. Adapun jumhur iaitu ulama’ al-Hanafiyyah, al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa Ta’abbud hanya pada bilangan tujuh dan bukan pada amalan menyucikan kerana ia adalah mu’allal (bersebab). Di sebabkan itu, air yang dijilat oleh anjing adalah najis.

 

Di dalam masalah ini juga, para ulama’ berbeza pendapat adakah wajib membasuh sebanyak tujuh kali kepada dua pendapat:

Pertama: Wajib membasuh tujuh kali dan ini adalah pendapat di dalam mazhab Malik,  mazhab al-Syafie dan juga mazhab Ahmad. Mereka ini berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sebagaimana yang telah kami nyatakan pada permulaan perbincangan.

Kedua: Tidak wajib membasuh sebanyak tujuh kali dan ini merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah. Ini kerana, mereka mengatakan bahawa air liur anjing seperti najis-najis yang lain cukup sekadar membasuhnya dengan sekali basuhan jika itu telah menghilangkan kenajisannya. Akan tetapi membasuh sebanyak tujuh kali adalah mustahab bukannya wajib. Mereka berdalilkan bahawa Abu Hurairah RA pernah mengeluarkan fatwa bahawa cukup membasuh sebanyak tiga kali bagi kenajisan air liur anjing seperti yang terdapat di dalam riwayat-riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Thahawi dan al-Daraquthni. Ini menunjukkan bahawa bilangan tujuh itu termansukh.

Pendapat kedua ini boleh dijawab dengan beberapa jawapan. Antaranya:

  • Fatwa Abu Hurairah ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan. Beramal dengan apa yang beliau riwayatkan daripada Nabi SAW adalah lebih utama berbanding daripada apa yang beliau fatwakan.
  • Abu Hurairah juga pernah berfatwa agar dibasuh sebanyak tujuh kali dan sanadnya lebih kuat.
  • Membasuh sebanyak tujuh kali itu bertepatan dengan riwayat Marfu’ iaitu sampai kepada Nabi SAW.

 

Hukum Tatrib Pada Menyucikan Najis Anjing

Ulama’ al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”. [Riwayat Muslim (279) dan Ahmad (9511)]

 

Mereka juga mengqiyaskan khinzir dengan anjing. Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). [Lihat: Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 114/3]

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan kami di atas, kami berpendapat bahawa ulama’ telah berbeza tentang hukum penggunaan tanah bagi menyucikan najis mughallazah, Hanya ulama’ Syafieyyah dan Hanabilah yang mewajibkan penggunaan tanah. Mereka yang mewajibkan sertu tidak berkhilaf tentang jenis tanah yang digunakan, Justeru itu, dibolehkan menggunakan segala jenis tanah lembut samada di atas atau di bawah permukaan bumi sebagaimana yang difahami orang Arab melalui ensiklopedia (mu’jam) atau kamus mereka. Maka, samada ianya adalah tanah (soil) atau tanah liat (clay) seperti yang difahami oleh ahli geologi, kedua-duanya dibolehkan. Tambahan pula, agama kita terbina bagi memudahkan umatnya dalam melaksanakan sesuatu dan menolak sikap takalluf (تكلف) iaitu sifat membebankan diri dalam beribadah. Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati dan memberi kita kefahaman dalam agama. Amin.

Wallahua’lam

Akhukum fillah 

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top