Visitors Hit

7946994 Views

Soalan: Apakah hukum melakukan tribute buat penggiat seni / artis yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Telah sampai ke meja kami soalan daripada seorang penggiat seni berhubung hukum membuat majlis tribute kepada golongan karyawan yang telah meninggal dunia. Sebagai contoh, Anugerah Tribute P.Ramlee, Anugerah Kaseh Tribute P.Ramlee dan lain-lain yang seumpamanya. Adakah ia dibenarkan dalam Islam atau sebaliknya?

Definisi Tribute

Tribute adalah perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud

an act, statement, or gift that is intended to show gratitude, respect, or admiration.
Maksudnya: Satu perbuatan, kenyataan atau hadiah yang dikhususkan untuk menzahirkan rasa terima kasih, penghormatan dan kekaguman.

Ia adalah satu bentuk majlis bagi memperingati (commemoration) jasa seseorang yang telah meninggal dunia. Dalam Islam, ia dikenali dengan istilah al-ta’bin (التأبين) ataupun al-ritha’ (الرِثاء).

Hukum Majlis Memperingati Orang Yang Telah Mati

Kami melihat, ada tiga bentuk hukum majlis ta’bin ini dan ianya bergantung kepada bagaimana ia diadakan.

Pertama: Haram

Majlis sebegini menjadi haram sekiranya ianya lebih kepada ratapan, tangisan yang melampau-lampau, menambahkan kesedihan dan kepiluan akan kehilangan si mati. Ini sebagaimana hadith daripada Ibn Abi Aufa:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن المراثي
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang al-marathi.”
(Riwayat Ibn Majah, no. 1592)

Al-ritha’ adalah ratapan atau pujian terhadap si mati setelah dikuburkan. Ia juga boleh difahami dengan kesedihan terhadap si mati akibat sesuatu yang menimpanya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 14/309)

Ratapan sebegitu juga termasuk dalam kategori al-nihayah yang dilarang oleh Nabi SAW. Sabda Nabi SAW;

ليس مِنَّا من ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَةِ الْجَاهِلِيَّةِ
Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami, mereka yang memukul muka, mengoyakkan baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 1232)

 Kedua: Makruh

Ini merupakan pandangan sebahagian ulama’ Syafi’iyyah. Imam al-Nawawi berkata:

“Berkata penulis kitab at-Tatimmah (Imam al-Mutawalli al-Naisaburi), bahwa hukumnya makruh memuji-muji si mati dengan menyebutkan nenek moyangnya, sifat-sifatnya dan perbuatannya. Apa yang lebih utama adalah mendoakan keampunan buatnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/216)

Imam al-Ramli menyebutkan:

“Dimakruhkan untuk memuji atau meratapi si mati atas larangan al-marathi.” (Lihat Nihayat al-Muhtaj (3/17).

Ketiga: Harus

Ini merupakan pandangan ulama’ Hanafiah dan sebahagian Syafi’iyyah. Muhammad bin ‘Ali al-Hanafi menjelaskan,

“ Tidak ada masalah untuk memindahkan jenazah sebelum dikuburkan, dan mengumumkan kematiannya, serta memujinya dengan syair atau cara lain, tetapi dimakruhkan berlebih-lebihan di dalam memujinya apalagi disamping jenazahnya ( yang baru saja dikuburkan ).” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin (2/239)

Sekiranya majlis tersebut hanya sekadar memperingati jasa seseorang tanpa pujian yang berlebihan-lebihan sehingga membawa kepada penipuan, tidak ada ratapan, tangisan yang melampau, maka para sahabat dan para ulama’ banyak yang melakukannya Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli. (Lihat Nihayat al-Muhtaj (3/17).

Memetik kenyataan al-Mubarakfuri,

"Al-Marathi yang dilarang adalah yang di dalamnya terdapat pujian kepada si mati dan penyebutan tentang kebaikan-kebaikannya yang membangkitkan kesedihan dan memperbaharui kepiluan. Atau melakukan hal tersebut dengan cara berkumpul atau memperbanyakkan perkara-perkara tersebut. Apa yang hendak dinyatakan di sini adalah Nabi SAW sendiri berdukacita dan bersedih atas kematian Sa’d di Mekah selepas hijrah, bukannya pujian kepada si mati untuk membangkitkan kesedihan. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qastallani.” (Lihat Tuhfat al-Ahwazi, 6/253)

Dalam satu hadith riwayat Anas bin Malik RA, beliau berkata:

مَرُّوا بِجَنَازَةٍ فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا خَيْرًا، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: وَجَبَتْ ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرى فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا شَرًّا، فَقَالَ: وَجَبَتْ ,فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه، مَا وَجَبَتْ قَالَ: هذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا فَوَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ، وَهذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ، أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللهِ فِي الأَرْضِ
Maksudnya: “Suatu ketika para sahabat melewati jenazah yang diangkat menuju pemakamannya, merekapun memuji jenazah ini. Kemudian Nabi SAW bersabda : Telah wajib (baginya syurga).  Kemudian mereka melewati jenazah lain, maka mereka pun memberikan penilaian buruk, maka Rasulullah SAW bersabda : Telah wajib (baginya neraka). Maka Umar bin Khattab RA bertanya,”Apanya yang wajib?” Jawab Nabi SAW: “Jenazah pertama kalian puji dengan kebaikan, maka dia mendapat syurga. Jenazah kedua kalian cela, maka dia mendapatkan neraka. Kalian adalah saksi Allah di muka bumi.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 1367)

 Hadith di atas seolah-olah memberi petunjuk kepada kita bahawa apa yang disebutkan itulah yang diperoleh oleh si mati. Maka, majlis memperingati si mati yang disulami dengan doa memohon keampunan untuknya setidak-tidaknya dapat meringankan bebanannya di alam barzakh dan mengangkatnya ke darjat yang lebih tinggi di sisi-Nya.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa Nabi SAW sendiri pernah bersedih dengan pemergian Sa’d bin Khaulah dengan sabdanya:

لَكِنْ الْبَائِسُ سَعْدُ بْنُ خَوْلَةَ
Maksudnya: Tetapi kasihan Sa’ad bin Khaulah
(Riwayat al-Bukhari, 1295)

Maka, jelas di sini bahawa melafazkan kesedihan terhadap si mati bukanlah sesuatu yang dilarang asalkan tidak berlebih-lebihan. Imam al-Nawawi Rahimahullah juga membawakan dua hadith (Riwayat al-Bukhari, no. 1367 dan 1368) dalam Bab “Pujian Orang-Orang kepada Orang yang Meninggal Dunia” dalam kitabnya Riyadh al-Salihin.

Beliau mengatakan bahawa pujian yang dimaksudkan adalah pujian daripada ahl al-fadhl ataupun orang soleh yang punya keutamaan. Pujian mereka pasti sesuai kenyataan yang ada dari orang yang meninggal dunia. Sehingga dinyatakan dalam hadith, dialah yang dijamin syurga.

Selain itu, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pujian itu terdapat secara umum dan mutlak. Setiap muslim yang mati, Allah akan memberi ilham pada orang-orang dan majoritinya untuk memberikan pujian padanya, itu adalah petanda bahawa ianya adalah penduduk syurga, baik pujian tersebut benar ada padanya atau tidak. Jika memang tidak ada padanya, maka tidak dipastikan mendapatkan hukuman. Namun, ia tetap berada di bawah kehendak Allah. Justeru, jika Allah mengilhamkan kepada orang-orang untuk memujinya, maka itu tanda bahawa Allah menghendaki padanya mendapatkan keampunan. Itu sudah menunjukkan faedah dari memujinya. Demikian penjelasan dari Imam Nawawi. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/20)

Al-Khatthabi juga menjelaskan:

“Adapun al-marathi yang di dalamnya terdapat pujian kepada si mati dan mendoakannya, maka hal tersebut tidaklah makruh. Ini kerana Rasulullah SAW pernah memuji beberapa Sahabat (yang telah meninggal dunia) sebagaimana yang diriwayatkan para ulama.” (Lihat Gharib al-Hadith, 1/649)

Oleh itu, kami berpandangan bahawa majlis memperingati sumbangan dan jasa seseorang yang telah mati, adalah diharuskan di dalam Islam dengan mematuhi beberapa garis panduan berikut:

  • Tidak ada ratapan dan tangisan yang melampau.
  • Tidak menimbulkan kesedihan yang bersangatan atas pemergian si mati.
  • Tidak ada pujian yang keterlaluan apatah lagi penipuan
  • Anjuran kepada keluarga si mati untuk bersabar dan tabah menghadapi ujian tersebut.
  • Memberikan motivasi kepada hadirin untuk mengambil pengajaran dan mencontohi sumbangan si mati dalam hal kebaikan.

 

Akhukum fillah, 

Datuk Dr. Zulkilkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

16 Jun 2017 bersamaan 21 Ramadhan 1438H

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top