Visitors Hit

7452550 Views

Soalan

Apakah hukumnya seseorang jemaah yang melaksanakan tahallul kemudian barulah dia teringat bahawa tawafnya masih tidak cukup tujuh kali pusingan?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam melaksanakan ibadah umrah, seorang jemaah diwajibkan untuk melengkapkan segala rukun-rukun yang ada agar ibadah yang dilakukan itu sempurna dan diterima. Sebagai contoh, berniatlah dan berihramlah di miqat yang telah ditentukan, tawaflah dengan bilangan yang mencukupi iaitu tujuh keliling dan sa’ielah dengan lengkap mengikut aturan yang telah ditentukan dan bertahallullah dengan sempurna.

Merujuk kepada persoalan di atas, tawaf itu tidak sah dan dia wajib mencukupkan tawafnya kemudia melakukan sa’ie dan bercukur atau bergunting rambut. Wajib ke atasnya membayar dam kerana menggunting rambut sebelum sempurna tawaf dan sa’ie. Dam yang dikenakan ke atasnya ialah dam takhyir dan taqdir.

Maksud takhyir ialah seseorang jemaah itu diberi pilihan untuk memilih antara jenis-jenis dam yang diwajibkan. Taqdir pula ialah merujuk kepada kadar dam tersebut yang telah ditetapkan oleh syarak. Antara dam takhyir dan taqdim yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Menyembelih seekor kambing di Tanah Haram, atau;
  2. Bersedekah kepada 6 orang fakir miskin di Tanah Haram sebanyak dua cupak makanan tiap-tiap seorang, atau;
  3. Berpuasa selama tiga hari.

Allah SWT berfirman:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam.”

Kesimpulan

Di dalam Islam, setiap ibadah yang dilaksanakan haruslah mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini kerana, rukun adalah tulang belakang kepada sesuatu ibadah tersebut. Tanpa rukun maka tidak sahlah sesuatu ibadat tersebut.

Sepertimana ibadah umrah yang mempunyai 5 rukun yang wajib dilaksanakan. Jika tidak cukup salah satu daripada lima rukun tersebut atau tertinggal mana-mana dariapda rukun tersebut maka tidak sahlah umrah yang dilaksanakan malah dikenakan dam ke atasnya jika terdapat pelanggaran sepanjang berihram.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top