Visitors Hit

3857897 Views

 

Mukadimah

Di dalam perbahasan al-Qiyas ada suatu bab yang disebutkan sebagai masaalik al-‘illah. Dalam kata lain, ia merupakan jalan-jalan atau cara-cara yang digunakan dalam usaha mengenalpasti illah (sebab) bagi sesuatu hukum. Antara cara yang paling masyhur digunapakai adalah al-Nas, al-Ijma’, dan juga al-Sabr wal-taqsim. Sekiranya illah bagi sesuatu hukum itu tidak sabit di dalam nas ataupun ijma’, maka seorang mujtahid itu beralih kepada al-sabr wal-taqsim dalam usaha mengenalpasti dan mengeluarkan illah bagi hukum tersebut. Justeru, di dalam siri kali ini kami akan hurai dan kupas dengan menumpukan kepada masalik al-illah yang ketiga iaitu al-Sabru wal-taqsim.

Definisi Al-Sabru Wal-Taqsim

Al-Sabru wal-taqsim terdiri daripada dua kalimah iaitu al-Sabru dan juga al-Taqsim. Dari sudut bahasa, makna al-sabr adalah: Ikhtibar ataupun melakukan ujian. Manakala al-taqsim pula dari sudut bahasa bermaksud: Memecahkan atau membahagikan kepada beberapa bahagian.

Dari segi istilah, kata al-Imam Ibn al-Najjar Rahimahullah dalam mendefinisikan al-Sabru wal-Taqsim: Membataskan ciri-ciri yang terdapat pada asal yang diqiyaskan ke atasnya serta membatalkan ciri-ciri yang tidak sesuai. Lihat Syarah al-Kaukab al-Munir, Ibn al-Najjar (Hlm. 516).

Dalam kata lain, Al-Sabru wal-Taqsim membawa maksud: Seorang mujtahid itu membataskan beberapa ciri yang beliau mendapati sesuai untuk menjadi illah bagi hukum. Kemudian beliau melakukan penelitian, ujian, serta pengkajian lalu membatalkan beberapa ciri yang beliau lihat tidak sesuai untuk dikekalkan.

Pengaplikasian Al-Sabru Wal-Taqsim

Berikut kami kongsikan beberapa contoh pengaplikasian al-Sabru wal-Taqsim di dalam pencarian illah bagi sesuatu hukum:

Pertama: Illah Pengharaman Arak

Nas ilahi jelas menunjukkan bahawa hukum arak adalah haram. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Surah al-Maidah (90)

Berdasarkan ayat di atas, hukum arak adalah jelas haram disebabkan terdapatnya perintah dari Allah S.W.T untuk menjauhinya.

Sekalipun nas telah menunjukkan akan keharamannya, akan tetapi ‘illah pengharamannya tidak dinyatakan bersama. Justeru, para mujtahid berusaha untuk mencari ‘illah yang sesuai bagi hukum pengharaman arak.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ‘illah pengharaman arak adalah kerana ianya memabukkan. Mereka berhujah dengan sabda Nabi S.A.W :

 كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ وَكُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ

Maksudnya: Setiap yang memabukkan itu adalah haram dan setiap yang memabukkan itu adalah arak.

Riwayat al-Nasaie (5586)

Hadis di atas jelas menunjukkan nas pengharaman arak berserta illahnya adalah memabukkan. Walaupun begitu, hadis ini tidak sampai ke pengetahuan sebahagian ulama. Bahkan jika sampai sekalipun hadis ini kepada mereka, ianya boleh jadi tidak sahih di sisi mereka. Justeru, mereka mengguna jalan al-Sabr wal-Taqsim dalam usaha mencari ‘illah yang sesuai bagi hukum pengharaman arak

Dengan menggunakan jalan Al-Sabr Wal-Taqsim, seorang mujtahid menghimpunkan ciri-ciri yang memungkinkan salah satu darinya untuk menjadi illah pengharaman arak. Contohnya adalah seperti berikut:

  • Ciri arak yang berasal dari anggur.
  • Ciri arak yang mengalir.
  • Cirinya yang memabukkan.
  • Ciri arak yang disifatkan sebagai kotoran.

 

Proses pengasingan dan pembahagian ciri-ciri di atas inilah yang dinamakan sebagai Al-Taqsim. Kemudian seorang mujtahid itu melakukan ujian dan penilaian serta membuang ciri-ciri yang dirasakan tidak sesuai untuk menjadi illah dan dikekalkan satu ciri yang sesuai untuk dianggap sebagai illah hukum. Proses inilah yang dinamakan sebagai Al-Sabru.

Kedua: Penguasaan (Wilayah) Seorang Ayah Dalam Mengahwinkan Anak Perempuan

Sesungguhnya nas telah menyatakan berkenaan wilayah (penguasaan) seorang bapa ke atas perkahwinan anak perempuannya yang merupakan anak dara lagi kecil. Akan tetapi illah bagi hukum ini tidak disebutkan baik di dalam nas mahupun ijma’. Maka seorang mujtahid meneliti kepada nas dan membataskan illah kepada salah satu dari yang dua iaitu: Dara ataupun sifat anak yang masih kecil.

Setelah meneliti, beliau pun mengasingkan ciri ‘dara’ kerana syaari’ tidak menganggapnya sebagai satu jenis dari jenis-jenis iktibar (yang diambil kira). Lalu seorang mujtahid itu mengekalkan ciri ‘kecil’ kerana syarak menganggapnya sebagai illah pada wilayah (penguasaan) ke atas harta anak kecil. Maka ia menjadi dalil bahawa syarak telah mengambil suatu ciri yang diambil kira iaitu sifat ‘kecil’.

Namun tidak dinafikan bahawa penelitian para mujtahid juga boleh jadi berbeza di antara satu sama lain dalam menjalankan proses Al-Sabr Wal-Taqsim. Boleh jadi seorang mujtahid itu menganggap bahawa sesuatu ciri itu sesuai untuk dijadikan illah. Manakala mujtahid lainnya menganggap ciri tersebut tidak sesuai.

Sebagai contoh: Golongan Hanafiyyah melihat bahawa illah al-wilayah (penguasaan) seorang bapa dalam mengahwinkan anak daranya yang kecil adalah ciri ‘kecil’ bukannya ‘dara’. Manakala golongan al-Syafieyyah pula melihat cirinya adalah ‘dara’ dan bukannya ‘kecil’.

 

Perbezaan Di Antara Al-Sabru Wa al-Taqsim Dengan Tanqih al-Manath

Di dalam siri yang lepas, kami telah menyebutkan secara panjang lebar berkenaan Tanqih al-Manath. Secara ringkasnya, ia merupakan suatu proses Membersihkan illah daripada ciri-ciri atau sifat yang berkaitan dengannya yang mana ianya tidak termasuk/dikira sebagai illah.

Justeru, apakah perbezaan di antara Al-Sabru Wa Al-Taqsim dengan Tahqiq al-Manath ?

Kami jawab secara ringkasnya seperti berikut:

  • Proses al-Sabru Wa Al-Taqsim digunakan ketika berlakunya pertembungan di antara dalil-dalil dan juga illah. Ia juga digunakan untuk mengisbatkan illah serta turut digunakan di dalam Tahqiq al-Manath dan juga Takhrij al-Manath.
  • Tanqih al-Manath merupakan proses pembersihan ‘illah dari segala ciri yang tidak berkaitan dengannya dalam keadaan ciri-ciri tersebut turut disebutkan di dalam nas yang sama.
  • Menurut sebahagian ulama, proses Al-Sabru Wa Al-Taqsim khusus kepada ‘illah yang diistinbatkan sahaja. Manakala proses Tanqih al-Manath khas kepada ‘illah yang dinaskan ke atasnya secara zahir.

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, memandangkan proses Al-Sabru Wa Al-Taqsim ini merupakan suatu jalan untuk mengenalpasti ‘illah hukum, maka adalah perlu untuk seorang mujtahid menguasainya dengan baik. Ini kerana, banyak permasalahan-permasalahan baharu yang berlaku pada zaman ini yang berhajat kepada hukum ke atasnya. Kebanyakannya pula, tidak terdapat pada zaman dahulu. Maka adalah perlu untuk dikenalpasti sesuatu illah hukum agar mudah untuk dijalankan proses Qiyas dalam perkara-perkara baharu yang berlaku. Semoga Allah memberikan kita pencerahan dalam memahami isu ini dengan jelas. Ameen.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top