Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

murji'ah.JPG

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan fahaman Murji’ah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kupasan berkenaan aliran Murji’ah banyak ditulis oleh para ulama’ silam cuma perbahasan mereka lebih tertumpu kepada aspek sejarah dan akidahnya sahaja. Antaranya adalah Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari, Imam ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi, Imam Ibn Hazm al-Zahiri, Imam ‘Abd al-Karim al-Shahrastani dan Syeikh Ibn Taimiyyah.

 

Definisi al-Murji’ah

Al-Murji’ah menurut al-Mu’jam al-Wasit adalah berasal daripada kata nama (الإرجاء). Ia mempunyai dua pengertian iaitu:

  1. Menangguhkan

Firman Allah SWT:

قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَأَرْسِلْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ

Maksudnya: “Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);”

(Surah al-A’raf: 111)

           

  1. Pengharapan

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

     (Surah al-Baqarah: 218)

Pandangan jumhur ulama firaq menyatakan (الإرجاء) dari sudut istilah diambil makna dari sudut bahasa iaitu mengakhirkan atau menangguhkan. (Lihat Fajr al-Islam, m. 279)

Sufyan al-Thauri rahimahullahu berkata: “Adapun Murji’ah mereka menyatakan iman hanyalah ucapan tanpa amal perbuatan. Barangsiapa yang bersyahadah La’ilaha illallah maka dia telah sempuma keimanannya. Imannya seperti imannya Jibril dan para malaikat meskipun dia membunuh (yang diharamkan darahnya), dia tetap dikatakan sebagai Mukmin. Dan meskipun dia meninggalkan mandi janabah serta tidak solat. Mereka juga menghalalkan darah kaum Muslimin. “ (Lihat Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 13/1071)

Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari menjelaskan:

Menurut Imam al-Syahrastani: “Adapun nama Murji’ah bagi pengertian yang pertama adalah tepat kerana mereka menangguhkan perbuatan daripada niat dan ‘akad (mengutamakan niat berbanding perbuatan). Adapun pengertian yang kedua juga ianya jelas kerana mereka berkata: Maksiat tidak menjejaskan iman, sebagaimana ketaatan tidak akan memberi manfaat jika disertakan dengan kekufuran.” (Lihat al-Milal wa al-NIhal, 1/139)

 

Sejarah Ringkas Aliran Murji’ah

Bibit awal pemikiran irja’ dan aliran Murji’ah bermula setelah suasana ketidakstabilan politik yang berlaku selepas pembunuhan Sayyiduna ‘Uthman ini dieksploitasi untuk diperbahas dan ditafsirkan menurut fahaman masing-masing. Apa yang dibincangkan oleh golongan yang datang selepas zaman Sahabat adalah hukum golongan para Sahabat yang terlibat dalam peperangan tersebut yang dipandang secara asas telah melakukan dosa besar.

Isu ini akhirnya telah berubah menjadi satu fahaman akidah melibatkan kedudukan pelaku dosa besar. Dalam hal ini, Murji’ah mengatakan bahawa pelaku dosa besar tetap dianggap beriman dengan iman yang sempurna manakala dosanya diserahkan kepada Allah S.W.T sama ada diampuni atau tidak. Kemudian ia diikuti pula oleh golongan yang kebetulan pulang dari medan perang dan memasuki Madinah setelah terbunuhnya Saidina ‘Uthman. Inilah sebagaimana pandangan Syeikh Muhammad Abu Zahrah. (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/120). Golongan inilah yang digelar sebagai kelompok yang ragu-ragu (shukkak) oleh Ibn ‘Asakir.

Kata Ibn ‘Asakir: “Dan adapun Murji’ah, mereka adalah golongan yang ragu-ragu. Mereka sebelumnya berada dalam peperangan. Ketika mereka kembali ke Madinah selepas pembunuhan ‘Uthman, kesetiaan mereka sama dengan orang ramai, pendirian mereka satu, tiada pada mereka sebarang perselisihan. lalu mereka berkata: ‘Kami tinggalkan kamu ketika itu pendirian kamu satu, tiada perselisihan dalam kalangan kamu, dan bila kami pulang, kamu berselisih pendapat. Sebahagian kamu mengatakan ‘Uthman dibunuh dalam keadaan zalim dan ‘Uthman serta para sahabatnya lebih berhak mendapat keadilan. Sebahagian kamu pula mengatakan ‘Ali lebih berhak terhadap kebenaran dan para sahabatnya adalah diyakini. Bagi kami hanya satu kebenaran, maka kami tidak berlepas diri daripada kedua-duanya. Kami tidak melaknat kedua-duanya, kami tidak bersaksi atas kedua-duanya dan kami menyerahkan urusan kedua-duanya kepada Allah sehingga Allah sahaja yang akan mengadili kedua-duanya.” (Lihat Tarikh Dimashq, 39/496)

 

Akidah Aliran Murji’ah

Antara ciri-ciri akidah Murji’ah adalah:

  1. Iman bagi golongan Murji’ah adalah tasdiq (membenarkan di dalam hati) sahaja atau tasdiq berserta nutuq (ikrar dengan lisan) sahaja. Adapun amal perbuatan, ianya tidak termasuk di dalam hakikat iman.
  2. Iman tidak bertambah dan tidak juga berkurang.
  3. Pelaku maksiat namun mempunyai keimanan yang sempurna tidak akan dimasukkan ke dalam neraka.
  4. Kufur terhadap Allah itu adalah jahil terhadap-Nya kerana bagi golongan ini, keimanan itu adalah makrifat (pengetahuan). Ini sepertimana yang telah dihikayatkan adalah perkataan dari Jahm bin Safwan.
  5. Sebahagian Murji’ah mengatakan bahawa setiap yang bermaksiat kepada Allah SWT, dosa tersebut adalah dosa besar. Ini sepertimana perkataan Bisyr al-Murisi. (Lihat Maqalat al-Islamiyyin, 1/114, 122)

Semoga kita beroleh kefahaman yang jelas dan dapat mengelakkan diri kita daripada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Kami menutup dengan berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.