Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #810 : HUKUM MENGGUNAKAN SEMULA TANAH PERKUBURAN ISLAM

 

Soalan

Apa hukum menggunakan semula tanah perkuburan Islam?

 

Jawapan

Kami mulakan dengan definisi kubur. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat:

  • Tempat menanam mayat, makam.
  • Lubang (liang) kubur ialah lubang (liang) di tanah tempat menanam mayat (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Berkenaan dengan penggunaan kubur yang sedia ada untuk diisi mayat atau untuk dialih mayat, hukum asalnya tidak dibenarkan.

Pada asasnya, haram hukumnya dan tidak dibenarkan menggali semula kubur jenazah yang telah dikebumikan. Ini berdasarkan hadith 'Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: "Mematahkan tulang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya semasa hidup"

 Riwayat Abu Daud (1616)

Syiekh Khalid ibn Ali al-Musyaiqih mengatakan bahawa hadith diatas menunjukkan bahawa seorang Islam mempunyai harga diri, samada ia hidup ataupun telah mati. Menurut beliau tidak dibenarkan menggali semua kubur melainkan mempunyai alasan-alasan yang tertentu, dan biasanya perkara-perkara seperti ini hendaklah dirujuk kepada hakim syariah yang akan memberi keputusan keatas alasan yang diberikan.

Dr Ahmad Al-Syarbasi berkata: “Kubur ialah di mana seorang Islam dikebumikan adalah menjadi miliknya, maka tidaklah dibenarkan oleh Islam untuk menggalinya kembali melainkan sebab yang munasabah.

Jumhur ulama' membenarkan kubur digali semula akan tetapi terdapat khilaf dalam kalangan mereka sebab yang membolehkan kubur tersebut digali semula.

Kami berpendapat, jika sekiranya adalah alasan dan sebab yang munasabah sepertimana terdapat dalam ummahatul kutub seperti berlaku kebanjiran, tanah runtuh sehingga terzahir mayat atau kerana maslahat yang amat besar seperti pendapat pemerintah yang adil untuk memindahkannya, maka di sana sebahagian besar ulama’ mengharuskan pemindahan mayat. Hal ini terjadi sebagai contoh kepada sayyidul syuhada’, Hamzah bin Abdil Muttalib yang dipindahkan mayatnya.

Kami kemukakan di sini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 telah membincangkan isu ini dan memutuskan bahawa:

  1. Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
  2. Harus menggali semula tanah perkuburan untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru setelah dikenal pasti oleh pihak berkuasa bahawa mayat tersebut telah pun reput.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan isu yang ditanyakan di atas.