Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #879 : NIKAH TANPA BERWALIKAN BAPA

af879 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dr Zulkifli,

Saya ada pertanyaan dari kawan saya. Terlalu peribadi. Apa hukumnya nikah dalam kawasan ayah tinggal tak jauh. Dapat dikesan ayah di mana. Jarak tempat nikah dengan rumah ayah tak jauh. Contohnya tinggal di Bangi, nikah di Kuala Lumpur. Sahkah perkahwinan mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Salah satu daripada rukun nikah ialah wali. Ketiadaan wali yang layak mengahwinkan seseorang perempuan itu boleh menyebabkan akad nikah itu menjadi fasid (rosak). Daripada Abu Musa al-Asy`ari, sabda Nabi Rasulullah ﷺ :

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan dengan adanya wali.”

Hadis riwayat al-Tirmidhi (no. 1101). Kata beliau hadis ini hasan (baik).

Begitu juga, tidak sah perkahwinan apabila menggunakan wali ab`ad (wali yang berada dalam tertib yang lebih jauh) atau menggunakan wali hakim/Raja jika wali aqrab (wali yang berada dalam tertib yang lebih dekat) seperti ayah masih layak untuk mengahwinkan perempuan itu. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ مَوَالِيهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ ثلاثا فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا الْمَهْرُ بِمَا استحلَّ من فرجها، فَإِنْ تَشَاجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِىُّ مَنْ لاَ وَلِىَّ لَهُ

Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa inzin walinya, perkahwinan tersebut adalah batal. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Apabila disetubuhi oleh pasangannya, dia berhak menerima mas kahwin bagi menghalalkan farajnya. Jika berlaku perbalahan tentang wali, maka sultan ialah wali kepada mereka yang tidak berwali.”

Riwayat Abu Daud (2083), Ibn Majah (1881) dan Tirmizi (1102)

Apabila seseorang perempuan mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali, perkahwinan adalah batal dan kedua-duanya wajib dipisahkan. Jika telah berlaku persetubuhan, perempuan itu wajib diberikan mahar mithil, iaitu berdasarkan mas kahwin keluarganya sama ada mahar telah disebut atau tidak semasa aqad.

Namun begitu, sekiranya para wali perempuan itu enggan untuk mengahwinkannya maka hakimlah yang menjadi wali. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

السُلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لاَ وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya: Sultan wali bagi orang yang tiada wali.

Riwayat Abu Daud (2083) dan al-Tirmizi (1102)

Ini kerana seorang perempuan yang baligh dan berakal mahu berkahwin dengan seorang yang sekufu dengannya, wali wajib mengahwinkannya. Jika wali enggan walaupun bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali.[1]

Begitu juga apabila wali ramai dan yang terhampir berada dua marhalah atau lebih daripada pengantin, maka hak perwalian tidak berpindah kepada wali yang berikutnya, bahkan berpindah kepada sultan. Ini kerana hak perwalian masih kekal kepada wali ghaib yang terhampir itu. Apabila dia tidak dapat melaksanakannya, maka hak perwalian tersebut digantikan oleh hakim.

Namun, jika wali yang terhampir berada kurang dua marhalah, maka sultan tidak boleh melaksanakan perkahwinan itu kecuali dengan izinnya. Hal ini disebabkan jarak perjalanan yang singkat dan wali itu dirujuk sama ada hadir sendiri atau mewakilkannya, samalah seperti wali itu bermukim.

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (4/62-68)

Perlu diingatkan bahawa wali hakim tidak sama dengan wali yang dilantik secara persendirian yang biasa berlaku dalam kes-kes nikah sindiket. Wali-wali dalam nikah sindiket ini tidak memiliki ditauliahkan oleh pihak Sultan atau autoriti. Justeru, pasangan yang berkahwin melalui skim nikah sindiket ini berkemungkinan besar memiliki hubungan perkahwinan yang tidak sah dan menjurus kepada kehidupan yang tidak diberkati akibat penzinaan dan sebagainya.

Dalam kes di atas, sekiranya perempuan berkenaan masih dara, maka hendaklah dia dikahwinkan oleh ayahnya, dan tidak boleh menggunakan wali ab`ad atau wali hakim. Jika tidak, maka perkahwinan itu tidak sah dan dianggap sebagai nikah yang fasid. Namun begitu, sekiranya ayah perempuan itu hilang kelayakan sebagai wali atas sebab-sebab tertentu, maka kewaliaan berpindah kepada wali ab`ad, atau wali hakim sekiranya wali aqrab enggan seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini.

Wallahua’lam

Nota hujung: 

[1] Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.

Wali yang enggan untuk mengahwinkan anaknya tanpa ada alasan yang dibenarkan oleh syarak, selepas mendapat perintah mahkamah namun dia enggan juga, maka wali hakim boleh menjadi wali kepada perempuan tersebut. Ini berdasarkan Seksyen 13 (b), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang mana telah menyebutkan:

“Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.”