Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Al-Kafi #885: HUKUM MENGGUNAKAN KONDOM KETIKA ISTERI HAID

Screen Shot 2018 11 09 at 10.55.04 AM

SOALAN

 

Saya ingin bertanya, haid adalah darah yang kotor, maka diharamkan daripada melakukan persetubuhan. Oleh itu, bolehkah sekiranya saya menggunakan kondom untuk persetubuhan ketika isteri saya didatangi haid?

 

JAWAPAN

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi SAW, seterusnya ke atas ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat baginda, seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

 

Berdasarkan apa yang ditanyakan di atas perlu untuk kita fahami beberapa perkara.

Hukum Bersetubuh Ketika Haid

 

Permasalahan ini telah dinyatakan di dalam al-Quran, berdasarkan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّـهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ 

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

al-Baqarah (222)

Berdasarkan ayat di atas, beberapa perkara penting untuk kita fahami. Yang pertama, Imam al-Qurtubi menafsirkan " قُلْ هُوَ أَذًى" ialah sesuatu yang mengotorkan wanita. Lalu disambung ayat tersebut dengan فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ" "فِي الْمَحِيضِ iaitu hendaklah meninggalkan isteri ketika sedang haid. Kemudian ayat seterusnya ditekankan sekali lagi perintah untuk menjauhkan diri pada وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ

Menurut Ibn ‘Arabi, larangan mendekati membawa maksud tidak dibenarkan untuk mencampuri isteri.

Di dalam Tafsir Ibn Kathir (1/320), dinukilkan bahawa Imam Ahmad menyebutkan, daripada Anas RA, menceritakan tentang budaya kaum yahudi. Apabila wanita mereka didatangi haid, mereka mengasingkan wanita itu dari rumah. Maka para sahabat bertanya, bagaimana seharusnya dilayan wanita yang didatangi haid. Lalu turunlah ayat di atas. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

‏ اصْنَعُوا كُلَّ شَىْءٍ إِلاَّ النِّكَاحَ ‏

Maksudnya: Buatlah apa sahaja selain persetubuhan.

Riwayat Muslim (302)

Di dalam masalah ini Imam al-Syafie menyebutkan:

"مَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَتَى كَبِيرَة"

Maksudnya: Barang siapa yang melakukan (persetubuhan ketika haid), sesungguhnya melakukan dosa besar. Lihat al-Majmu’ (2/389).

 

Berdasarkan nas al-quran dan hadith serta kenyataan yang disebutkan oleh Imam al-Syafie, perbuatan bersetubuh walaupun menggunakan kondom adalah dilarang. Larangan tersebut membawa hukum Haram.

Islam adalah agama yang rahmah untuk sekalian alam. Larangan persetubuhan ketika haid bukan sahaja untuk menjaga kaum lelaki apabila penyoal menyatakan sudah selamat dengan memakai kondom tetapi Islam juga mengambil berat tentang kaum wanita. Pengharaman ini mempunyai hikmah yang sangat besar yang antaranya ialah, ia boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan juga isteri. Banyak kajian saintifik yang dilakukan, membuktikan larangan Islam ini ada kewajarannya. Baca selanjutnya di artikel kami sebelum ini yang bertajuk Irsyad Al-Fatwa Ke-20: Hikmah Larangan Persetubuhan Ketika Haid[1].

Walau bagaimanapun di sana terdapat kelonggaran di dalam mazhab al-Syafie berkenaan hukum beristimta’ (melakukan aktiviti yang berunsur seksual) dengan isteri ketika haid. Secara asalnya, jumhur ulama’ mengharamkan istimta’ di antara pusat hingga ke lutut tanpa berlapik. Sekiranya beristimta’ secara berlapik, maka diharuskan menurut pandangan mazhab al-syafie dan mazhab Hanafi. Lihat Mausuah Al-Fiqhiyah (18/324).

 

Kesimpulan

 

Kami berpendapat dalam masalah ini, persetubuhan ketika haid adalah haram walaupun memakai kondom berdasarkan penghujahan di atas.

 

Semoga kita sentiasa diberi hidayah dan petunjuk untuk mengamalkan syariat Islam. Amin.

 

[1] http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/2059-20?highlight=WyJoYWlkIl0=