Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #960: MEMPERINDAH MASJID DAN BERMEGAH DENGANNYA

awk jom bina masjid.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ada terdengar lebih kurang maksud hadis Nabi tentang tidak berlaku kiamat sehingga manusia bermegah dengan masjid mereka. Apa maksudnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Apa yang tuan maksudkan itu adalah hadis daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: Tidak berlaku Kiamat sehingga orang ramai bermegah pada masjid mereka.

Riwayat Abu Daud (449), Ibn Majah (379)
dan Ahmad (12379)

Al-Bukhari Rahimahullah menyebut, Anas R.A berkata:

يَتَبَاهَوْنَ بِهَا ثُمَّ لَا يَعْمُرُونَهَا إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Orang ramai bermegah-megah dalam membangunkan masjid, kemudian mereka tidak memakmurkannya kecuali hanya sedikit. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/455-456)

Ibnu Abbas R.Anhuma berkata:

لَتُزَخْرِفُنَّهَا كَمَا زَخْرَفَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan memperindahkan dan menghiasinya sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindahkan dan menghiasi (tempat ibadat mereka).” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/539)

Umar bin al-Khattab R.A pernah melarang menghiasi masjid dan memperindahkannya kerana perkara tersebut boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang. Beliau berkata ketika memerintahkan untuk memperbaharui pembangunan Masjid Nabawi:

أَكِنَّ النَّاسَ مِنْ الْمَطَرِ وَإِيَّاكَ أَنْ تُحَمِّرَ أَوْ تُصَفِّرَ فَتَفْتِنَ النَّاسَ

Maksudnya: “Lindungilah manusia daripada hujan dan janganlah kamu menghiasinya dengan warna merah atau kuning, sehingga orang ramai boleh terganggu dengannya.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/539)

Mudah-mudahan Allah SWT memberi rahmat kepada Saidina Umar R.A, kerana terbukti orang ramai tidak memegang wasiatnya. Mereka bukan sahaja memberi warna merah atau kuning, malah mereka menghiasnya sepertimana mereka menghias pakaian. Para raja dan khalifah bermegah-megah dalam membangunkan masjid dan menghiasinya sehingga mereka melakukan sesuatu yang sangat menakjubkan. Masjid-masjid itu tetap berdiri tegak sehingga saat ini, sepertimana yang terdapat di Syam, Mesir, Maghribi, Andalusia dan sebagainya. Dan sehingga sekarang, umat Islam sentiasa berlumba-lumba dan bermegah-megah dalam menghiasi masjid. (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 107-108)

Tidak diragukan lagi bahawa memperindah, menghias dan bermegah-megah dalam pembangunan masjid merupakan ciri sikap boros. Sedangkan memakmurkannya hanyalah dengan melakukan ketaatan dan zikir kepada Allah SWT di dalamnya. Cukuplah bagi manusia membuat sesuatu yang dapat melindungi mereka daripada panas, dingin, dan hujan.

Telah datang ancaman dengan kehancuran apabila masjid dihiasi dan al-Quran diperindahkan (dengan pelbagai corak). Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu al-Darda R.A, beliau berkata:

إِذَا زَوَّقْتُمْ مَسَاجِدَكُمْ، وَحَلَّيْتُمْ مَصَاحِفَكُمْ، فَالدِّمَارُ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Jika kamu menghiasi masjid-masjid dan mushaf kamu, maka kehancuranlah yang akan menimpa kamu.[1]

Imam al-Munawi Rahimahullah berkata, “Menghias masjid dan mushaf adalah sesuatu yang dilarang, kerana perkara itu boleh menyibukkan hati, dan menghilangkan kekhusyukan daripada bertadabbur dan hadirnya hati dengan mengingat Allah SWT. Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa menghiasi masjid – walaupun Ka’bah – dengan emas atau perak diharamkan secara mutlak. Adapun dengan selain keduanya hukumnya adalah makruh.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/367)

 

Walaupun begitu, kami juga berpendapat, amat penting untuk sama-sama kita membina dan membangunkan masjid dengan cantik dan indah, akan tetapi matlamat pengimarahan masjid adalah jauh lebih utama. Itulah pengisian peribadatan kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan mereka yang mengimarahkan masjid, bukan semata-mata bangunan tetapi kehadiran dan ketaatan dalam masjid itu sendiri. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Sahih al-Jami’ al-Saghir (1/220). Al-Albani berkata, “Sanadnya hasan,” dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (3/337). Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Hakim al-Tirmizi dalam al-Akyaas wa al-Mughtarriin (hlm. 78) daripada Abu al-Darda’ secara marfu’.

Hadith tersebut juga diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dengan perubahan susunan – yang awal terdapat di akhir dan yang akhir terdapat di awal – dalam Kitab al-Zuhd (hlm. 275) tahqiq Habib al-Rahman al-A’zhami. Al-Albani menyebut sanad Ibnu al-Mubarak dalam al-Silsilah, dan beliau berkata, “Perawi sanad ini thiqah, perawi Muslim. Akan tetapi saya tidak mengetahui apakah Bakar bin Sawadah (riwayat dari Abu al-Darda’) mendengar dari Abu al-Darda atau tidak?”

Al-Baghawi menyebut hadis ini dalam Syarh al-Sunnah (2/350) dan menisbahkannya kepada Abu al-Darda’. Al-Suyuthi dalam al-Jami’ al-Saghir (hlm. 27) menisbahkannya kepada al-Hakim daripada Abu al-Darda, dan memberi tanda ضَعِيْفُ (lemah). Demikian juga al-Munawi menda’ifkannya dalam Faidh al-Qadir (1/367).