Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI #1035 : HUKUM MINTA ORANG SOLEH DOAKAN

AK1035 HUKUM MINTA DOA ORANG SOLEH

Soalan:

Assalamualaikum Tuan Mufti, apakah hukumnya bagi saya untuk meminta orang lain mendoakan saya khususnya apabila saya bertemu dengan orang-orang soleh dan para ulama ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat yang mulia, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah S.W.T. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: Berdoa itu adalah suatu ibadah.

Kemudian baginda membaca firman Allah S.W.T:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu”.

Riwayat Abu Daud (1479)

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah S.W.T buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah S.W.T turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan kata-kata Imam Sufyan al-Tsauri: ‘’Wahai hamba-hamba yang paling dicintai-Nya, adalah mereka yang meminta kepada-Nya dan banyak permintaannya. Dan golongan yang dimurkai Allah dari kalangan hamba-Nya adalah mereka yang tidak meminta kepada-Nya’’.

Beliau juga turut menukilkan kata-kata penyair: ‘’Allah itu murka sekiranya kamu tidak meminta (berdoa) kepada-Nya. Manakala anak Adam (manusia) itu, berasa marah apabila diminta sesuatu (darinya)’’. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (7/156).

Minta Doa Dari Orang Soleh

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, sebenarnya perbuatan meminta doa dari orang-orang soleh ini ada asasnya di dalam nas-nas syarak. Berikut kami kongsikan beberapa riwayat berkenaan hal ini.

Dalam sebuah hadis yang panjang dalam menceritakan perihal Uwais bin ‘Amir Al-Qarani, Rasulullah S.A.W berkata kepada Saidina Umar:

 فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ

Maksudnya: Sekiranya kamu mampu untuk meminta dia (Uwais Al-Qarani) beristighfar (mendoakan keampunan) buat diri kamu maka lakukanlah.

Riwayat Muslim (2542)

Berdasarkan hadis ini, Uwais Al-Qarani disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai seorang lelaki yang sangat baik dan taat kepada ibunya. Ini menandakan dirinya merupakan seorang yang soleh meski tidak tergolong dalam kalangan para sahabat Nabi. Justeru, Nabi S.A.W memberikan panduan kepada Umar sekiranya ada peluang berjumpa dengan Uwais, maka mintalah Uwais mendoakan keampunan Allah buat diri Umar.

Inilah petunjuk jelas yang menggambarkan anjuran kepada perbuatan meminta doa dari orang-orang soleh serta dalil keharusan amalan ini.

Demikian juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Umar R.A beliau berkata: Aku pernah meminta izin kepada Rasulullah S.A.W untuk menunaikan umrah lalu baginda memberi izin kepada ku dan berkata:

‏ لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ

Maksudnya: Janganlah kamu melupakan kami dari doamu wahai saudaraku.

Riwayat Abu Daud (1498)

Hadis di atas juga menunjukkan keharusan meminta doa dari orang soleh. Bahkan dibolehkan untuk seseorang itu yang berada pada puncak keilmuan dan ketakwaan untuk meminta orang lain yang lebih rendah kedudukan darinya untuk mendoakan dirinya.

Begitu juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ـ رضى الله عنه ـ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا‏.‏

Maksudnya: Umar bin Al-Khattab apabila berlakunya kemarau meminta kepada Abbas bin Abd al-Muthalib untuk meminta hujan (kepada Allah). Lalu Umar berkata: ‘’Ya Allah, kami dahulunya bertawassul kepada-Mu dengan Nabi kami lalu Kau menurunkan hujan kepada kami. Sesungguhnya sekarang kami bertawassul dengan bapa saudara Nabi kami maka turunkanlah hujan kepada kami’’.

Riwayat Al-Bukhari (1010)

Riwayat di atas menunjukkan bahawa Saidina Umar menjadikan doa orang soleh iaitu Al-Abbas bin Abd al-Muthalib sebagi wasilah (perantaraan) antara dirinya dengan Tuhan. Dari sudut Saidina Umar meminta kepada Al-Abbas agar berdoa kepada Allah supaya hujan diturunkan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum meminta doa dari para solehin adalah dibolehkan. Di samping kita sendiri turut berusaha untuk menjadi sebahagian orang-orang soleh, kita juga meminta kepada para solehin untuk mendoakan kebaikan buat kita di dunia dan di akhirat.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.