Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1079: MEMBUAT JAMUAN MAKAN DI MASJID YANG TERDAPAT JENAZAH

1079 jenazah di masjid.JPG

Soalan:

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Masjid sedang ada majlis jamuan selepas tahlil. Ketika itu ada jenazah dalam masjid yang baru meninggal dan tunggu untuk dikebumikan. Bolehkah ahli kariah makan hidangan yang disediakan ketika jenazah masih di masjid. Pohon pencerahan ustaz.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Tiada kesalahan untuk makan di tempat yang terdapat padanya jenazah. Ini kerana tidak terdapat dalil dalam syarak yang menghalang perkara itu. Namun begitu, sekiranya jamuan makan itu melewatkan proses pengurusan jenazah, seperti solat jenazah, maka hal tersebut tidak dibenarkan. Sabda Rasulullah ﷺ:

أَسْرِعُوا بالجنازة فان تكن صالحة فخير تقدمونها وَإِنْ تَكُنْ سِوَى ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Hendaklah kamu percepatkanlah (urusan) jenazah. Jika jenazah itu baik maka kamu telah mendekatkannya kepada kebaikan. Jika jahat, maka kamu telah melepaskannya daripada bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Oleh sebab itu, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. Rujuk Mughni al-Muhtaj (2/20 & 51).

Justeru, jika tidak terdapat faktor melambatkan pengurusan jenazah, maka hukum menjamu makan di masjid sedangkan terdapat jenazah di dalam masjid adalah diharuskan. Apatahlagi jika boleh menyenangkan keluarga jenazah yang berada dalam keadaan duka dan letih akibat kematian. Ini merupakan amalan sunnah seperti mana yang diriwayatkan. Berkata para pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/263): Begitu juga sunat menyediakan makanan yang banyak yang mencukupi keperluan mereka sehari semalam. Hal ini berdasarkan hadith, ketika Rasulullah SAW menerima berita Ja’far bin Abu Talib RA terbunuh, Baginda bersabda:

اصْنَعُوا لأَهْلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ جَاءَهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: Buatkanlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana mereka ditimpa peristiwa yang menyedihkan.    

Riwayat al-Tirmidzi (998) Abu Daud (31-32)

Kami syorkan sebaik-baiknya, selesaikan isu jenazah dahulu sehingga ke pengebumian agar tidak menimbulkan sebarang rasaan kurang selesa oleh masyarakat atau keluarga si mati.

Semoga penjelasan ini memberikan kebaikan untuk kita semua. Kami akhiri dengan doa kepada Allah:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati di kalangan kami.”