Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1185: KECERDASAN IYAS BIN MUAWIYAH AL-MUZANI

iyas muawiyah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya pernah mendengar kisah berkenaan seorang tabi’in yang dilantik sebagai sebagai Hakim pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Kalau tak salah saya, beliau ialah Iyas bin Mu’awiyah al-Muzani. Saya pernah membaca tentang kecerdasan dan bijaknya dalam memutuskan hukum. Boleh terangkan kisah biodata dan kelebihan beliau?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Beliau ialah Iyas bin Mu’awiyah bin Qurrah al-Muzani dilahirkan pada tahun 46 Hijrah di daerah Yamamah, Najd. Beliau ialah seorang tabi’in yang pernah bertemu dengan beberapa orang sahabat, antaranya Anas bin Malik R.A. (Lihat Wafayat al-A’yan, 1/247; al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/365 dan Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 69)

 

Kecerdikan Iyas bin Mu’awiyah Terserlah Sejak Kecil

Iyas bin Mu’awiyah berpindah bersama keluarganya ke Basrah. Kemudian di sanalah beliau membesar dan menuntut ilmu. Pada zaman kanak-kanak lagi, beliau telah menunjukkan kecerdasannya sejak kecil lagi. Antara kisah yang dicatatkan yang menunjukkan kecerdasan beliau ialah ketikamana beliau belajar Matematik di sebuah sekolah yang dikelolakan oleh orang Yahudi dari golongan zimmi. Suatu ketika, murid-murid Yahudi di sekolah tersebut berkumpul bersama seorang guru Yahudi. Guru tersebut berkata, “Tidakkah kamu semua pelik terhadap orang-orang Islam? Mereka berkata bahawa mereka akan makan di dalam syurga, tetapi tidak akan buang air besar/kecil?”

Iyas bin Mu’awiyah yang mendengar hal tersebut lalu meminta izin untuk menyertai perbincangan tersebut dan memberikan hujah. Beliau lantas berkata, “Guru, apakah semua yang dimakan di dunia ini akan keluar menjadi kotoran?” Guru tersebut menjawab, “Tidak.” Iyas berkata lagi, “Jadi, ke mana perginya makanan yang tidak keluar itu?” Guru menjawab, “Diserap ke dalam badan (sebagai nutrisi).” Iyas lalu berkata, “Jadi, atas alasan apa kamu semua mengingkari? Sedangkan makanan yang kita makan di dunia sahaja sebahagiannya hilang diserap oleh tubuh badan. Bukanlah satu yang mustahil jika di syurga nanti semua makanan akan diserap oleh tubuh badan menjadi makanan badan (nutrisi)!” (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 67-68)

 

Pelantikan Iyas sebagai Qadhi di Basrah

Iyas bin Mu’awiyah telah dilantik oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai Qadhi di Basrah. (Lihat Wafayat al-A’yan, 1/248)

Dicatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengutuskan ‘Adi bin Arthah untuk berjumpa dengan Iyas dan al-Qasim dalam urusan pelantikan salah seorang daripada mereka sebagai Qadhi di Basrah. Lalu ‘Adi mempertemukan mereka berdua dan berkata, “Amirul Mukminin memintaku untuk melantik salah seorang daripada kamu sebagai Qadhi di Basrah. Bagaimana pendapat kamu berdua?” Masing-masing mengatakan bahawa sahabatnyalah yang lebih utama (Iyas menganggap al-Qasim lebih utama sedangkan al-Qasim memandang bahawa Iyas lebih utama darinya) sambil menyebutkan keutamaan, ilmu dan kefaqihannya. ‘Adi berkata, “Kamu berdua tidak boleh keluar dari sini sebelum kamu memutuskannya.” Iyas berkata, “Wahai Amir, engkau boleh bertanya tentang diriku dan al-Qasim kepada dua fuqaha’ Irak terkenal, iaitu Hasan al-Basri dan Muhammad bin Sirin, kerana kedua merekalah yang paling mampu membezakan antara kami berdua.” Iyas berkata seperti itu kerana al-Qasim adalah murid dari kedua ulama’ tersebut, sedangkan Iyas sendiri tidak mempunyai hubungan rapat dengan mereka.

Al-Qasim menyedari bahawa sekiranya pemimpin Iraq itu bermusyawarah dengan kedua ulama tersebut, tentulah mereka akan memilih dia dan bukan Iyas. Maka dia segera menoleh kepada ‘Adi dan berkata, “Wahai Amir, janganlah anda bertanya perihalku kepada sesiapa pun. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Iyas lebih faham tentang agama Allah SWT daripada aku dan lebih layak untuk menjadi Hakim. Apabila aku berbohong dalam sumpahku ini, maka tidak patut anda memilihku kerana itu bermaksud memberikan jawatan kepada orang yang ada kurangnya. Apabila aku jujur, anda tidak boleh mengutamakan orang yang lebih rendah, sedangkan di sini ada yang lebih utama.”

Iyas berpaling kepada Amir dan berkata, “Wahai Amir, anda memanggil orang untuk dijadikan hakim. Ibaratnya anda letakkan dia di tepi Jahannam, lalu orang itu (yakni al-Qasim) hendak menyelamatkan dirinya dengan sumpah palsu, yang dia boleh meminta ampun kepada Allah SWT dengan beristighfar kepada-Nya, dan selamatlah dia dari apa yang ditakutinya.” Lalu ‘Adi berkata kepada Iyas, “Orang yang berpandangan seperti dirimu inilah yang layak untuk menjadi hakim.” Lalu dilantiklah Iyas sebagai Qadhi di Bashrah. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/368; Wafayat al-A’yan, 1/249 dan al-‘Iqd al-Farid, 1/20 )

 

Isu Arak Haram dan Jawapan Iyas

Beliau menjadi Qadhi pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan sangat terkenal sebagai seorang hakim yang bijak dan cerdas. Perkara ini tersebar ke merata-rata sehingga ramai yang datang berjumpanya untuk bertanya berkenaan ilmu dan agama. Sebahagiannya ingin menguji dan ada juga yang ingin berdebat. Seorang lelaki datang ke majlis beliau lalu mengemukakan soalan. Tanya lelaki tersebut, “Wahai Abu Wathilah, apa pendapatmu berkenaan minuman yang memabukkan?” Jawab Iyas, “Haram.” Tanya beliau lagi, “Dari sisi mana yang dikatakan haram sedangkan ia tidak lebih daripada buah dan air yang diolah, dan kedua-duanya adalah halal.”

Iyas menjawab, “Apakah engkau sudah selesai bercakap atau ada yang masih hendak engkau utarakan?” Beliau menjawab, “Sudah, silakan bercakap.” Iyas lalu berkata, “Seandainya aku ambil air dan kusiramkan ke mukamu, apakah engkau merasa sakit?” Jawab beliau, “Tidak.” Iyas berkata lagi, “Jika aku ambil segenggam pasir lalu kulempar kepadamu, apakah terasa sakit?” Beliau menjawab, “Tidak.” Iyas menyambung, “Jika aku ambil segenggam lumpur dan kulemparkan kepadamu, apakah terasa sakit?” Jawab beliau, “Tidak.” Iyas lantas berkata, “Sekarang jika aku ambil pasir, aku campur dengan segenggam lumpur, lalu aku tuangkan air di atasnya dan kuaduk, kemudian aku jemur sehingga kering, setelah itu aku pukul ke kepalamu, apakah engkau merasa sakit?” Beliau menjawab, “Ya benar, malah ia boleh membunuhku!” Iyas lalu berkata, “Begitulah halnya dengan khamar. Di saat engkau kumpulkan bahagian-bahagiannya, engkau olah menjadi minuman memabukkan, maka ia menjadi haram.” (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 69-70. Lihat juga al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/368)

 

Kebijaksanaan Iyas Dalam Menghukum Sebagai Qadhi

Kami titipkan dua kisah betapa bijaknya Iyas dalam memutuskan hukum semasa menjalankan tugas sebagai hakim dan kecerdasannya dalam menyelesaikan masalah. Antaranya:

Pertama: Suatu ketika telah berlaku pertelingkahan antara dua orang. Seorang mendakwa bahawa dia telah menyimpan sejumlah harta kepada rakannya. Namun ketika dia memintanya kembali, rakannya tersebut mengelak (dengan menyangkal bahawa rakannya tidak pernah menyimpan harta kepadanya). Iyas lalu menyoal tertuduh dan dia terus menyangkalnya sambil berkata, “Sekiranya rakanku ini mempunyai bukti, sila datangkan. Jika tidak, maka tiada cara baginya untuk menjatuhkan aku kecuali dengan sumpah.” Iyas khuatir sekiranya orang tersebut akan memakan harta yang bukan haknya dengan sumpahnya. Beliau lantas berpaling kepada penuduh dan bertanya, “Di manakah engkau serahkan harta itu kepadanya?” Dia menjawab, “Di suatu tempat sekian sekian.” Iyas bertanya lagi, “Bagaimana ciri-ciri tempat tersebut?” Dia menjawab, “Di sana ada sebatang pohon besar. Kami duduk dan makan bersama dan ketika kami hendak berganjak pulang, kuserahkan harta tersebut kepadanya.” Iyas berkata kepadanya, “Pergilah ke tempat yang terdapat pohon tersebut kerana apabila engkau datang ke sana, boleh jadi akan mengingatkanmu di mana engkau telah letakkan barang tersebut. Setelah itu segeralah kembali ke sini untuk mengkhabarkan apa yang engkau dapatkan di sana.”

Kemudian dia pun pergi sementara Iyas berkata kepada si tertuduh yang masih di hadapannya: “Tunggulah di sini sehingga rakanmu kembali.” Dia pun duduk menanti. Iyas pun terus menguruskan perkara-perkara lain sambil terus memerhati tertuduh secara diam-diam. Setelah dilihatnya agak tenang, Iyas bertanya, “Apakah kiranya rakanmu itu sudah sampai di tempat di mana dia serahkan hartanya kepadamu?” Tanpa menyedari perangkap Iyas tersebut, dia menjawab, “Belum, kerana tempatnya jauh dari sini.” Mendengar jawapan tersebut, Iyas sudah mengetahui apa yang terjadi. Lantas beliau berkata, “Wahai musuh Allah, engkau hendak menyangkal harta tersebut sedangkan engkau tahu di mana tempat engkau menerimanya.” Orang tersebut tidak mampu menjawab lagi lalu mengakui pengkhianatannya. Setelah rakannnya tiba, Iyas lalu memerintahkan dia untuk mengembalikan harta kepada rakannya. (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 67-70)

Kedua: Sebuah kisah yang lain, di mana terdapat seorang lelaki yang cuba menzahirkan sifat baik, warak, takwa dalam masyarakat sedangkan beliau bukan begitu. Ini bertujuan untuk menjadikan helah bagi mengaut keuntungan dan melakukan penipuan kepada orang ramai. Ramai orang memuji dan beliau diberi kepercayaan untuk menjaga barangan apabila seseorang ingin bermusafir. Begitu juga mewasiatkan kepadanya untuk penyelesaian ketika hampir meninggal.

Seorang lelaki telah datang kepada lelaki tersebut dan menyimpankan barang padanya. Namun apabila dituntut, dia tidak mahu mengembalikan semula. Akhirnya lelaki tersebut mengadu kepada Iyas. Lantas Iyas bertanya kepadanya, “Apakah kawanmu itu tahu bahawa engkau mengadu kepadaku?” Dia menjawab, “Tidak.” Iyas berkata, “Kalau begitu pulanglah dan besok saya minta anda kembali semula ke sini.” Kemudian Iyas memanggil orang yang menguruskan harta itu (sekaligus sebagai tertuduh) dan bertanya kepadanya, “Ada banyak simpanan harta milik anak yatim di tanganku dan tidak ada yang mengurusnya. Aku fikir, sebaiknya kuserahkan saja kepada kamu. Kujadikan engkau sebagai wali atas mereka. Apakah rumahmu cukup selamat dan kamu mempunyai masa untuk menguruskannya?” Orang itu menjawab, “Saya bersedia wahai Qadhi.” Iyas berkata, “Kalau begitu, datanglah ke mari besok atau lusa dan siapkan tempat untuk menyimpan harta itu. Bawalah orang-orang untuk membantu membawanya.”

Keesokan harinya, datanglah orang yang teraniaya itu kembali. Iyas berkata kepadanya, “Sekarang pergilah kepada kawanmu itu dan mintalah hartamu kembali. Jika dia mengingkari katakan kepadanya, “Saya akan adukan kamu kepada Qadhi.” Orang itu pun datang kepada kawannya untuk meminta hartanya, tetapi dia tetap mengelak dan tidak mahu mengakuinya. Maka berkatalah lelaki itu: “Kalau begitu, sekarang akan aku adukan engkau kepada Qadhi.” Mendengar sahaja ancaman itu, orang yang khianat tersebut segera mengembalikan harta yang diamanatkan kepadanya lalu berdalih bahawa dia lupa dan sebagainya. Setelah menerima kembali hartanya, dia pergi menjumpai Iyas sambil berkata: “Kawanku itu telah mengembalikan hartaku, semoga Allah membalas kebaikan kamu atas jasa dan budi baikmu, wahai Qadhi.” Keesokan harinya, sesuai dengan perancangan, datanglah si pengkhianat itu kepada Iyas dengan membawa orangnya untuk mengangkut harta yang dikatakan Iyas. Iyas lalu mencelanya dan mengisytiharkan penipuannya. Beliau berkata, “Celakalah engkau musuh Allah! Kau jadikan agamamu untuk menipu.” (Lihat Suwar min Hayat al-Tabi'in, hlm. 67-70)

 

Pujian Terhadap Iyas, Ungkapannya dan Kewafatannya

Muhammad bin Sirin pernah memuji Iyas dengan katanya:

إِنَّهُ لفهمٌ إِنَّهُ لفهمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya dia seorang yang amat faham. Sesungguhnya dia seorang yang amat faham.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/366)

Antara ungkapan Iyas bin Mu’awiyah, beliau pernah menyebut:

كُلُّ رَجُلٍ لَا يَعْرِفُ عَيْبَهُ فَهُوَ أَحْمَقُ، قَالُوا: يَا أَبَا وَاثِلَةَ، مَا عَيْبُكَ؟ قَالَ: كَثْرَةُ الْكَلَامِ

Maksudnya: “Setiap lelaki yang tidak mengenal aibnya maka dia adalah sebodoh-bodoh manusia.” Mereka bertanya: “Wahai Aba Wathilah, apakah aibmu?” Jawab beliau: “Banyak bercakap.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 3/124)

Ketika usianya menginjak 76 tahun, Iyas bin Mu’awiyah telah bermimpi bertemu ayahnya yang telah wafat. Keduanya berlumba kuda dan tiada seorang pun yang mendahului antara satu sama lain. Ayahnya meninggal ketika usia 76 tahun. Pada malam terakhir saat meninggalnya Iyas, beliau berkata kepada keluarganya: “Tahukah kamu ini malam apa? Malam ini genaplah sepertimana umur ayahku.” Beliau pun tidur dan pada keesokan harinya, didapati bahawa beliau telah meninggal dunia. (Lihat Wafayat al-A’yan, 1/250)

Semoga Allah merahmati Iyas, hakim yang terkenal sangat bijak dan cerdas pada zamannya.