Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1193: AURAT PEREMPUAN MUALAF DENGAN KELUARGANYA

aurat mualaf.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Bolehkah tidak menutup aurat bagi perempuan yang tinggal bersama keluarga bukan Islam? Dan bagaimana batas aurat perempuan mualaf dengan adik beradik lelakinya yang bukan Islam? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 31/44) Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Surah al-Nur (31)

Allah SWT turut berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Surah al-A’raf (26)

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

  • Berkenaan aurat sesama adik beradik, boleh untuk tidak memakai tudung menutup kepala di hadapan adik beradik lelakinya yang bukan Islam kerana kekafiran tidak membatalkan hubungan mahram. Walaupun mereka bukan Islam, mereka tetap masih dikira mahram. Oleh itu, tidak perlu memakai tudung semasa bersama mereka sekiranya tidak menimbulkan fitnah.

Imam al-Sarkhasi menyebut: Keadaan mahram itu adalah sama dalam keadaan merdeka atau dimiliki, Islam atau kafir kerana setiap yang mempunyai agama akan menjaga (batas) mahram-mahramnya. (Lihat al-Mabsut, 4/111)

Disebut dalam kitab Majmu’ al-Fatawa (32/66): Seorang kafir apabila berkahwin secara pernikahan haram dalam agama Islam, maka sesungguhnya ia menghubungkannya pada nasab, dan sabit hubungan persemendaan dengannya. Maka haram bagi setiap keduanya akan usul dan furu’ mereka dengan kesepakatan ulama’.

  • Sekiranya di luar rumah dan jauh daripada keluarga, seperti di tempat pengajian atau tempat kerja, maka wajib menutup aurat sepertimana yang dituntut.

Adapun berkenaan isu aurat antara perempuan Islam dengan wanita bukan Islam, kami pernah menjawabnya dalam Irsyad al-Fatwa ke-141. Antara lain disimpulkan: “Aurat perempuan Islam pada pandangan perempuan bukan Islam menurut pandangan majoriti ulama fiqh adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Manakala menurut pandangan sebahagian ulama mazhab Syafie, termasuk sebahagian ulama mutaakkhirin mazhab Syafie bahawa aurat perempuan Islam pada pandangan perempuan bukan Islam adalah selain kepala, tangan dan kaki.

Oleh itu dalam isu seperti ini, pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama perempuan sekalipun perempuan bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita Muslimah. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira.” [1]

Kadang-kadang suasana perlu dilihat berdasarkan fiqh aqalliyyat (fiqh minoriti) untuk keharmonian bersama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita akan taufiq dan hidayah-Nya dalam mengamalkan setiap apa yang diperintah oleh-Nya. Amin.

[1] Lihat laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa ke-141: Aurat Antara Muslimah dan Wanita Bukan Muslim, 10 November 2016. [http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1866-irsyad-al-fatwa-ke-141-aurat-antara-muslimah-dan-wanita-bukan-muslim]