Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ih124 5c 20 5c 26736410 1

Mukadimah

Tarikh 10 Oktober diraikan setiap tahun sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia dengan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum terhadap kesihatan mental. Laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Kesihatan Mental Malaysia pada 2018 menyatakan bahawa kesihatan mental adalah sesuatu yang diperlukan oleh setiap orang kerana kesihatan mental bukan sahaja mengenai penyakit mental.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2017) di Malaysia menunjukkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai keinginan membunuh diri 10 peratus lebih tinggi berbanding, 7.9 peratus pada 2012. Menurut laporan daripada World Health Organization (WHO), setiap 40 saat akan ada yang kehilangan nyawa kerana faktor bunuh diri.[1]

Isu kesihatan mental masih lagi agak “taboo” dalam kalangan masyarakat Malaysia dan ianya tidak membantu mengurangkan stigma terhadap penyakit mental. Stigma mengenai penyakit mental membuatkan individu itu berasa tersisih dan lemah. Stigma ini yang menghalang mereka untuk mendapatkan bantuan yang profesional dan seterusnya memberi kesan kepada proses pemulihan dan menjejaskan kualiti kehidupan.

Meneliti angka dan peratusan dalam Malaysian Mental Healthcare Performance: Technical Report 2016 menimbulkan pelbagai kegusaran dalam minda ini. Pengalaman kami ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan untuk menziarahi pesakit-pesakit di sana sangat membuka ufuk pemikiran kami untuk melihat isu kesihatan mental ini dalam kerangka yang lebih luas dan rahmah. Begitu juga kunjungan hormat Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) dan Befrienders amat membantu kami dalam memahami isu ini dengan lebih mendalam.

Menyahut seruan World Mental Health Day 2019 yang memfokuskan tentang tema “Suicide Prevention”, kami namakan Bayan Linnas kali ini, “Islam, Joker dan Stigma Masalah Mental”. Semoga ia bermanfaat kepada umat Islam dan rakyat Malaysia amnya.

 

Definisi

Berdasarkan Dasar Kesihatan Mental Negara, kesihatan mental didefinisikan sebagai kemampuan individu, kelompok dan persekitaran berinteraksi antara satu sama lain bagi mempromosi kesejahteraan subjektif serta fungsi yang optima dan penggunaan keupayaan kognitif, efektif dan perhubungan ke arah pencapaian matlamat individu dan kumpulan yang selari dengan keadilan.

Penyakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit sahaja. Ia terdiri dari berbagai kategori penyakit. Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama:

  1. Neurosis: Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka. Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mereka mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:
    1. Kemurungan: Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh 2 minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan.
    2. Kebimbangan: Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya.
  1. Psikosis: Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas.: Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah – ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan
  2. Mereka mungkin bercakap dengan merapu / mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis yang sering dialami adalah:
    1. Schizophrenia: Antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
    2. Kecelaruan manik-depresif (dwikutub): Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).
  1. Kecelaruan Personaliti: Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

 

Joker dan Refleksi Realiti Masyarakat

Tanpa menafikan, filem ini ada menyelitkan unsur-unsur keganasan dan kerana itulah ia diklasifikasikan sebagai 18 (tahun ke atas). Namun, tema besar berhubung kesihatan mental dalam filem ini berjaya digarap dengan baik oleh Todd Philips. Pandangan awal kami, ianya filem yang menggambarkan realiti sebenar keadaan masyarakat yang amat parah dari sudut akhlak dan moral sehingga membawa kepada penindasan dan tekanan segelintir anggota masyarakat.

Kondisi Joker atau Arthur Fleck lakonan Joaquin Phoenix yang dilihat ketawa tidak terkawal semasa dalam situasi beremosi adalah satu bentuk masalah neurologi yang diistilahkan sebagai Pseudobulbar Affect (PBA). Punca-punca bagi PBA adalah kompleks, namun ia dipercayai disebabkan oleh perubahan pada laluan-laluan neuron (neuronal pathways) terutamanya pada bahagian otak depan (frontal lobe) yang mengawal emosi.[2]

PBA kebiasaannya berlaku kepada pesakit yang menghidap Parkinson disease (PD), multiple sclerosis, amyotrophic lateral sclerosis atau Alzheimer disease (AD) atau pernah mengalami kecederaan trauma otak (traumatic brain injury), strok dan lain-lain penyakit berkaitan neurologi yang merosakkan sistem saraf utama.[3]

Joker juga dilihat seakan menghidap skizofrenia yang agak kronik yang dikenali sebagai Delusi grandiose (grandiose delusion). Sepanjang filem ini, Joker seolah-olah mengalami kesulitan untuk membezakan kehidupan nyata dan khayalan. Joker juga membayangkan dirinya mempunyai kelebihan tersendiri dan terbaik berbanding semua orang dan ia membina satu delusi yang dipercayainya dengan sangat kukuh olehnya walaupun dipertikaikan atau diragui oleh orang lain.

Apakah faktornya? Kami melihat penindasan masyarakat kelas bawahan dengan sistem kapitalisme, penderaan fizikal dan mental, dibuli, disisih, kesunyian, dahagakan kasih sayang ibu bapa serta kesempitan hidup disebabkan faktor kewangan adalah antara beberapa realiti masyarakat yang membawa kepada masalah kesihatan mental seperti tekanan perasaan atau lebih parah lagi, depresi. Itulah yang digambarkan oleh watak Joker dalam filem ini dan inilah realiti disebalik tabir dunia hari ini.

Sikap individualistik “membunuh” jiwa murni seseorang dan “melahirkan” jiwa baharu yang penuh dengan negativiti. Hasil daripada pengalaman-pengalaman silam yang hitam, akhirnya membentuk peribadi yang jauh daripada fitrah sebenar manusia. Arthur Fleck menjadi Joker kerana keadaan sekeliling yang memaksanya menjadi sedemikian. Masyarakat yang “sakit” akan melahirkan jiwa-jiwa yang “sakit” dari sudut psikologinya. Sabda Nabi S.A.W menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Riwayat al-Bukhari, no. 1385)

Di sinilah perbezaan Islam yang melihat manusia pada fitrahnya baik, berbeza dengan Machiavelli, Thomas Hobbes dan Sigmund Freud yang berpendapat manusia pada asalnya adalah jahat. Pada mereka, masyarakat wujud untuk mengendalikan kecenderungan jahatnya.

Bagaimana pula peranan sebenar masyarakat? Daripada Abi Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim, no. 2699)

Imam Ibnu Daqiq Al-‘Id mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya menyatakan “Pelbagai jenis ilmu dan kaedah yang terdapat di dalam hadis ini tentang kelebihan menunaikan hajat seseorang. Ia juga termasuk di dalam mempermudahkan urusan dalam menuntut ilmu, harta, nasihat dan lain-lain” (Lihat Syarah al-Arbain al-Nawawiyyah, 1/119)

Akhlak dalam menyantuni sesama saudara dan bantu-membantu sesama manusia sudah hampir hilang kehidupan manusia ditelan dengan arus ganas individualistik. Masing-masing sibuk mengejar materialiti hingga terabai akan insan di sekeliling yang memerlukan sokongan moral dan emosi.

Seorang penyair Arab, Ahmad Syauqi telah menyebut:

إنمـا الأمـم الأخلاق مـا بقيـت فإن هم ذهبت أخلاقـهم ذهبــواً

Maksudnya: “Dan sesungguhnya semua umat kekal selama adanya akhlak. Apabila mereka hilang akhlak, maka lenyaplah umat tersebut.”

Contohilah bagaimana kasih-Nya Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya walaupun seorang pendosa. Kami tertarik dengan satu ungkapan indah:

تَخَلَّقُوْا بِأَخْلَاقِ اللهِ

Maksudnya: “Berakhlaklah kamu seperti akhlak Allah.”

Kata-kata ini bukanlah hadith sebagaimana anggapan segelintir pihak. Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya menyatakan athar (riwayat) ini adalah riwayat yang bathil (tidak sahih). (Lihat Madarij al-Salikin, 227/3)

Akan tetapi, perkara ini ada disebut di dalam kitab-kitab yang menyeru agar berakhlak dengan akhlak Allah SWT. Tetapi mereka menyatakan makna berakhlak dengan akhlak Allah adalah dengan mengikuti sifat-sifat yang mahmudah (terpuji) serta menjauhi sifat-sifat mazmumah (terkeji). Tambahan pula, antara yang menyebut agar berakhlaklah dengan akhlak Allah tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW adalah Imam al-Ghazali di dalam kitab al-Ihya’. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 306/4)

Di samping itu juga, Imam al-Ghazali ada menamakan salah satu bab daripada karya beliau iaitu al-Maqsad al-Asna dengan bab pada menjelaskan kesempurnaan seorang hamba serta kebahagiannya adalah dengan berakhlak dengan akhlak Allah SWT. (Lihat al-Maqsad al-Asna, 45). Selain itu, Syeikh al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 29/6] dan Syeikh al-Abadi di dalam ‘Aun al-Ma’bud juga ada menyebut berkaitan galakan berakhlak dengan akhlak Allah SWT. (Lihat ‘Aun al-Ma’abud, 36/1)

Nasihat-nasihat ini tidak lain tidak bukan adalah terhadap setiap lapisan masyarakat untuk tidak mempunyai stigma terhadap isu-isu kesihatan mental. Pesakit mental tidak boleh digeneralisasikan sebagai “gila” dan seterusnya dipulaukan. Mereka adalah manusia sebagaimana kita yang diuji dengan sedikit musibah. Mereka amat memerlukan sokongan dan dorongan terutamanya daripada individu di sekeliling mereka. Mereka mungkin ada di sekeliling kita namun tidak dapat dikesan kerana ianya tidak mempunyai “wajah”.

 

Agama dan Kesihatan Mental

Ada yang cenderung untuk melihat isu kesihatan mental tanpa melibatkan pengaruh agama. Terdapat juga segelintir pihak yang melihat isu ini boleh ditangani sepenuhnya dengan agama. Dalam menangani isu ini, kesederhanaan dalam berpandangan amatlah dituntut. Kami amat yakin bahawa agama berperanan walaupun sejuzuk kecil dalam membantu merawat masalah kesihatan mental. Dalam masa yang sama, pesakit mental samada neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti wajib menjalani sesi rawatan yang telah digariskan oleh pihak berwajib dan sudah pasti melibatkan kaunselor, pakar psikiatri atau ahli psikologi.

Para fuqaha dan usuliyyun mentakrifkan gila dan penyakit mental sebagai: “Kecelaruan akal sehingga menghalang kebolehfungsian perlakuan atau percakapan mengikut cara yang betul.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaityyah, 16/99)

Menurut pandangan sarjana Muslim dalam bidang psikologi, mereka membahagikan masalah mental kepada dua jenis:

  1. Sakit mental yang berpanjangan (mutbiq)
  2. Sakit mental sementara (‘aridh/ghair mutbiq) yang boleh disembuhkan dengan ubat-ubatan dan rawatan-rawatan. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah, 16/101).

Dalam fiqh, seorang gila yang membunuh tidak ada hukuman balas (qisas) baginya. Ini adalah pandangan majoriti para ulama dan tiada khilaf padanya. Pandangan ini juga dipersetujui oleh Sheikh Abdul Qadir al-Audah. Beliau menyatakan tidak boleh menyabitkan hukuman jenayah ke atas orang yang menghidap penyakit halusinasi atau skizofrenia. (Lihat Tasyri’ al-Jinai al-Islami, 1/504)

Sama juga halnya dengan pesakit mental; apa jua yang berlaku selama mana dalam tempoh berkenaan - sekiranya disahkan oleh pakar sebagai di luar kawalan - samada perbuatan, perkataan mahupun pengakuan, maka ia tidaklah dikira berdosa dari sudut syarak.

Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha.

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يُفِيقَ

Maksudnya :” Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar.” (Riwayat al-Nasaie, no. 3432)

Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi saw “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar’ adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 16/20). Sheikh Abdullah al-Tayyar menyatakan : “Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.” (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah, 9/9)

Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang bermasalah mental sehingga dia berakal.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1423 dan Ahmad, no. 956)

Berkaitan dengan status hadith ini, ia juga diriwayatkan oleh sahabat yang lain seperti Aisyah R.anha dan Abu Qatadah. Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib di dalam Sunannya. Selain itu, Imam al-Hakim menghukum sanad hadith ini sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Adapun, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi dan perawi-perawinyanya adalah boleh dipercayai (thiqah) kerana perawi-perawinya adalah perawi al-Bukhari dan Muslim.

Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 570/4). Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 426/2)

Adapun jika pesakit tersebut masih dalam keadaan sedar atau mampu mengawal dirinya dan dia membunuh diri, kami cenderung untuk berpegang kepada hukum asalnya iaitu haram dan berdosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6047 dan Muslim, no. 110)

Di sinilah perlunya peranan ibu bapa, keluarga terdekat dan sahabat handai untuk sentiasa berada di samping mereka dan memberikan sebarang bentuk sokongan yang dapat mengurangkan tekanan dalam jiwa mereka.

Antara lain lagi berhubung hal yang dimaafkan adalah, lintasan hati dan lafaz kufur seperti mempertikaikan kewujudan Allah SWT, peranan-Nya, mahupun pertikaian kepada syariat-Nya. Jika keraguan dan pertikaian itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu (atau dalam istilah saintifiknya skizofrenia), maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan)". (Riwayat al-Bukhari, no. 2528)

Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, 273)

Ia bersandarkan firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 5)

Juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.” (Riwayat Ibn Majah, no. 2043)

Walau bagaimanapun, kami tetap menasihatkan orang yang mengalami situasi sebegini agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya apabila berada dalam keadaan waras. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.” (Riwayat Imam Ahmad, no. 8710)

 

Cadangan

Perhatian yang serius perlu diberikan oleh ibu bapa dan keluarga terdekat dalam memberi sokongan kepada pesakit mental seperti ini. Antara yang boleh diusahakan adalah menambahkan ilmu pengetahuan berhubungan kesihatan mental, memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada mereka, tidak meminggirkan mereka sama sekali dan “mengkeluargakannya” dalam aktiviti-aktiviti seharian terutamanya ibadah dan hubungan sosial.

Kepada mereka yang diuji dengan masalah kesihatan mental, kami mendoakan semoga anda terus tabah dan sabar menjalani musibah yang melanda. Yakinlah dengan firman-Nya:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (5) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (6)

Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Syarh: 5-6)

Menurut Imam al-Syaukani, kalimah (الْعُسْرِ) atau “kesukaran” yang diulang dalam Surah al-Syarh bermaksud satu kesukaran sahaja kerana kedua-duanya menggunakann isim ma’rifah. Ini kerana, jika isim ma’rifah berulang, kalimah yang kedua adalah sama dengan yang pertama, samada ianya isim ma’rifah yang menggunakan alif lam jinsi ataupun alif lam ‘ahdiyyah. Manakala kalimah (يُسْرًا) itu dikira dua kerana jika isim nakirah yang sama berulang, kalimah pertama berbeza dengan kalimah yang kedua. (Lihat Fath al-Qadir, 5/564)

Syeikh ‘Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di mempermudahkan lagi pemahaman akan ayat ini dengan katanya, “Kalimah (الْعُسْرِ) menggunakan alif lam yang menunjukkan sifat keumuman iaitu segala bentuk kesukaran. Ini bermaksud bahawa sesukar manapun, pengakhiran bagi setiap kesukaran adalah kemudahan.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, m. 929)

Pendek kata, dalam satu kesukaran, ada banyak kemudahan, solusi dan jalan keluar bagi apa-apa permasalahan. Itulah keindahan Bahasa Arab melalui janji Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Ibn Rajab al-Hanbali meninggalkan kepada kita satu pesanan yang cukup terkesan tentang betapa pentingnya bersabar dalam menempuhi kesukaran hidup. Menurutnya: “Jika kesempitan itu semakin berat dan sukar, seorang hamba akan berputus asa. Demikianlah keadaan makhluk yang tidak mampu menyingkap keluar dari kesukaran. Dan dia menggantungkan hatinya kepada Allah SWT semata-mata. Inilah hakikat tawakkal kepada Allah SWT. Inilah yang menjadi sebab-sebab terbesar untuk tercapainya hajat-hajat. Ini kerana Allah SWT akan mencukupkan orang yang bertawakkal kepada-Nya. Firman Allah SWT: ‘Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/493)

Selain itu, beberapa cadangan yang boleh diberikan adalah:

  1. Bentuk kerjasama yang lebih serius perlu digerakkan oleh pelbagai pihak dalam agensi kerajaan. Kementerian Kesihatan akan terus memainkan peranan utama bagi memudahkan kerjasama di kalangan pelbagai sektor melalui pelbagai program dan aktiviti kesihatan mental yang diperlukan oleh mereka dan membolehkan mereka melibatkan diri dalam masyarakat yang lebih bermakna.
  2. Masyarakat perlu terlibat di dalam perancangan, pengurusan dan penilaian aktiviti-aktiviti yang berasaskan komuniti bagi menentukan hak, kebanggaan dan penerimaan aktiviti-aktiviti ini.
  3. Perancangan dan pembangunan sumber manusia dalam kesihatan mental bagi memenuhi keperluan negara perlu menjadi pelaburan utama dalam sektor kesihatan.
  4. Perkhidmatan kesihatan mental wajib menyediakan penjagaan dan piawaian berkualiti tinggi dengan program penentu kualiti dalaman yang tersedia. Ia juga perlu mematuhi piawaian yang terkandung di dalam resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Perlindungan Hak orang yang menghidap penyakit-penyakit mental.
  5. Penyelidikan dan pembangunan berhubung kesihatan mental perlu terus dilaksanakan dan dibiayai oleh sektor awam dan swasta.
  6. Hak dan kebebasan orang-orang yang mengalami masalah kesihatan mental dan gangguan mental mesti diberi jaminan dan perlindungan melalui perundangan.

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

_________________________________

[1] https://youtu.be/P6D5VgyI_Ms

[2] Brooks BR, Thisted RA, Appel SH, et al; AVP-923 ALS Study Group. Treatment of pseudobulbar affect in ALS with dextromethorphan/quinidine: a randomized trial. Neurology. 2004;63(8):1364-1370

[3] Brooks BR, Crumpacker D, Fellus J, Kantor D, Kaye RE. PRISM: a novel research tool to assess the

prevalence of pseudobulbar affect symptoms across neurological conditions. PLoS One. 2013;8(8):e72232.

doi: 10.1371/journal.pone.0072232