Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 Soalan:

Adakah perlu orang yang berkorban menyaksikan penyembelihan bagi menyempurnakan korbannya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah korban, yang terbaik adalah apabila orang yang berkorban itu sendiri menyembelih binatang korbannya. Ini sabit berdasarkan hadith Nabi SAW yang mana Baginda sendiri yang menyembelih binatang korbannya berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya:Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.”

Riwayat Al-Bukhari (5565) & Muslim (1966)

 

Berdasarkan perbuatan Nabi SAW  melalui hadith di atas, maka disunatkan bagi mereka yang ingin melakukan korban menyembelih sendiri binatang korbannya mengikut perbuatan Nabi SAW itu.

Boleh juga bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain untuk menyembelih binatang korban buat dirinya namun disunatkan buatnya untuk melihat sembelihan itu meskipun bukannya dirinya yang melakukan sembelihan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadith yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Ini adakah untuk kita ahli Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah SAW: Bahkan untuk kita dan orang Islam keseluruhannya”.

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (7525)

 

Terdapat beberapa faedah daripada hadith di atas. Antaranya:

  1. Arahan Nabi SAW kepada Fatimah R.Anha untuk keluar menyaksikan sembelihan itu menunjukkan bahawa Fatimah R.Anha telah mewakilkan orang lain untuk melakukan sembelihan buatnya.

 

  1. Arahan Nabi SAW kepada Fatimah R.Anha untuk menyaksikan sendiri proses sembelihan itu menunjukkan sunat bagi seseorang yang melakukan korban untuk melihat sembelihannya.

 

  1. Melalui hadith di atas juga menceritakan kelebihan menyaksikan sembelihan sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa yang terdahulu.

 

  1. Hadir menyaksikan proses sembelihan itu sendiri dapat menzahirkan syiar Islam.

 

Kesimpulan

Menyaksikan proses sembelihan bagi mereka yang menunaikan ibadah korban adalah disunatkan berdasarkan hadith Fatimah R.Anha yang dinukilkan sebelum ini. Namun, yang terbaik bagi orang yang ingin melakukan ibadah korban adalah menyembelih dengan tangannya sendiri seterusnya menyaksikan sendiri. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H