Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

kafarah jimak batal puasa makan.JPG

Soalan

Assalamualaikum Dato’. Adakah saya dikenakan kaffarah sekiranya saya berjimak selepas sengaja membatalkan puasa dengan makan dan minum. Terima kasih ustaz

 

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

 

Kaffarah Jimak

Kaffarah (الكفارة) dari segi bahasa bermaksud menutup. Ini kerana menutup dosa sebagai keringanan daripada Allah SWT.

Kaffarah dari segi istilah bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.

Para fuqaha bersepakat, sesiapa yang melakukan jimak di siang hari Ramadhan secara sengaja dan dengan ikhtiarnya sendiri maka batallah puasanya dan dikenakan kaffarah kubra ini sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: مَا لَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِى وَأَنَا صَائِمٌ، في رواية: في رَمَضَان. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ. فَمَكَثَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، فَبَيْنَمَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ، أُتِىَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِفرقٍ فِيهِ تَمْرٌ. قَالَ: أيْنَ السَّائِلُ؟ فَقَالَ: أَنَا. قَالَ: خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ. فَقَالَ: الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّى يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Maksudnya: “Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.”

Hadis Riwayat al-Bukhari (1834)

Terdapat pelbagai jenis kaffarah yang telah ditetapkan syarak, seperti kaffarah sumpah, bunuh dan zihar. Adapun kaffarah yang dikenakan disebabkan membatalkan puasa dengan bersetubuh adalah dengan:

  • Memerdekakan seorang hamba
  • Berpuasa selama dua bulan berturut-turut sekiranya tiada hamba atau tidak mampu mendapatkannya
  • Memberi makan 60 orang miskin, setiap orang secupak makanan asasi negeri berkenaan.

Ia mestilah dilakukan mengikut urutan sebagaimana yang telah dijelaskan. Oleh itu, tidak boleh memilih mana-mana kaffarah kecuali sekiranya tidak mampu melakukan kaffarah yang sebelumnya. Walaupun tidak mampu melakukannya, ia tetap menjadi tanggungjawabnya dan mesti dilaksanakan apabila mampu. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 2/364)

 

Hukum Membatalkan Puasa Dengan Sengaja kemudian melakukan Jimak

Berdasarkan permasalahan di atas para Fuqaha’ mazhab berbeza pendapat berkenaan hal ini. Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan “mengikut pandangan Syafi’iyah, sekiranya membatalkan puasa dengan makan, kemudian melakukan jimak maka tidak ada kaffarah baginya”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu li Zuhaili, 3/1722)

Begitu juga apa yang didatangkan oleh Imam al-Baijuri di dalam Hasyiahnya menyatakan: “Dikecualikan (Kaffarah) dengan melakukan Jimak apabila membatalkan puasanya dengan makan dan minum. Helah ini hanya menghilangkan kaffarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya. (Lihat: Hasyiah al-Baijuri 1/440)

Selain itu, mengikut Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad wajib dikenakan kaffarah sekiranya membatalkan puasa dengan makan kemudian melakukan jimak. Ini kerana kewajipan berpuasa tidak gugur ke atas dirinya oleh itu larangan melakukan jimak juga tidak gugur kerana berbuka puasa di atas sebab yang tidak disyariatkan (Lihat: al-Fiqh ala al-Mazhab al-Arba’ah 1/509-511)

 

Dosa Membatalkan Puasa Dengan Sengaja

Puasa Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hambanya supaya berpuasa seperti firmanNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 183)

Barang siapa yang meninggalkan kewajipan berpuasa dengan sengaja, maka ia telah meninggalkan satu rukun daripada Islam. Dan ini merupakan satu dosa yang sangat besar dan dimurkai oleh Allah SWT. Terdapat amaran yang keras sekiranya meninggalkan puasa dengan sengaja, ini seperti hadis daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:

عُرَى الْإِسْلَامِ وَقَوَاعِدُ الدِّينِ ثَلَاثَةٌ عَلَيْهِنَّ أُسِّسَ الْإِسْلَامُ مَنْ تَرَكَ مِنْهُنَّ وَاحِدَةً فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلَالُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَالصَّلَاةُ الْمَكْتُوبَةُ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

Maksudnya: Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan satu daripadanya dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadan.”

Hadis Riwayat Abu Ya’la, (2349)

Selain itu, ganjaran meninggalkan puasa Ramadhan tanpa sebarang rukhsah tidak akan sama dengan menggantinya pada hari yang lain. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Sabda Nabi SAW:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلاَ مَرَضٍ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya”.

Hadis Riwayat al-Tarmizi, (723)

Helah

Helah الْحِيلَةُ dari segi bahasa iaitu kemahiran menguruskan sesuatu perkara, seperti menukarkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain sehinggalah mencapai matlamat dan tujuannya. (Lihat: al-Mausuah al- Fiqhiyyah al-kuwaitiyyah 2/101)

Di dalam kamus dewan helah merupakan, akal, muslihat, tipu daya. Menggunakan helah serta berdalih.

Dari segi istilah helah bermaksud penggunaannya dikhususkan bagi menukarkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain. Dan kebiasaannya digunakan mengikut keadaan dan uruf. (Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuawaitiyyah, 18/328)

Para fuqaha’ membahagikan helah ini kepada dua bahagian

Helah yang dibenarkan, penggunaannya dengan tujuan yang baik serta mempertahankan kebenaran. Penggunaan helah mestilah tidak bertentangan dengan syarak dan tidak bercanggah dengan maqasid syariah. Penggunaan helah yang bertepatan dengan syarak diterima oleh jumhur pada fuqaha’.

Helah yang diharamkan adalah penggunaannya untuk mencapai tujuan yang bertentangan dengan syarak dan memasukkan perkara yang syubhah. Ini seperti membatal dan menukarkan hukum syarak dengan meninggalkan yang wajib serta menghalalkan perkara yang haram serta bercanggah dengan maqasid syariah. (Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/330)

Berdasarkan penjelasan di atas, berbuka puasa tanpa sebarang sebab bagi tujuan untuk melakukan jimak tanpa dikenakan kaffarah di siang Ramadhan adalah termasuk dalam bentuk helah yang dilarang. Ini kerana ia bertujuan untuk melakukan perkara yang pada asalnya adalah membatalkan puasa dan dikenakan kaffarah kubra disamping caranya juga membawa kepada dosa besar kerana berbuka tanpa sebarang keuzuran syarie.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas, dapat disimpulkan bahawa Fuqaha’ berbeza pendapat sama ada perlu dikenakan kaffarah ataupun tidak. Dan mengikut pandangan Mazhab Syafie tidak dikenakan kaffarah kerana perbuatan jimak itu dilakukan setelah tidak lagi berpuasa. Adapun kewajipan kaffarah adalah melakukan jimak ketika masih lagi berpuasa.

Akan tetapi perbuatan membatalkan puasa dengan menggunakan helah supaya tidak dikenakan kaffarah dengan makan dan minun kemudian melakukan jimak.

Helah yang digunakan ini dikategorikan sebagai helah yang diharamkan. Ini kerana penggunaan helah bagi mencapai tujuan yang haram dengan cara yang diharamkan. Ia merupakan tindakan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT dan sangat besar dosanya. Ini kerana berpuasa di bulan Ramadan merupakan salah satu daripada rukun Islam.

Adapun islam tidak melarang daripada melakukan jimak pada malam bulan Ramadhan. Ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

MaksudnyaTelah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.

Surah al-Baqarah (187)

Sekiranya ia meninggalkan kewajipan berpuasa maka ia meninggalkan satu daripada rukun Islam. Said Sabiq di dalam kitabnya menukilkan kata-kata Imam Zahabi, katanya “Sesungguhnya barang siapa yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah lebih buruk daripada perbuatan berzina dan meminum arak bahkan mereka ini diragukan keislamannya dan berkemungkinan kafir zindik” (Lihat: Fiqh al-Sunnah, 1/434)

Oleh itu, bagi sesiapa yang melakukan perkara ini wajib ke atas mereka bertaubat dengan sepenuh hati, meninggalkan dosa yang dilakukan itu serta berazam tidak mengulanginya kembali. Ini seperti yang disarankan al-Kalbiy:

التَوْبَةُ النصوحُ الندمُ بالقَلْبِ، والاسْتِغْفَارُ بِالِسَانِ، والاقلاعُ بالبَدْنِ، والإِضْمَارُ عَلَى ألا يعودَ

Maksudnya: Taubat Nasuha ialah sesal dengan hati, istighfar dengan lidah, buang perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam tidak kembali semula. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi, 18/198)

Wallahualam.