Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

zakat fitrah tunang.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin mmbuat pertanyaan berkenaan zakat fitrah. Bolehkah saya tolong bayarkan zakat fitrah untuk tunang. Terima kasih

 

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya. (Lihat: al-Muktamad fi alfiqh al-Syafi’e, 95)

 

Pensyariatan

Zakat fitrah difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:

Hukum

Jumhur fuqaha’ bersepakat bahawa wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi setiap orang Islam yang hidup di dalam bulan Ramadhan ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‏.‏

Maksudnya: sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada buan Ramadhan ke atas setiap manusia sebanyak satu gantang dari tamar dan gantang gandum (makanan asasi) bagi setiap yang merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan.

Riwayat Imam Muslim, (984)

Syarat-syarat wajib

Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:

  • Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
  • Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
  • Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/98)

 

Menunaikan Zakat Fitrah

Zakat fitrah diwajibkan ke atas dirinya sendiri, setiap orang yang wajib diberi nafkah. Mereka itu termasuklah daripada isterinya, usul dan furu’ (keturunannya) dari lelaki atau perempuan dengan syarat mereka ini tergolong dalam golongan fakir miskin. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-kuwaitiyah, 23/339).

Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak diharus bagi seseorang itu menunaikan zakat fitrah kepada orang lain (ajnabi) melainkan mendapat keizinannya. Serta tidak sah sekiranya ia menunaikannya tanpa mendapat keizinan. Ini kerana zakat fitrah itu ibadah dan tidak akan tertunai melainkan mendapat keizinan daripadanya. Namun sekiranya mendapay keizinan maka tertunailah zakat fitrahnya. (Lihat: al-Muktamad fi alfiqh al-Syafi’e, 2/102)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas dibolehkan menunaikan zakat untuk tunang atau orang lain yang bukan di bawah tanggungannya adalah dengan mendapat keizinan daripadanya.

Sebaiknya digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah ke atas dirinya dahulu dan juga tanggungannya dari usul dan furu’ yang tidak berkemampuan. Ini kerana apa yang disarankan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA sabda Nabi SAW:

خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: Sebaik-baik sedekat adalah selepas mencukupi keperluan, dan mulailah daripada orang-orang yang berada dibawah tanggunganmu

Hadis Riwayat Imam Bukhari (1426)

Wallahualam.