Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-2: KITAB-KITAB BERKAITAN ILMU USUL AL-FIQH

Mukadimah

Sepanjang perkembangan ilmu usul fiqh yang bermula dari penulisan terawalnya menerusi kitab al-Risalah karya Imam al-Syafie, telah banyak kitab yang ditulis oleh para ulama selepasnya berkenaan ilmu ini. Ia terbahagi kepada penulisan ulama mutaqaddimin (terdahulu) dan juga mutaakhirin (kontemporari). Demikian juga terdapat kitab-kitab usul fiqh yang ditulis mengikut mazhab-mazhab fiqh tertentu. Percambahan ilmu yang makin pesat menjadikan penulisan ilmu usul fiqh semakin berkembang di zaman ini. Justeru, di dalam siri kali ini kami senaraikan beberapa kitab-kitab penting untuk dijadikan sebagai rujukan bagi mereka yang berminat dalam menekuni ilmu usul fiqh.

 

Kitab-Kitab Usul Al-Fiqh Turath/Mutaqaddimin

Antara kitab-kitab turath yang ditulis berkenaan ilmu usul al-fiqh adalah seperti berikut:

 

1- Kitab Al-Risalah

Seperti yang kita tahu, individu pertama yang mula menulis sebuah karya khas berkaitan ilmu usul fiqh adalah al-Imam al-Syafie (204 H.) rahimahullah menerusi kitabnya al-Risalah. Sebab ditulisnya kitab ini adalah hasil daripada permintaan Imam Abd al-Rahman bin Mahdi yang merupakan seorang ahli hadis yang terkenal. Beliau telah meminta al-Imam al-Syafie untuk membuat suatu kitab yang terdapat di dalamnya ma’aani al-Quran, kehujahan al-Ijmak, penjelasan berkenaan al-nasikh dan al-mansukh di dalam al-Quran dan juga al-Sunnah. Lihat al-Intiqa’, Ibn Abd al-Barr. Hlm. 27.

Kata al-Allamah Ahmad Syakir rahimahullah: Kitab al-Risalah ini merupakan kitab terawal yang ditulis dalam usul al-fiqh. Bahkan ia juga merupakan kitab pertama yang ditulis di dalam ilmu usul hadis. Lihat Mukadimah Kitab al-Risalah, Tahqiq Ahmad Syakir.

Imam Fakhru al-Razi berkata: Mereka dahulu sebelum datangnya al-Imam al-Syafie berbicara mengenai permasalahan-permasalahan usul fiqh. Mereka saling beristidlal juga saling membantah antara satu sama lain. Akan tetapi tidak ada satu kanun yang menyeluruh untuk mereka merujuk kepadanya dalam mengenalpasti dalil-dalil syarak berserta cara-cara untuk mentarjihkannya. Maka al-Syafie lah yang telah mengistinbatkan untuk mereka ilmu usul al-fiqh serta meletakkan suatu kanun yang menyeluruh untuk orang ramai yang boleh untuk dijadikan rujukan berkenaan cara mengenalpasti kedudukan dalil-dalil syarak. Maka telah sabit penisbahan al-Syafie kepada ilmu syarak sebagaimana sabitnya penisbahan Aristotle kepada ilmu akal. Rujuk Manaqib al-Syafie. Hlm. 57.

 

2- Kitab Al-Fusul Fil Usul

Kitab ini merupakan antara karya terawal yang ditulis di dalam ilmu usul fiqh. Ditulis oleh al-Syeikh Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Jassas (370 h.) rahimahullah yang merupakan tokoh besar mazhab Hanafi. Kitab al-Fusul fil Usul ini ditulis dengan menggunakan tariqah al-hanafiyyah. Metodologi penulisannya adalah dengan mentaqrirkan kaedah-kaedah usul mengikut apa yang dinukilkan daripada imam-imam berdasarkan furuk (cabang-cabang fiqh). Iaitu kaedah-kaedah disusun berdasarkan pemerhatian mereka ke atas ijtihad para mujtahidin serta cara-cara mereka mengistinbat hukum.

 

3- Kitab Al-Burhan Fi Usul Al-Fiqh

Kitab ini merupakan karya tulisan al-Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini (478 H.) rahimahullah. Ianya ditulis mengikut tariqah al-mutakallimin (ahli kalam) iaitu suatu metodologi penulisan yang cenderung kepada pendalilan berdasarkan akal serta tidak taksub kepada mana-mana mazhab. Kitab al-Burhan ini juga turut mendapat tempat di sisi para ulama yang datang selepas al-Juwaini sehingga ia disyarahkan serta diringkaskan. Antara kitab yang mensyarahkan kitab al-Burhan adalah al-Tahqiq wal-Bayan fi Syarh al-Burhan fi Usul al-Fiqh karangan al-Syeikh Ali bin Ismail al-Abyari (618 H.) Lebih awal dari itu sebuah kitab berjudul Idhah al-Mahsul min Burhan al-Usul karya Abu Abdillah al-Maziri al-Maliki (536 h.) yang mensyarahkan kitab ini. Sekalipun al-Juwaini merupakan tokoh bagi mazhab al-Syafie, akan tetapi kedua-dua penulis kitab yang kami sebutkan di atas merupakan tokoh dari kalangan mazhab Maliki. Al-Imam Ibn al-Subki mengatakan bahawa telah datang seorang tokoh dari Maghribi bernama Al-Syarif Abu Yahya yang menghimpunkan di antara dua syarahan di atas. Lihat Thabaqat al-Syafi’eyyah al-Kubra (5/192).

 

4- Kitab Al-Mustasfa Min Ilmi Al-Usul

Al-Mustasfa adalah antara karya agung yang ditulis oleh Hujjatul Islam al-Ghazali (505 h.) rahimahullah. Beliau dianggap sebagai orang pertama yang memasukkan perbahasan mantiq di dalam ilmu usul fiqh. Beliau sendiri telah menyatakan di dalam kitab tersebut sebab ditulisnya kitab ini iaitu hasil dari permintaan beberapa kelompok yang mempelajari ilmu usul fiqh kepadanya. Kitab al-Mustasfa ini telahpun disyarahkan serta diringkaskan oleh tokoh ulama terkemudiannya. Antara kitab yang mensyarahkannya adalah Syarah al-Mustasfa min Ilm al-Usul karya Dr. Abu Bakr bin Abdullah al-Sa’dawi. Manakala kitab yang merupakan ringkasan bagi kitab al-Mustasfa adalah Lubab al-Mahsul fi Ilm al-Usul karya Abu al-Fadhail al-Qairuwani (632 H.)

 

5- Al-Musawwadah Fi Usul Al-Fiqh

Kitab ini juga merupakan antara kitab usul fiqh yang ditulis oleh tokoh terdahulu. Menariknya kitab ini kerana ia ditulis oleh tiga generasi keturunan Taimiyyah yang bermula daripada zaman datuk sehingga ke cucunya. Kitab ini mula ditulis oleh Syeikh Majd al-Din Abu al-Barakat Ibn Taimiyyah (652 h.) seterusnya disambung oleh anak lelakinya Abd al-Halim bin Taimiyyah (682 h.) dan diakhiri oleh cucunya iaitu Syeikhul Islam Ahmad bin Abd al-Halim Ibn Taimiyyah (728 h.) rahimahumullah. Kitab ini telah ditahqiq oleh tokoh ulama semasa iaitu Dr. Ahmad bin Ibrahim bin Abbas cetakan Dar al-Fadhilah.

 

Kitab-Kitab Usul Fiqh Mutaakhirin/Kontemporari

Antara kitab-kitab kontemporari yang ditulis di dalam ilmu usul al-fiqh adalah seperti berikut:

 

1- Ilmu Usul Al-Fiqh

Kitab ini ditulis oleh al-Syeikh Abd al-Wahhab Khallaf rahimahullah. Ini merupakan antara kitab usul fiqh kontemporari yang mudah lagi ringkas sehingga dijadikan silibus pengajian di kebanyakan universti di timur tengah khususnya.

 

2- Al-Wajiz Fi Usul Al-Fiqh

Salah sebuah kitab moden yang sangat baik dalam menceritakan berkenaan ilmu usul fiqh. Ditulis oleh seorang tokoh ulama besar iaitu al-Allamah al-Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan rahimahullah. Kitab ini turut dijadikan silibus bagi pengajian usul fiqh baik di universiti tempatan mahupun di luar negara.

 

3- Al-Usul Min Ilmi Al-Usul

Sebuah kitab ringkas yang telah ditulis oleh Fadhilah al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah. Beliau sendiri kemudiannya telah mensyarahkan kitab ini yang dinamakan sebagai Syarh al-Usul Min Ilm al-Usul yang menjadikan ia sejilid kitab yang tebal. Penggunaan bahasa yang mudah membantu pembaca dalam memahami ilmu usul fiqh dengan lebih jelas.

 

4- Al-Wadhih Fi Usul Al-Fiqh Lil Mubtadi’in

Ini merupakan antara kitab yang ditulis oleh Fadhilah al-Syeikh Dr. Muhammad bin Sulaiman al-Asyqar rahimahullah. Sebagaimana nama kitab ini yang memfokuskan kepada golongan permulaan yang ingin mempelajari ilmu usul fiqh maka ia sangat membantu dalam proses tersebut.

 

5- Al-Muyassar Fi Usul Al-Fiqh

Kitab ini ditulis oleh al-Syeikh Dr. Ibrahim bin Abdullah Salqini rahimahullah. Beliau merupakan tokoh agama yang besar di Syria bahkan merupakan Mufti bagi kawasan Halab sehinggalah hari kewafatan beliau. Sebagaimana nama kitab, ia menjelaskan usul fiqh dengan cara yang mudah untuk difahami.

 

Kitab-Kitab Usul Fiqh Mengikut Mazhab

Sebelum kami kongsikan berkenaan kitab-kitab yang ditulis di dalam ilmu usul fiqh mengikut pecahan mazhab, suka untuk kami jelaskan bahawa di antara keempat-empat mazhab fiqh yang ada, golongan yang paling banyak menulis ilmu usul fiqh adalah al-Syafieeyyah, kemudian Al-Ahnaf (mazhab Hanafi), kemudian Al-Hanabilah, kemudian Al-Malikiyyah. Justeru, berikut kami sertakan kitab-kitab tersebut dengan kami nyatakan sekali kitab-kitab paling penting mengikut mazhab dan juga di susun mengikut turutan mazhab fiqh.

 

Kitab-Kitab Usul Al-Fiqh Mazhab Hanafi

Antara kitab usul fiqh mazhab Hanafi:

  • Al-Taqrir wal-Tahbir karya Muhammad bin Muhammad Amir al-Haj al-Halabi.
  • Syarh al-Talwih ‘ala al-Taudhih oleh Mas’ud bin Umar al-Taftazani.
  • Fath al-Ghaffar Syarah al-Manar, Ibn Nujaim.
  • Al-Fusul fil Usul, Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Jassas.
  • Al-Usul oleh Ali bin Muhammad al-Bazdawi.
  • Al-Usul, al-Syaasyi.

Kitab usul fiqh terpenting mazhab Abu Hanifah:

  • Al-Fusul lil Usul, Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Jassas.
  • Taqwim Usul al-Fiqh, Abu Zaid al-Dabusi.
  • Al-Usul, al-Sarkhasi.
  • Kasyf al-Asrar Syarh al-Usul al-Bazdawi, ‘Ala’uddin Abdul Aziz bin Ahmad al-Bukhari.

 

Kitab-Kitab Usul Al-Fiqh Mazhab Maliki

Antara kitab usul fiqh mazhab Malikiyyah:

  • Syarah Tanqih al-Fusul karya Ahmad bin Idris al-Qarafi.
  • Al-Muwafaqat oleh Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Syathibi.
  • Al-Isyaarat fi Usul al-Fiqh oleh Sulaiman bin Khalaf Abu al-Walid Al-Baji.

Kitab usul fiqh terpenting mazhab Maliki.

  • Nafais al-Usul fi Syarh al-Mahsul oleh Ahmad bin Idris al-Qarafi.

 

Kitab-Kitab Usul Al-Fiqh Mazhab Al-Syafie

Antara kitab usul fiqh mazhab Syafie:

  • Al-Risalah oleh Muhammad bin Idris al-Syafie.
  • Al-Ibhaj fi Syarah al-Minhaj.
  • Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam karya Saifuddin al-Amidi.
  • Irsyad al-Fuhul oleh Muhammad bin Ali al-Syaukani.
  • Al-Bahr al-Muhith fi Usul al-Fiqh oleh Muhammad bin Abdillah al-Zarkasyi.
  • Al-Burhan fi Usul al-Fiqh Abdul Malik al-Juwaini.
  • Jam’ul Jawamik karya Abdul Wahhab bin Ali al-Subki.
  • Hasyiah al-Attar ‘ala Syarh Jam’ul Jawamik oleh Jalaluddin al-Mahalli.
  • Syarah al-Mahalli ‘ala Jam’ul Jawamik karya Jalaluddin al-Mahalli
  • Fawatih al-Rahamuut karya Ibn Abd al-Syakuur.
  • Al-Mahsul fi Ilm al-Usul oleh Fakhrur al-Razi.
  • Al-Mustasfa fi Ilm al-Usul, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali.
  • Nihayah al-Sul Syarah Minhaj al-Usul oleh Abdullah bin Umar bin Muhammad al-Baidhawi.
  • Al-Tabsirah fi Usul al-Fiqh oleh Abu Ishak al-Fairuz Abadi.

 

Kitab usul fiqh terpenting mazhab al-Syafie:

  • Al-Burhan oleh Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini.
  • Al-Mustasfa oleh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali.
  • Qawathi’ al-Adillah oleh Mansur bin Muhammad bin Abdul Jabbar al-Tamimi al-Sam’ani.
  • Syarah al-Luma’ oleh Abu Ishak Ibrahim al-Shirazi.

 

Kitab-Kitab Usul Al-Fiqh Mazhab Hanbali

Antara kitab usul fiqh mazhab Hanabilah:

  • Syarah al-Kaukab al-Munir oleh Muhammad bin Ahmad bin Abdul Aziz Ibn al-Najjar.
  • Al-Uddah fi Usul Fiqh oleh Muhammad bin Husain Ibn al-Farra’ Abu Ya’la.
  • Al-Musawwadah fi Usul Fiqh karya Aalu Taimiyyah.
  • Raudhah al-Nazhir oleh Muwaffaquddin Abdullah bin Ahmad Ibn Qudamah.
  • Usul al-Fiqh oleh Abu Abdillah Muhammad Ibn Muflih.
  • Al-Tahbir Syarh al-Tahrir karya Abu al-Hasan al-Mardawi.

Kitab usul fiqh terpenting mazhab Hanbali.

  • Syarah al-Kaukab, Muhammad bin Ahmad bin Abdul Aziz Ibn al-Najjar.
  • Musawwadah fi Usul al-Fiqh karya Aalu Taimiyyah.
  • Al-Uddah oleh Abu Ya’la Muhammad bin Husain.

Akhir kalam, kami berpesan kepada penuntut-penuntut ilmu yang masih diperingkat permulaan belajar ilmu usul fiqh ini supaya memulakan pembacaan melalui kitab-kitab usul fiqh yang ringkas serta bahasa yang mudah. Juga lakukanlah pembacaan di hadapan guru-guru untuk mendapat ilmu yang lebih banyak. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat yang berguna kepada masyarakat. Ameen.

Wallahua`lam.