Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IUF 28 MUFTI WANITA

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, saya ingin bertanyakan soalan bolehkah seorang perempuan itu menjadi seorang mufti ataupun syarat seorang mufti adalah seorang lelaki ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Mufti adalah individu yang mengkhabarkan tentang hukum Allah terhadap sesuatu permasalahan yang berlaku. Kata Imam Ibn Hamdan al-Harrani: ‘’Mufti adalah individu yang mengkhabarkan hukum Allah, berdasarkan pengetahuannya terhadap hukum tersebut’’.

Beliau juga menukilkan suatu pendapat yang mentakrifkan mufti sebagai:

‘’Individu yang berkelayakan untuk mengetahui hukum-hakam syarak terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan merujuk kepada dalil, berserta dengan hafalannya terhadap kebanyakan isu feqh’’. Rujuk Sifat al-Mufti, Ibn Hamdan (Hlm. 125).

Merujuk kepada beberapa takrif seorang mufti di atas, ia tidak menunjukkan kepada terkhususnya seorang mufti kepada jantina tertentu. Sebaliknya ia membawa kepada keumuman sesiapa sahaja yang memberi khabar tentang hukum Allah terhadap sesuatu isu yang berlaku berdasarkan dalilnya, maka dia merupakan seorang mufti.

Begitu juga apabila kita melihat kepada beberapa kitab-kitab yang menceritakan tentang isu-isu kefatwaan, mereka tidak meletakkan syarat seorang mufti itu mesti dari kalangan lelaki. Bahkan Imam Al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:

‘’Syarat mufti itu hendaklah dia merupakan seorang mukallaf, beragama Islam, tsiqah dan individu yang boleh dipercayai, bersih dari sebab-sebab yang membawa kepada kefasiqan, (serta bersih) dari perkara yang mencemarkan maruah, faqih al-nafs, sejahtera akal fikiran, baik dalam melakukan sebarang urusan, elok dalam mengistinbat hukum, serta sedar (dalam berfatwa). Sama ada dia merupakan seorang yang merdeka, hamba, seorang perempuan, atau buta’’. Lihat Muqaddimah Al-Majmu’, Al-Nawawi (1/41).

Demikian juga dapat kita lihat berkenaan kenyataan Imam Ibn Hamdan terhadap siapakah yang sah dan boleh untuk memberikan fatwa. Kata beliau: ‘’Sah fatwa seorang hamba, seorang wanita, serta seorang bisu yang dapat difahami (fatwanya itu) melalui isyarat atau penulisan’’. Lihat Sifat al-Mufti, Ibn Hamdan (Hlm. 183).

Berikut kami nyatakan beberapa hujahan yang membenarkan keharusan untuk orang perempuan memberikan fatwa:

Pertama: Allah S.W.T berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Maksudnya: Dan orang-orang beriman dari kalangan lelaki dan perempuan adalah saling membantu antara satu sama lain. Mereka mengajak kepada perkara yang makruf (kebaikan) dan mencegah perkara yang mungkar.

Surah Al-Taubah (71)

Berdasarkan ayat di atas, orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman mempunyai kedudukan yang setara dalam melakukan amar makruf serta mencegah kemungkaran. Seperti yang kita ketahui, mengajak kepada perkara yang makruf adalah suatu lapangan yang luas dan ia meliputi perbuatan memberikan fatwa. Maka jika seorang lelaki dibolehkan untuk memberi fatwa, demikian juga orang perempuan juga dibolehkan untuk berfatwa.

Kedua: Memberi fatwa adalah tidak sama dengan perbuatan qadha’ (menjatuhkan hukum dari pihak hakim). Ini kerana, hukuman daripada hakim bersifat mulzimah (mesti dipatuhi dan diikuti). Manakala fatwa pula tidak melazimkan mustafti (peminta fatwa) untuk mengikutnya. Dia boleh untuk menerimanya dan boleh juga untuk tidak menerimanya.1

Ketiga: Syarat-syarat mufti seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dan juga Imam Ibn Hamdan di atas tidak menetapkan fatwa hanya boleh dilakukan oleh orang lelaki. Sebaliknya boleh untuk orang perempuan untuk berfatwa.

Keempat: Dari sudut sejarah, fatwa dari orang perempuan untuk permasalahan-permasalahan yang berkait rapat dengan orang perempuan pernah berlaku. Ini seperti terkenalnya Ummu al-Mu’minin Aisyah R.Anha dan juga Ummu al-Mu’minin Ummu Salamah dalam menjawab persoalanpersoalan hukum yang berlaku pada zaman mereka.

                                                        

1 Hal tersebut adalah gambaran secara umum. Namun, sekiranya mufti telah mengeluarkan pandangan hukum yang berteraskan dalil-dalil yang sahih lagi sarih, maka tidak ada keluasan (tidak dibenarkan) untuk peminta fatwa meninggalkan fatwa tersebut dan beramal dengan fatwa yang tidak kukuh.

Begitu juga, sekiranya undang-undang setempat telah menjadikan fatwa dari seorang Mufti rasmi untuk dijadikan sebagai akta, maka menjadi kelaziman untuk orang awam mengikuti fatwa tersebut.

Untuk rujukan berkenaan isu ini secara panjang lebar, bolehlah merujuk kepada terjemahan Sifat al-Mufti wal Mustafti yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Kelima: Terdapatnya maslahah yang jelas sekiranya orang perempuan berfatwa kepada temannya dari kalangan orang perempuan. Ini kerana orang perempuan yang terkenal dengan keperibadian yang penuh dengan sifat malu kadangkala sukar untuk dirinya bertanyakan permasalahan hukum kepada orang lelaki, maka menjadi kebaikan sekiranya ada mufti dari kalangan orang perempuan yang pakar mengenai syariat Allah dan juga hukum-hakam syarak untuk berfatwa kepadanya.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa mengikut hukum asal, adalah dibolehkan untuk seorang perempuan menjadi mufti, sekiranya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya diajukan sebarang persoalan hukum kepadanya, maka boleh untuk beliau menjawabnya berdasarkan ilmu yang dimiliki.

Adapun berkenaan kedudukan mufti selaku jawatan rasmi bagi negara atau negeri, maka zhuruf (keadaan) perlu diraikan dengan mengambil kira maslahah-maslahah tertentu. Memandangkan suasana di dunia umumnya dan di Malaysia khususnya, akan terdapat beberapa kesulitan sekiranya orang perempuan mengisi jawatan rasmi sebagai mufti, kerana itulah suasana semasa tidak menyaksikan berlakunya hal ini di negara-negara timur tengah umpamanya seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan, dan selainnya. Ini kerana, jawatan mufti rasmi itu bukanlah sekadar memberikan fatwa, bahkah turut memerlukan mereka menjadi imam solat, menjadi khatib dalam menyampaikan khutbah, memimpin bacaan doa, dan pelbagai tugasan rasmi di peringkat negara dan juga masyarakat.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.