Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Soalan:

Siapakah Imam al-Juwainiy atau Imam al-Haramain?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Membaca dan mempelajari sirah kehidupan seseorang ulama’ itu, sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan kepada diri kita apabila melihat bagaimana mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mencari, menuntut dan menyampaikan ilmu. Justeru itu, elok benar kita mengenali seorang tokoh yang masyhur dalam dunia Islam, tokoh tersebut ialah:

 

Biodata Imam al-Haramain

Nama beliau Abd al-Malik ibn Abi Muhammad Abdillah bin Yusuf bin Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyawiyyah al-Juwainiy dan kunniyah beliau adalah Abu Ma’aliy. Al-Juwainiy adalah nisbah kepada Juwain iaitu salah sebuah kampung yang terletak di Naisabur. Beliau telah lahir pada awal tahun 419 Hijrah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi. Tambahan pula, beliau bermazhab al-Syafi’e dan beraqidah ahli sunnah. Adapun, antara gelaran beliau yang masyhur adalah al-Faqih al-Syafi’e, Dhiya’ al-Din dan beliau juga dikenali sebagai Imam al-Haramain iaitu imam dua tanah haram (Makkah dan Madinah). Ini kerana, beliau menetap di Haramain ketika keluar dari kampung halamannya ke al-Hijaz iaitu di Makkah dan Madinah selama empat tahun mengajar dan memberi fatwa.  [Lihat: Siyar a’lam al-Nubala’, 14/17]

 

Imam al-Juwainiy hidup dan membesar di dalam sebuah keluarga yang penuh dengan kelebihan dan ilmu. Ini kerana, ayahnya seorang Faqih, Muhaddith dan juga seorang yang mempunyai banyak karya penulisan. Beliau mula mempelajari ilmu di rumahnya dengan ayahnya iaitu beliau membaca dan mempelajari tafsir, hadith, feqah, usul (aqidah), adab (bahasa) dan juga kesemua karya ayahnya. Dalam masa yang sama, beliau mencatat segala ulasan-ulasan yang diberikan oleh ayahnya terhadap kesemua pelajaran yang beliau pelajari. Ayahnya telah wafat ketika usia beliau sampai dua puluh tahun, maka beliau telah menggantikan tempat ayahnya dalam memberi pengajian.

 

Antara cara imam al-Haramain dalam memperolehi ilmu iaitu dengan cara mengkaji, berbincang, meninggalkan taqlid dan mengikut dalil samada daripada al-Quran dan al-Sunnah. Di samping itu, beliau tidak suka bermujamalah (bermuka-muka) terhadap seseorang walaupun kebenaran bersama orang tersebut dan berselisih denagn apa yang dipelajarinya daripada ayahnya.

 

Selain itu juga, beliau juga telah mengembara ke beberapa negara untuk menuntut ilmu. Antaranya adalah beliau telah mengunjungi Baghdad , Ishfahan dan juga ke Hijaz (Mekah dan Madinah). Setelah pulang semula ke kampung halaman beliau, beliau telah diajak untuk mengajar di Madrasah Nizhamiyyah sehingga beliau wafat.

 

Guru-guru beliau

Antara guru beliau ialah:

  • Ayah beliau iaitu al-Imam Abi Muhammad
  • Abu Bakar al-Baihaqiy al-Naisaburiy
  • Al-Qadhi Husain bin Muhammad bin Ahmad
  • Abu Nuaim al-Ashbahani
  • Abu Al-Hasan Ali bin Fadhal bin Ali Al-Majassy'i

 

Murid-murid beliau

Antara murid beliau ialah:

  • Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali
  • Abu al-Hasan Ali bin Muhammad Al-Kiya al-Harrasi
  • Abu Nasr Abd al-Rahim bin Abd al-Karim al-Qushairi
  • Abu al-Muzaffar Ahmad bin Muhammad al-Muzaffar al-Naisaburiy
  • Abu al-Hasan Abd al-Ghafir bin Ismail bin Abd al-Ghafir al-Farisiy al-Naisaburiy

 

Pujian ulama’ terhadap Imam al-Haramain

Antara pujian yang diberikan kepada Imam al-Haramian ialah:

 

  • Telah berkata Syeikh Abu Ishak al-Syirazi RA: “Wahai pemberi manfaat terhadap orang-orang di timur dan barat, telah mendapat manfaat daripada ilmumu generasi terawal dan kemudian”.
  • Beliau berkata lagi: “Bergembiralah dengan imam ini kerana beliau amat sedikit orang seperti beliau di zaman ini”.

 

  • Telah berkata al-Qadhi Abu Said al-Thabari RA: “Bahkan beliau adalah imam di Khurasan dan Iraq, disebabkan kelebihannya dan terkehadapannya dalam bermacam-macam jenis cabang ilmu”.

 

  • Telah berkata Ali bin Faddhal RA: “Aku tidak pernah melihat seorang yang teramat cinta ilmu dalam semua bidang seperti imam ini (Imam al-Juwainiy). Ini kerana, beliau menuntut ilmu kerana ilmu”.

 

Karya Beliau

Antara karya beliau yang masyhur adalah:

  • Kitab al-Waraqat
  • Kitab al-Irsyad fi Usul al-Din
  • Kitab al-Risalah al-Nizhamiyyah fi Ahkam al-Islamiyyah
  • Kitab al-Nihayah al-Matlab fi al-Mazhab
  • Kitab al-Burhan fi al-Usul al-Feqh
  • Kitab al-Syamil fi Usul al-Din

 

Wafat

Beliau telah wafat pada 25 Rabi’ al-Akhir tahun 478 Hijrah dan telah ditanam di rumahnya. Kemudian dipindahkan setelah beberapa tahun ke perkuburan al-Husain dan ditanam di samping kubur ayahnya.

 

Penutup

Demikianlah ringkasan hidup seorang tokoh yang besar dan hebat dalam dunia Islam iaitu Imam al-Juwainiy. Walaupun pemergiannya telah beratus-ratus tahun namun namanya dan karya-karyanya masih segar sehingga ke hari ini. Imam al-Juwainiy telah menafkahkan dirinya dalam menyebarkan ilmu dan juga menghasilkan karya-karya yang bermutu untuk ditinggalkan kepada umat ini, semoga dengan itu umat ini akan terus terpelihara daripada segala unsur-unsur yang boleh merosakkan agama dan aqidah ini. Amin.

 

e fatwa
e kiblat
e tauliah

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 538

Minggu Ini : 927

Bulan Ini : 7815

Keseluruhan : 9912444

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji