Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Mukadimah

Baru-baru ini, di antara tajuk yang dikupas oleh pembentang di dalam seminar ‘Home of Hadith’ adalah berkenaan dengan ilmu usul fiqh di sisi ahli hadis. Kita semua tahu bahawa ulama feqh tidak semestinya merupakan seorang ulama di dalam bidang hadis, dan begitulah juga sebaliknya. Ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al A’masy Rahimahullah:

يَا مَعْشَرَ الفُقَهَاء أَنْتُمْ الأَطِبَّاء وَنَحْنُ الصَّيَادِلَة

Maksudnya: Wahai para fuqaha, kalian adalah para doktor dan kami merupakan ahli farmasi. Rujuk Nasihah ahl-Hadis, al-Khatib al-Baghdadi(1/45).

Berdasarkan kata-kata di atas, dapatlah kita tahu bahawa pengkhususan kedua-duanya di antara para fuqaha dan ulama hadis adalah berbeza. Para fuqaha ibarat doktor yang merawat pesakit. Manakala para ulama hadis ibarat pakar farmasi yang menentukan ubat-ubatan yang sesuai untuk diberikan kepada pesakit. Sebagaimana kesan buruk akan menimpa pesakit apabila tersilap menerima ubat, demikian jugalah kesan fatwa yang akan terhasil apabila hadis-hadis yang bermasalah dijadikan sebagai sumber dalam mengeluarkan hukum. Sebahagian orang beranggapan bahawa para ulama hadis tidak memahami bahkan tidak pakar di dalam ilmu usul fiqh. Persoalannya, adakah kenyataan ini tepat atau sebaliknya ? Justeru, di dalam Irsyad Usul al-Fiqh siri ini, kami akan mengulas isu ini dengan lebih lanjut. Ulama Hadis Memiliki Mazhab Tersendiri

Di antara perkara yang tidak dapat dinafikan, di sana terdapat para ulama besar di dalam bidang hadis yang memiliki mazhab feqh yang tersendiri. Mazhab-mazhab mereka, ada yang masih kekal sehingga kini dan ada juga yang tidak kekal dan tidak dikembangkan oleh para pengikutnya. Namun pendapat-pendapat mazhab tersebut tidaklah hilang, akan tetapi ia tetap disebutkan di dalam kitab-kitab feqh yang muktabar.

Di antara contoh ulama hadis yang memiliki mazhab tersendiri adalah:

1- Imam Malik Bin Anas (W. 179 H)

Imam Malik bin Anas rahimahullah terkenal sebagai ulama yang mempelopori madrasah ahli hadis. Sebagaimana yang kita tahu, aliran ini sangat berpegang kuat dengan hadis-hadis dan athar dari Nabi S.A.W dalam mengeluarkan sesuatu pendapat dan juga hukum. Mereka tidak mendahulukan qiyas atau pendapat rasional ke atas hadis-hadis. Walaupun begitu, itu bukanlah bermakna Imam Malik tidak menguasai dan pakar berkenaan ilmu feqh. Bahkan beliau merupakan seorang mujtahid mutlak dan pemilik mazhab feqh yang masyhur.

Dr. Abdul Karim Zaidan rahimahullah mendefinisikan mujtahid sebagai: “Seseorang yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Iaitu kemampuan untuk mengistinbat hukum-hakam syarak yang bersifat amali daripada dalil-dalilnya yang tafsili”. Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Dr. Abd al-Karim Zaidan. Hlm. 402.

Berdasarkan definisi di atas, dapatlah kita fahami bahawa Imam Malik juga merupakan seorang ulama feqh yang menguasai ilmu usul feqh dengan baik sekalipun beliau terkenal sebagai tokoh aliran ahli hadis.

2- Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari (W. 256 H)

Beliau rahimahullah merupakan seorang ulama hadis yang sangat masyhur. Kitabnya yang agung iaitu Sahih al-Bukhari dianggap sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran. Walaupun begitu, beliau juga turut menguasai ilmu feqh dan juga usul al-fiqh dengan baik. Maka tidak hairanlah terdapat beberapa ulama yang mengatakan bahawa Imam al-Bukhari adalah seorang mujtahid.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (W. 728 H) rahimahullah: “Adapun al-Bukhari dan Abu Daud maka kedua-duanya merupakan imam di dalam feqh dan juga tergolong dari kalangan ahli ijtihad (mujtahid)”. Rujuk Majmuk al-Fatawa (20/40).

Kata al-Syeikh al-Allamah Anuar al-Kashmiri (W. 1352 H) rahimahullah: “Dan ketahuilah bahawasanya al-Bukhari merupakan seorang mujtahid yang tidak ada keraguan padanya. Adapun yang mengatakan beliau bermazhab al-Syafie adalah kerana beliau mempersetujuinya pada permasalahan-permasalahan yang masyhur sahaja”. Lihat Faydh al-Bari ‘Ala Sahih al-Bukhari (1/58).

Kata Muhammad bin Basyar: “Telah masuk ke tempat kita hari ini ketua bagi segala fuqaha’ (merujuk kepada al-Bukhari)”. Lihat Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi (2/6).

Kata Ahmad bin Abi Bakr al-Madini: “Muhammad bin Ismail (al-Bukhari) lebih faqih dan lebih ‘alim di sisi kami daripada Ibn Hanbal (Imam Ahmad)”.

Kata beliau lagi: “Sekiranya kau berjumpa dengan Malik dan kau melihat wajahnya serta wajah Muhammad bin Ismail (al-Bukhari) nescaya kau akan berkata: Kedua-duanya setaraf dalam ilmu feqh dan ilmu hadis”. Lihat Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi (2/19).

Justeru, sebagaimana yang kita ketahui bahawa seorang mujtahid itu tidaklah mendapat gelaran tersebut melainkan dia menguasai al-Kitab, al-Sunnah, al-Ijmak, dan seumpamanya dengan mendalam. Yang mana kesemuanya ini adalah termasuk di dalam perbahasan usul feqh.

Ulama Hadis Mengistinbat Faedah Feqh Daripada Hadis

Sebahagian ulama hadis mempunyai kepakaran yang sangat tinggi dalam mengeluarkan hukum dan faedah yang terdapat di dalam hadis-hadis. Di antaranya ialah al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah (W. 852 H). Beliau sangat terkenal dengan kitabnya Fath al-Bari yang merupakan syarah bagi Sahih al-Bukhari. Bahkan sebahagian ulama menyebut bahawa tidak ada hijrah lagi selepas al-Fath (merujuk kepada Fath al-Bari). Di antara tanda yang menunjukkan kepada keilmuan Ibn Hajar di dalam ilmu usul al-fiqh dan juga feqh ialah ketika beliau mengeluarkan berpuluh faedah feqh daripada sebuah hadis iaitu sabda Rasulullah S.A.W:

يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏

Maksudnya: Wahai Abu Umair, apakah yang telah dilakukan oleh al-Nughair (seekor anak burung yang kecil).

Sahih al-Bukhari (6129)

Berdasarkan hadis di atas, para ulama telah mengeluarkan beberapa faedah dari hadis ini. Ia terdiri dari faedah feqh, akhlak, dan seumpamanya. Di antara yang terawal mengeluarkan faedah daripada hadis ini ialah Imam Ibn al-Qaas al-Syafie (W. 335 H) yang merupakan seorang faqih dari kalangan pengikut mazhab al-Syafie. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan bahawa di antara sebab yang membawa Ibn al-Qaas mengeluarkan faedah-faedah yang banyak daripada hadis ini adalah kerana terdapatnya sebahagian golongan yang mencela ahli hadis dengan mengatakan mereka meriwayatkan sesuatu yang tidak ada faedah padanya. Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar. (10/584).

Walaupun Imam Ibn al-Qaas tergolong dari kalangan fuqaha, akan tetapi turut terdapat para ulama hadis yang telah memberikan isyarat berkenaan feqh al-hadis yang terdapat daripada hadis ini. Di antara mereka ialah Imam Abu Hatim al-Razi, Imam al-Tirmizi, dan juga Imam al-Khattabi. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (10/585).

Selain dari itu, Imam Ibn Batthal (W. 449 H) yang merupakan seorang ulama besar di dalam ilmu hadis dan telah mensyarahkan Sahih al-Bukhari juga turut mengeluarkan beberapa faedah lain dari hadis tersebut sebagai tambahan dari apa yang telah disebutkan oleh Ibn al-Qaas. Di antaranya ialah:

1- Keharusan sajak (rima akhir yang sama) di dalam ucapan selama mana tidak terdapat unsur takalluf (memberat-beratkan).

2- Sajak tidak terhalang untuk berlaku daripada baginda Nabi S.A.W · Bolehnya meriwayatkan hadis dengan makna. Ini kerana kisah ini sebuah kisah yang sama akan tetapi ia datang dengan lafaz yang pelbagai.

3- Memegang kepala anak kecil untuk berlemah lembut dengannya. Demikianlah beberapa faedah ataupun feqh al-hadis yang disebutkan oleh para ulama hadis berdasarkan hadis tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka juga turut mempunyai pengetahuan di dalam ilmu usul feqh sehingga boleh mengistinbat hukum-hakam daripada hadis-hadis.

Ulama Hadis Menjadi Mufti Dan Qadhi

Di dalam sejarah, di sana terdapat ulama-ulama hadis yang telah di angkat ke jawatan Mufti dan juga Qadhi. Sebagaimana yang kita tahu, kedua-dua jawatan ini memerlukan seorang itu memiliki kepakaran dalam berijtihad, penguasaan ilmu usul feqh dan feqh yang baik, serta mengenali dalil-dalil yang bersifat ijmali. Kata Imam Ibn Hamdan al-Harrani Rahimahullah:

Adapun seorang yang faqih secara hakikatnya adalah mereka yang mempunyai kelayakan yang penuh yang membolehkan dia mengetahui hukum dengannya ketika dia memerlukannya dengan jumlah yang banyak. Yang dia ketahui dari permasalahan-permasalahan utama dari hukum-hakam syarak yang bersifat cabang serta praktikal berdasarkan ijtihad dan penelitian, dan hadirnya ia (hukum hakam) di sisinya.

Maka setiap faqih pada hakikatnya adalah seorang mujtahid yang memberikan hukum. Kerana ijtihad adalah memerah keringat dan kemampuan dalam mencari hukum syarak berdasarkan dalilnya. Maka setiap mujtahid adalah pakar usul. Oleh yang demikian, ilmu usul feqh merupakan kefardhuan ke atas para fuqaha. Lihat Sifat al-Fatwa wal-Mufti, Ibn Hamdan al-Harrani.

Di antara mereka ialah:

1- Imam Abu Zur’ah al-Dimasyqi (W. 302 H)

Beliau adalah al-Imam al-Kabir al-Qadhi Abu Zur’ah Muhammad bin Uthman bin Ibrahim. Beliau diamanahkan untuk memegang jawatan Qadhi di Diyar al-Misriyyah pada tahun 284 H. Beliau merupakan seorang ulama bermazhab Syafie. Selain itu beliau juga turut memegang jawatan sebagai qadhi di Dimasyq.

2- Imam Ibn Hibban. (W. 354 H)

Beliau merupakan al-Imam al-Allamah Syeikh Khurasan Abu Hatim Muhammad bin Hibban iaitu pemilik kitab Sahih Ibn Hibban yang masyhur. Dalam masa yang sama beliau juga merupakan seorang yang pakar di dalam ilmu feqh dan juga bahasa arab. Kata Imam al-Hakim: “Adalah Ibn Hibban merupakan seorang yang sangat alim di dalam ilmu feqh, bahasa arab, hadis, memberi peringatan, dan beliau dari kalangan lelaki yang paling berakal”. Lihat Siyar A’lam al-Nubala, al-Zahabi (16/94).

Beliau juga merupakan seorang qadhi (hakim) yang bertugas di wilayah Samarqand. Kata Abu Sa’ad al-Idrisi: “Beliau menjalankan qadha’ di Samarqand dalam beberapa tempoh dan beliau dari kalangan golongan yang faqih dalam agama”. Rujuk Siyar A’lam al-Nubala, al-Zahabi (16/94).

Ini jelas menunjukkan bahawa sekalipun beliau merupakan seorang tokoh besar di dalam ilmu hadis dan banyak menulis kitab berkenaan ilmu hadis, pun begitu beliau tetap mempunyai kemahiran yang luas di dalam feqh dan juga usul al-fiqh.

3- Imam Ibn Hajar al-Asqalani (W. 852 H)

Pada tahun 811 H, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dilantik untuk menjadi mufti di Dar al-Adl sehinggalah beliau wafat. Di dalam sehari beliau mengeluarkan fatwa sebanyak 30 fatwa. Bahkan beliau juga turut mengeluarkan fatwa dan menjawab permasalahan sekalipun ketika beliau sedang mengembara. Ini menunjukkan kemampuan dan kemahiran beliau dalam berfatwa. Rujuk al-Jawahir wal-Durar, al-Sakhawi (2/600).

Penutup

Akhir kalam, kami nyatakan bahawa memang di sana terdapat perbezaan di antara ulama feqh dan juga ulama hadis. Ini disebabkan berbezanya lapangan kajian yang dilakukan di antara kedua-dua golongan. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa para ulama hadis juga ramai yang menguasai ilmu usul feqh dengan baik dan menggunakannya di dalam kitab-kitab mereka. Ini boleh kita dapati apabila kita membaca kitab-kitab yang membicarakan tentang hadis-hadis hukum seperti Nailul Author karya Imam al-Syaukani dan juga Subul al-Salam karya Imam al-Son’ani. Kami berharap agar penjelasan yang sedikit ini akan memberikan kefahaman kepada para pembaca. Ameen.

 

e fatwa
e kiblat

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 1016

Minggu Ini : 3679

Bulan Ini : 13654

Keseluruhan : 10267898

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji