Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN
×

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 80

 

Mukadimah

Tanpa disedari panggilan haji telah tiba lagi. Begitulah masa, betapa pantasnya ia berlalu. Oleh kerana keberangkatan jemaah haji Malaysia akan bermula pada awal bulan Ogos. Kami di sini mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada dhuyuf al-Rahman (tetamu-tetamu Al-Rahman) yang dapat dan diberi peluang menjejakkan kaki ke Kota Mekah yang penuh berkat dan Madinah Rasul yang damai dengan fadhilatnya.

Sehubungan dengan itu, Bayan Linnas kali ini akan mengupas isu ini dalam bentuk nasihat kepada dhuyuf al-Rahman agar memperolehi haji yang mabrur dan kami namakan ia Panggilan Haji, Kurniakan Haji Mabrur! untuk sama-sama dihayati.

 

Erti Haji

Seperti yang dimaklumi, haji merupakan satu rukun Islam yang puncak. Ini sebagai interpretasi sifat kehambaan yang mutlak kepada-Nya. Seorang hamba yang datang nun jauh dari segenap pelusuk bumi, mengumpul sejumlah harta hingga bertahun semata-mata kerana haji, sudah cukup menitiskan air mata tatkala melangkah kaki untuk ke Mekah.

Haji sebagai mini kehidupan manusia atau ‘khulasah al-hayat’. Inilah istimewanya haji.

 

Mukadimah Haji

Saudaraku dhuyuf al-Rahman,

Mukadimah haji amat perlu kita fahami dahulu sebelum berangkat ke tanah suci. Imam al-Nawawi telah menyebut dengan panjang lebar dalam kitabnya – al-Idhah fi Manasik al-Hajj-. Antara nasihat dan peringatan kepada bakal haji, dhuyuf al-Rahman, ialah:

     1. Taubat

Sebelum melangkah kaki ke Mekah, mohonlah taubat kepada-Nya, istighfar, dan mohon maaf kepada semuanya. Biarlah hati kita datang ke Kota Mekah dengan sifar dosa dan jernih serta tulus hati.

     2. Belajarlah Manasik Haji

Ini amat penting agar ibadat haji yang kita lakukan ‘عَلَى بَصِيرَة’ dengan penuh yakin dan ilmu. Banyak sekali ibadah dilakukan tetapi akhirnya sia-sia. Ini kerana dilakukan dalam keadaan jahil dan taqlid buta tanpa asas ilmu yang sebenar.

Cukuplah gesaan Nabi SAW dalam hadis yang sahih:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya: Ambillah ibadat hajimu daripadaku.

Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasaie

     3. Bertanyalah Kepada Yang Tahu

Ini kerana banyak kali kita berasa kita tiada ilmu ketika berada dalam situasi tertentu. Alhamdulillah, Tabung Haji dan pakej haji telah menyediakan guru yang bertauliah. Justeru, inilah peluang untuk bertanya kepada mereka. Elakkan bertanya kepada ‘guru-guru sesama sendiri’ kerana dibimbangi bercanggah dengan jawapan yang sebenarnya. Ini mengakibatkan kesusahan kepada kita.

 

     4. Bertolak Ansur Dan Saling Memaafkan

Sama ada sesama rakan taulan atau keluarga seperti suami isteri, ibu bapa, anak-anak, semuanya berpotensi dengan risiko pergaduhan. Inilah ujian terbesar dalam melaksanakan haji secara berjemaah atau keluarga.

 

     5. Elakkan Banyak Berdebat Dan Bercakap

Ini kerana boleh melukakan perasaan, berlaku ghibah, kata nista dan sifat-sifat yang mazmumah. Sepatutnya kita isi dengan ibadat.

 

     6. Benyakkan Baca Al-Qran, Zikir, Solat Dan Tawaf

Dalam erti kata yang lain, gunakan pelaung dan masa ketika berada di Kota Mekah dan Madinah dengan acara ibadat. Inilah kekuatan sebenar haji.

 

     7. Sentiasalah Berniat Yang Baik Dan Perbaiki Hati

Inilah peluang untuk menjadi seterbaik mungkin selepas selesai haji. Ini kerana latihan pembersihan hati atau ‘تَصْفِيَةُ القُلُوب’ akan menatijahkan ‘akhlak yang unggul’ selaras dengan kehendak Nabi SAW untuk menyempurkanakan ‘مَكَارِمُ الأَخْلَاق’.

 

Memahami Falsafah Haji

Tajuk ini amat panjang, luas dan banyak teapi kami akan nytakan sebahagian sahaja agar ia lebih berkesan pada jiwa dan hati kita. Antaranya :-

     1. Ihram

Satu gambaran kehambaan kita yang menuju kepada-Nya. Itulah pakai kematian degan putih melambangkan kesucian.

 

     2. Tawaf

Dengan mengelilingi Kaabah, doa munajat dipanjatkan kepada-Nya di samping zikrullah dengan sebanyak-banyaknya. Hal ini menunjukkan kekerdilan hamba kepada Tuhan.

 

     3. Saie

Ia merupakan satu intrepetasi untuk berusaha tanpa putus asa dalam melayari bahtera kehidupan. Cerakah dua bukit Safa dan Marwah didaki dengan bersungguh untuk melaksanakan sebuah misi arahan-Nya.

Begitu juga nostalgia Hajar dengan anaknya begitu kuat memaknakan kehidupan seseorang mukmin yang bertawakkal kepada-Nya.

 

     4. Wuquf di Arafah

Mejadikan seseorang benar-benar tunduk kepada-Nya. Tangan yang kosong dengan seasana yang hening, itulah waktu munajat jamaie terbesar di dunia. Sejuta hamparan doa dan permohonan ditujukan kepada-Nya. Gambaran hamba nun jauh merantau tawaqquf dan wuquf di Arafah sangat indah dan menginsafkan. Linangan air mata mencurah-curah dan meleleh ke pipi-pipi hamba-hamba-Nya.

 

     5. Bercukur atau bergunting

Seperti yang diketahui rambut merupakan mahkota seseorang tetapi dek kepatuhan kepada-Nya, ia dipotong atau dicukur. Begitu juga mengingatkan kita asal usul yang tiada rambut atau dicukur, maka satu semangat kelahiran baru selepas haji dijelmakan dalam diri ini. Benarlah sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah dan Abdul Rahman bin Sakhr RA:

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّه

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji,kemudian tidak melakukan rafath[1] dan fasiq, nescaya keluar dosanya[2] seperti baru dilahirkan oleh ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (1819)

 

Ulama berkata: Rafath ialah nama bagi setiap perkara yang lagha, kata-kata yang keji, perlakuan maksiat dan juga gurau-senda yang melampau tanpa wujud perasaan malau di dalam jiwa.

Fasiq pula ialah keluar daripada kepatuhan kepada Allah SWT. Thabit dalam sahihnya daripada Abu Hurairah.

Itulah sebahagian falsafah manasik haji yang ingin kami kemukakan.

 

Haji Mabrur

Satu istilah Rasulullah SAW tentang haji, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجَّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Umrah kepada umrah yang seterusnya dapat mengkifaratkan dosa antara keduanya dan haji mabrur[3] tiada balasan kecuali syurga.”

Riwayat al-Bukhari (1773) & Muslim (1349)       

Pendapat yang asah (yang paling sahih) menyatakan bahawa yang mabrur ialah yang tidak dicemari dengan dosa.[4]

Dikatakan juga sebagai maqbul (diterima). Daripada tanda penerimaan bahawa seseorang itu pulang di mana keadaannya dan sikapnya lebih baik daripada sebelumnya. Beliau juga tidak mengulangi maksiat.           

Al-Imam al-Syaukani Rahimahullah (wafat 1255H) di dalam bukunya Nail al-Awtor menjelaskan bahawa:

  • Ibn Khalawaih salah seorang pakar bahasa Arab berasal dari Yaman (wafat 370H) berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT).
  • Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh al-Imam al-Nawawi seorang faqih bermazhab Syafi’e dan pakar hadith.
  • Menurut al-Qurtubi, seorang pakar tafsir dan hukum (wafat 671H), pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para pakar tentang haji mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut.
  • Al-Hasan al-Basri memberi jawapan maksud haji mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah wafatnya dengan perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat.

 

Al-Imam Ahmad dan al-Hakim meriwayatkan daripada sahabat Nabi SAW, Jabir bin Abdullah RA, bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah haji mabrur itu?”. Bagind SAW menjawab: “Memberi makan dan memberi salam.” Tetapi hadith ini dilemahkan oleh pengarang kitab al-Fath. Seandainya sahih maka pasti itulah makna haji mabrur.

Justeru, janganlah kita mengotori dosa-dosa yang telah dibersihkan sebaliknya hendklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa acara manasik haji sebagai mukhayyam tarbawi.

Berdasarkan hadis di atas, haji mabrur akan tercapai insya Allah apabila pra-syarat haji dipenuhi, antaranya:

  1. Ikhlas semata-mata kerana Allah.
  2. Mengikut segala adab, syarat, rukun dengan sempurna.
  3. Rezeki yang dibawa dan digunakan adalah hala semuanya tanpa ada unsure haram ataupun syubhah.
  4. Berdoa dan mohon kepada-Nya dengan sepenuh hati.
  5. Bermuamalah dengan semua pihak dengan akhlak yang tinggi dan terpuji.
  6. Mengelakkan daripada berlakunya fasiq, berdebat dan perkara yang dilarang.

Bacalah buku seperti Al-Idhah Fi Manasik Al-Hajj yang menyebitkan pesanan dalam mukaddimah haji.

 

Ajen Perubah

Dengan sejumlah 4 hingga 6 juta Jemaah haji saban tahun datang dengan janji dan azam mengislahkan diri di samping jambatan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia dikukuhkan lagi. Ini sudah pasti memberi banyak impak kepada negara, bangsa dan juga masyarakat yang mereka diami.

Fokus kita kepada masyarakat Malaysia yang jumlah mereka lebih kurang 28 ribu setahun menunaikan ibadat haji. Bayangkan jika:

  • Dakwah: Mereka semua dapat melaksanakan dakwah kepada keluarga masing-masing di mana setiap orang membawa tiga orang kepada ajaran Islam sudah pasti jumlah mereka hampir keseratus ribu yang taat dan patuh kepada suruhan Ilahi.
  • Masjid: Jika ketika di tanah suci para jemaah boleh utnuk konsisten solat berjemaah di Masjid al-Haram dan juga Masjid al-Nabawi lima waktu sehari maka diharapkan momentum itu juga akan berterusan selepas menunaikan haji bahkan alangkah baiknya jika mereka juga mampu untuk mengajak rakan-rakan yang lain untuk sama-sama mengimarahkan rumah Allah SWT setibanya di tanah air.
  • Sedekah, Infaq & Waqaf: Jika ketika menunaikan haji sudah terbiasa dengan sedekah, infaq dan juga wakaf, alangkah baiknya jika amal soleh itu diteruskan apabila pulang ke tanah air. Sudah pasti ianya mampu menjana ekonomi umat Islam secara tidak langsung dengan sedekah, infaq dan juga wakaf.
  • Membina Keluarga Bahagia: Konsep baiti jannati (rumahku syurgaku), jika dipasak dalam setiap ahli jemaah haji sudah pasti setiap tahun paling kurang kita dapat melahirkan hampir 30 ribu keluarga bahagia.

 

Penutup

Saudaraku dhuyuf al-Rahman, ibadat haji merupakan anugerah agung Allah kepada kita yang dapat menapak kakinya ke Tanah Haram, bumi bertuah Makkah dan Madinah. Dengan sempurnanya ibadat haji, sebuah perasaan tenang, lega dan bahagia jelas terpancar pada hati dhuyuf al-Rahman. Itulah nikmat agung yang diperolehi oleh hamba Allah yang menunaikan haji.

Justeru, dengan ‘semangat haji’ itu hendaklah kita pertahankan:

  1. Hati kita dengan sebaik mungkin daripada riya’, ujub, takabbur, dan lain-lain.
  2. Awasilah kita daripada sifat-sifat yang mazmumah.
  3. Perbuatan kita agar sentiasa diredhai Allah.
  4. Menjadi pendakwah kepada umat Islam dengan menjadi agen perubah masyarakat kea rah yang lebih baik.

Sebelum mengakhiri Bayan Linnas kali ini, suka kami nyatakan bahawa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui laman sesawangnya www.muftiwp.gov.my  akan cuba menjawab pelbagai persoalan semasa dalam masyarakat dan untuk lebih memudahkan lagi, telah kami bahagikannya kepada beberapa bentuk perkhidmatan, antaranya:

  • Bayan Linnas
  • Irsyad al-Fatwa
  • Irsyad al-Hadith
  • Irsyad Usul al-Fiqh
  • Al-Kafi li al-Fatawi

Pada saat yang sama juga bersempena dengan musim haji pada kali kami kemukakan Irsyad al-Fatwa Khas Haji & Korban untuk memberi pengetahuan dan juga maklumat seupaya mungkin agar manasik haji yang dilakukan dhuyuf al-Rahman benar-benar mendapat kemabruannya.

Semoga Allah kurniakan kepada dhuyuf al-Rahman dengan haji yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اَللّٰهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah hajiku ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”

 

Sekian, wassalam.

 

Akhukum fillah,

 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

3 Ogos 2016 bersamaan 29 Syawal 1437H

 

 

 

 

 

 

 

[1] Ibn Hajar berkata: Rafath adalah jimak. Sedangkan al-Azhari berkata: Rafath ialah nama bagi keinginan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan.

[2] Iaitu dosa-dosa kecil sahaja. Ada pendapat mengatakan bahawa ianya termasuk dosa besar dan segala dosa kecil iaitu yang membabitkan kezaliman kepada hamba-hamba Allah SWT. Inilah pendapat al-Qurtubi ‘Iyadh. Tetapi al-Tabari berkata: Ia ditanggung kepada kezaliman di mana orang tersebut bertaubat dan lemah daripada menunaikannya kembali (minta maaf dan membayar ganti rugi). Ini juga pendapat Ibn Nujaim.

[3] Haji mabrur telah ditakrifkan oleh ramai ulama seperti yang dinukilkan dalam Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani sebagaimana berikut:

  • Ibn Khalawaih berkata: “Haji mabrur ialah haji makbul yang diterima oleh Allah SWT.”
  • Al-Qurtubi berkata: “Semua pendapat hampir sama iaitu haji yang memenuhi semua hukum yang dilaksanakan dengan sempurnanya.”

[4] Dosa di sini sekalipun dosa kecil jika dia bertaubat pasti diampunkan.

e fatwa
e kiblat

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 181

Minggu Ini : 4794

Bulan Ini : 15713

Keseluruhan : 10244343

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji