Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

Soalan: Apakah terdapat anjuran daripada hadith berkaitan memakai selipar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Agama Islam merupakan satu agama yang amat menitikberatkan dari sudut aspek kebersihan rohani dan jasmani. Ini kerana, Allah SWT amat kasih dan saying kepada hamba-hamba-Nya yang bersih sebagaimana yang difirmankan di dalam al-Qur’an:

 

فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: “Di dalamnya (masjid) ada lelaki-lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang suka membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. [al-Taubah:108]

 

Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya mengatakan bahawa suci dalam ayat di atas suci daripada hadas (besar atau kecil), junub dan juga najis-najis. Kata al-Atha’, mereka beristinjak (bersuci) dengan air dan mereka juga tidak tidur dalam keadaan berjunub. [Lihat: Ma’alim al-Tanzil, 96/4]

 

  • Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اسْتَكْثِرُوا مِنَ النِّعَالِ، فَإِنَّ الرَّجُلَ لَا يَزَالُ رَاكِبًا مَا انْتَعَلَ

Maksudnya: “Perbanyakkanlah (selalulah) kamu memakai selipar kerana seseorang lelaki itu selalu memakainya apabila menaiki kenderaan”. [Riwayat al-Bukhari (2096)]

 

Makna Hadith

Menurut Imam al-Nawawi, makna hadith ini adalah apabila diumpamakan dengan orang yang menunggang adalah pada meringankan kesusahan ke atasnya dan sedikit kepenatannya serta melindungi kakinya daripada bahaya yang berada di jalan seperti kekasaran, duri, bahaya dan seumpama dengannya. Padanya juga, disunatkan ketika bermusafir memakai selipar atau selain daripadanya yang diperlukan ketika bermusafir. Selain itu juga, disunatkan juga seorang ketua mewasiatkan kepada sahabat-sahabatnya dengan perkara ini. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 73/14]

 

Oleh itu, dapat difahami daripada hadith ini bahawa Nabi SAW menganjurkan kita agar sentiasa memakai selipar atau alas kaki apabila hendak ke mana-mana kerana itu adalah salah satu cara untuk melindungi dan menjaga kaki daripada bahaya.

 

Adab Memakai Selipar

Antara adab yang dianjurkan oleh Nabi SAW ketika memakai selipar adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا انْتَعَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِالْيُمْنَى، وَإِذَا خَلَعَ فَلْيَبْدَأْ بِالشِّمَالِ، وَلْيُنْعِلْهُمَا جَمِيعًا، أَوْ لِيَخْلَعْهُمَا جَمِيعًا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin memakai selipar maka mulakanlah dengan kaki kanan. Mankala, apabila kamu ingin membuangnya maka mulakanlah dengan kaki kiri atau pakailah keduanya serentak atau membuangnya secara serentak”. [Riwayat Muslim (2097)]

 

Antara Petunjuk Nabawi di dalam hadith ini, boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

 

  • Memulakan memakai selipar dengan kaki kanan.
  • Memulakan membuang selipar dengan kaki kiri.
  • Memakai kedua selipar secara serentak dan membuangnya juga dalam keadaan serentak.

 

Tambahan pula, Nabi SAW melarang kita berjalan dengan menggunakan satu selipar sahaja. Ini diceritakan di dalam sebuah hadith:

 

  • Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا تَمْشِ فِي نَعْلٍ وَاحِدٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu berjalan dengan satu selipar”. [Riwayat Muslim (2099)]

 

Imam al-Nawawi mengatakan hukum berjalan menggunakan satu selipar adalah makruh. Jika tali (pemegang antara selipar dan jari) selipar itu terputus maka janganlah kamu berjalan dengan yang sebelah lagi (yang elok) sehingga kamu membaiki yang telah rosak itu. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 75/14]

 

Penutup

Kesimpulannya, hal ini menunjukkan bahawa agama Islam ini amat menitikberatkan akan keadilan dalam setiap perkara termasuklah di dalam pakaian. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kefahaman dalam mengamalkan sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

e fatwa
e kiblat

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 184

Minggu Ini : 4797

Bulan Ini : 15716

Keseluruhan : 10244346

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji