Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

QalamMufti36.png

Alhamdulillah, kami rafakkan kesyukuran kepada Allah SWT di atas pelbagai nikmat dan kurnian yang tak terhingga.

Pada 26 April 2019 yang lalu, kami rombongan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah berangkat menuju ke Melbourne, Australia dalam kerangka kajian ilmiah berkenaan isu pneumatic percussive stunning dalam proses penyembelihan halal dan fiqh minoriti serta perkongsian bicara dakwah. Alhamdulillah, setibanya kami di sini, jam menunjukkan hampir pukul 8 malam. Ketibaan kami di sini disambut oleh Konsul Muda di Konsulat Malaysia Melbourne iaitu Tuan Mohamad Nadzri Sani dan Encik Hamzah Shamsudin.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melbourne yang memakan masa hampir 8 jam menyebabkan kami berasa amat letih dan semestinya perut yang berkerongcong. Setibanya di lapangan terbang, tempat yang pertama dituju adalah restoran atau kedai makan berhampiran. Agen kami mencadangkan sebuah kedai ‘kebab turki’ yang agak terkenal iaitu Kebab King. Benarlah seperti yang dikata ‘nikmat makan hanya akan diperolehi bila kita benar-benar lapar’. Kebab yang dihidangkan walaupun bersaiz biasa, namun mamadai untuk dua orang makan. Walaupun saiznya agak besar, kami semua dapat menghabaiskan nya dek kerana perut yang benar-benar lapar.

Setiba kami di hotel kami bersolat dan melakukan syura untuk rancangan keesokan harinya lalu kami berehat. Kami merancang dalam pertemuan di sini untuk mengadakan liqa’ dengan pelbagai lapisan masyarakat Muslim di sini dan juga memahami serta mempelajari budaya masyarakat di sini.

Kami senaraikan beberapa pemerhatian awal yang kami lihat dalam masyarakat Melbourne:

Pertama: Kepatuhan terhadap undang-undang jalan raya amat tertib dalam kalangan masyarakat Melbourne.

Kedua: Konsep jalan raya yang mengintegrasikan sistem tram (keretapi dalam bandar) dan kenderaan lain seperti kereta, motosikal dan basikal amat menarik dan tersusun.

Ketiga: Sistem lampu isyarat yang serentak menjimatkan masa dan mengurangkan trafik.

Keempat: Pencemaran bunyi berada pada paras yang minimun dan tidak hingar-bingar. Ini menunjukkan sistem trafik yang baik dan berfungsi.

Kelima: Kelompok masyarakat yang multiracial (berbilang kaum) di sini termasuk umat Islam mewujudkan suasana Fiqh al-Ta’ayusy yang cukup baik. Mereka saling menghormati antara satu dan lain dan inilah resepi keharmonian masyarakat mereka.

Keenam: Masyarakat Islam Melayu (Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia) hidup dalam identiti Melayu yang amat terserlah, membuktikan bahawa budaya ketimuran masih wujud.

Ketujuh: Kesungguhan kelompok Melayu Muslim dalam membina dan mewujudkan suasana kemelayuan melalui nilai dan budaya Melayu Nusantara bersama masyarakat lain di Australia, harus dipuji.

Kelapan: Sikap mereka yang bersungguh melayan tetamu dan memuliakan mereka terpuji dan wajar dikagumi. Kami mengucapkan jazakumullah khairul jaza’ atas layanan yang diberikan.

Adapun nasihat saya kepada mereka agar jangan lupa asal usul dan budaya melayu yang terkenal dengan adab dan tatasusila pekerti yang tinggi. Apatah lagi ajaran Islam yang mengakhlakkan manusia kepada Insaniyyatul Insan sehingga ke martabat Ihsan.

Begitu juga dalam mempelajari serta mengamalkan “Fiqh al-Muraah” atau fiqh meraikan adalah suatu perkara wajib dalam menghormati sesama kita selaku manusia. Elakkanlah perpecahan dan perselisihan berkait isu furu’ dan cabang yang melampau.

Saya khulasahkan pertemuan ringkas dengan Masyarakat Islam Melbourne sebagai suatu ‘Sinar Kebahagian Menanti Kalian’ bersyaratkan hendaklah ditunjangi dengan ketinggian akhlak, adab dan agama. Kami akhiri dengan doa semoga saudara-saudara sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah Ilahi serta diberi ketabahan dalam meniti kehidupan ini. Amin.