|
Amalan
memberi salam kepada sesama Islam adalah suatu yang sangat dituntut
oleh Islam, kerana salah satu hak sesama Islam adalah menyebarkan
salam. Dengan mengucapkan salam itu dapatlah kita mengeratkan
lagi tali persaudaraan, mendekatkan yang jauh dan melahirkan
rasa kasih sayang. Walaupun ucapan salam itu pendek saja, tetapi
isi dan maksudnya adalah merupakan doa bagi mendapatkan kesejahteraan
dan keselamatan. Merujuk dalil sama ada daripada al-Quran atau
al-Hadis yang menggalakkan umat Islam memberi salam sesama Islam,
ia adalah dalam bentuk yang umum serta tidak membezakan lelaki
dan perempuan.
Antaranya
firman Allah bermaksud : “Apabila kamu diberi penghormatan
(dengan ucapan salam) hendaklah kamu menjawab dengan lebih baik
atau jawab yang seumpamanya”. Al-Nisa’ ayat 86.
Mengikut kaedah syarak sesuatu arahan atau hukum daripada Allah
dan RasulNya adalah merangkumi lelaki dan perempuan kecuali
dalil tertentu yang mengkhususkan sesuatu hukum itu kepada lelaki
atau perempuan sahaja.
Dalam
sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Ummu Hani’ binti Abu Talib
berjumpa Rasullah s.a.w. pada tahun pembukaan Makkah dan terus
memberi salam kepada baginda, lalu baginda bertanya siapa itu?
Fatimah memberitahu bahawa yang memberi salam itu ialah Ummu
Hani’ dan Rasullah pun menjawab salamnya.
Umar
al-Khattab juga pernah memberi salam ketika berjumpa dengan
beberapa orang wanita sambil berkata: “Aku adalah utusan
Rasullah kepada kamu sekelian.”
Bagaimanapun,
kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa lelaki boleh memberi salam
kepada perempuan yang sudah berumur dan tidak kepada perempuan
yang masih gadis atau muda.
Semua ini adalah pendapat atau pandangan ijtihad kalangan ulama’
berdasarkan kaedah “menutup pintu mungkar”. Namun terdapat
beberapa hadis dan amalan di kalangan sahabat serta tabiin mengenai
memberi salam lelaki kepada wanita. Antaranya hadis yang diriwayatkan
oleh Jarir yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah berjalan
dan berjumpa sekumpulan wanita lalu baginda memberi salam kepada
mereka.”
Begitu
juga dengan apa yang dilakukan Umar al-Khattab dan Ibnu Umar.
Ibnu Aun pernah bertanya kepada Ibnu Sirin: “Bolehkah saya memberi
salam kepada seorang perempuan?” Jawabnya: “Tidak ada salahnya”.
Demikianlah beberapa pendapat dan pandangan kalangan ulama’
mengenai hukum lelaki memberi salam kepada perempuan dan sebaliknya.
Satu
hal yang mesti difahami, iaitu ucapan salam adalah satu ibadat,
bukan sebagai satu ucapan atau kata-kata biasa yang diucapkan
seseorang. Justeru, ia hendaklah diucapkan dengan hati yang
ikhlas serta bertujuan merapatkan hubungan persaudaraan bukan
sebaliknya. Kalangan ulama’ yang mengharuskan pun berpendapat
bahawa wanita tidak wajib atau tidak perlu menjawab salam lelaki
jika ucapan itu bukan dengan niat yang baik dan ikhlas.
Kesimpulannya,
berpandukan pendapat jamhur (kebanyakan) ulama’ yang berasaskan
hadis dan amalan Rasullah s.a.w. serta kalangan sahabat bahawa
seorang, lelaki boleh memberi salam kepada wanita, jika sekiranya
ia tidak menimbulkan sebarang fitnah.
Wallahu A’alam |