|
Islam mengambil berat kesejahteraan dan keselesaan hidup umatnya.
Banyak ayat al-Quran dan hadis menganjurkan supaya umat Islam
hidup berbaik-baik, hormat menghormati dan tolong menolong
antara satu sama lain.
Menepati dan menunaikan janji adalah antara sifat yang
sangat dituntut Islam seperti firman Allah yang bermaksud : “Dan
penuhi (sempurnakanlah) perjanjian (dengan Allah dan manusia)
sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”-(Al-Israk:34).
Malah, dalam ayat lain Allah menerangkan bahawa mereka
yang sentiasa menunaikan janji adalah dianggap sebagai golongan
yang beriman, yang benar dan bertakwa kepada Allah s.w.t.,
seperti firman-Nya yang bermaksud: “…..Dan perbuatan
orang-orang yang menyempurnakan (menepati) janjinya apabila
mereka membuat janji……” – (AL-Baqarah:177).
Di samping itu, banyak pula hadis yang menuntut supaya
umat Islam menjadi umat yang menghormati janji. Malah,
Rasulullah sendiri pernah keluar menunggu beberapa hari kerana
menunaikan janjinya hendak berjumpa seseorang. Demikian juga
umat Islam dituntut supaya menjadi umat yang bertanggungjawab
terhadap janji yang dibuat, kecuali ada keuzuran atau halangan
yang tidak dapat dielakkan. Besar dosanya bagi orang yang suka
membuat janji dan sengaja tidak mahu menyempurnakannya, kerana
perbuatan itu boleh menyusahkan orang lain dan dianggap
tergolong dalam golongan orang munafik.
Sebagai seorang muslim yang yakin bahawa segala
sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah, maka
setiap kali membuat janji hendaklah menyebut “Insya Allah”
yang bermaksud : “Jika dikehendaki Allah”.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa ucapan itu bukanlah
satu alasan untuk tidak menunaikan janji yang dibuat.
Ucapan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai
dengan ‘azam untuk menunaikan janji itu supaya dia tidak
tergolong dalam golongan orang yang munafik. Sebutan “Insya
Allah” itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita
terhadap kekuasaan Allah, kerana kita yakin bahawa kita tidak
mampu melakukan sesuatu kecuali dengan izin Allah.
Allah berfirman, maksudnya : “Dan janganlah engkau
berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku
akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah
disertakan dengan berkata): “Insya-Allah”. Dan ingatlah akan
tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan tuhanku
memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang
dari ini”. – (AL-Kahfi : 23-24).
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menceritakan bahawa
pada satu malam, Nabi Allah Sulaiman yang mempunyai banyak
isteri,.0 bersumpah dengan menyatakan bahawa: “Pada malam ini
aku akan mendatangani semua isteriku dan masing-masing akan
mengandung dan melahirkan anak lelaki yang akan menjadi mujahid
(pejuang) menegakkan agama Allah.”
Ucapan itu tidak disertai dengan “Insya-Allah”
dan akhirnya yang mengandung hanyalah seorang isterinya. Itupun
melahirkan anak yang cacat.
Sabda Rasulullah, bermaksud “Kalaulah Nabi Allah
Sulaiman berkata “Insya-Allah” nescaya akan lahirlah zuriat yang
akan menjadi mujahid (pejuang) pada jalan Allah”. (Fath al-Bari;
jld. 6; m.s.558)
Kesimpulan ; Berdasarkan kepada hujjah dan alasan yang tersebut
di atas dapat kita faham bahawa betapa pentingnya menjaga
hubungan kita dengan Allah dan juga manusia. Sehingga Islam
mensyariatkan bahawa seseorang itu melafazkan kalimah “Insya
Allah” sekiranya ia berjanji hendak melakukan sesuatu
perkara yang ia tidak pasti dapat melakukannya atau tidak,
tetapi janganlah pula ini dijadikan alasan untuk melarikan diri
daripada menyempurnakan janji yang dibuat. Kerana kalau kita
tahu bahawa kita tidak akan dapat melakukan suatu perkara atau
menunaikan janji itu maka seharusnya kita berterus terang sahaja,
kalau tidak maka kita telah melakukan suatu pembohongan yang
terancang. Wallahua’alam. |