|
Beribadat dengan melakukan
pelbagai amal sebagai bekalan untuk akhirat seperti sembahyang,
puasa, membaca al-Quran, berzikir dan pelbagai lagi, adalah
sangat dituntut. Malah ia adalah tanggungjawab kita sebagai
khalifah Allah di muka bumi ini seperti firman Allah yang
bermaksud: “Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan
supaya beribadat kepadaku.”-(Az-Zariyat:56). Bagaimanapun,
sebarang ‘amal ‘ibadat yang hendak dilakukan mestilah mengikut
syarat rukun, peraturan dan adab-adabnya.
Di antara peraturan dan adabnya,
mestilah ibadat yang dilakukan itu tidak menyusah dan menganggu
orang lain. Sebagai contoh, orang yang ingin beribadat dengan
membaca al-Quran, dia boleh melakukannya bila-bila masa dan
sebanyak mana yang ia mahu, selama ia tidak mengganggu orang
lain dengan suara bacaannya itu. Sebab itulah dia dilarang
membacanya dengan suara yang kuat dan nyaring sehingga perbuatan
itu boleh mengganggu orang yang sedang tidur. Begitu juga dalam
sembahyang berjemaah, seseorang makmum dilarang membaca Fatihah
atau ayat lain dalam sembahyang dengan suara yang kuat kerana
perbuatan demikian boleh mengganggu dan mengelirukan makmum
lain.
Berbalik kepada persoalan yang
ditimbulkan, di kalangan ‘ulama, berdasarkan kepada hadis sahih,
sudah banyak memperkatakan mengenai syarat-syarat dan adab serta
etika seorang imam dan khatib yang seharusnya diikuti supaya dia
menjadi seorang imam atau khatib yang dihormati dan disegani.
Antara syarat
seorang imam dan khatib itu mestilah mempunyai pengetahuan agama
yang mencukupi, khususnya dalam bab sembahyang dan mereka juga
mesti fasih membaca al-Quran dengan makhraj dan tajwidnya yang
betul. Manakala adab dan etikanya pula, seorang imam atau khatib
itu mestilah peka dan prihatin dengan keadaan makmum di
belakangnya yang sudah pasti terdiri daripada manusia yang
mempunyai pelbagai ragam dan kedudukan serta peringkat umur dan
pengetahuan agamanya. Di samping itu, dia juga harus prihatin
dan mengambil kira keadaan masa, tempat dan suasana. Ammar bin
Yasir berkata: “Aku mendengar Rasullah
bersabda: “Sesungguhnya panjang sembahyang seseorang (imam) dan
pendek khutbahnya adalah tanda kefahamannya (terhadap ajaran
Islam), maka panjangkan sembahyang dan pendekkan khutbah”.
Maksud panjang sembahyang dalam
hadis ini ialah sembahyang lebih panjang daripada khutbah, bukan
bermaksud panjang sembahyang sehingga menyusahkan makmum. Ada
riyawat lain menyebutkan bahawa khutbah Rasullah dan
sembahyangnya adalah sederhana. Anas bin Malik pula berkata: “Aku
tidak pernah melihat orang sembahyang lebih ringkas dan lebih
sempurna selain daripada Rasulullah”. Dan dalam satu
peristiwa dimana Rasullah pernah menegur sahabat agungnya, Muaz
bin Jabal yang pernah menjadi imam sembahyang di sebuah
perkampungan dan membaca surah yang panjang. Tindakannya itu
menyebabkan seorang daripada makmum telah mufaraqah dan terus
sembahyang bersendirian kerana beliau terlalu banyak kerja yang
hendak diuruskan. Perbuatan makmum ini dimarahi oleh Muaz lalu
memberitahu Rasulullah. Rasulullah pun bersabda kepada Muaz,
maksudnya: “Apakah engkau hendak membuat fitnah” sambil
diulanginya tiga kali dan terus bersabda lagi: “Kalau engkau
membaca surah pendek-pendek, tentulah semua orang boleh
mengikuti engkau kerana di antara kalangan makmum ada yang sakit,
uzur, tua, kanak-kanak dan ada yang mempunyai banyak urusan”.
Rasulullah sendiri pernah mempercepatkan sembahyang tatkala
mengimamkan satu sembahyang semata-mata kerana terdengar
tangisan seorang kanak-kanak, kerana takut ibunya tidak
khusyuk.
Khutbah juga tidak seharusnya
dipanjangkan, cukuplah di antara 10 dan 15 minit sahaja.
Khutbah yang pendek, padat ditambah dengan penggunaan bahasa
yang baik adalah lebih berkesan daripada yang panjang
berjela-jela sehingga menjemukan dan membosankan para jemaah.
Apatah lagi di setengah masjid di Wilayah Persekutuan ini ketika
sembahyang Jumaat terdapat ramai para jemaah yang terpaksa
sembahyang di luar masjid sebab ruang dalam masjid telah penuh,
dimana mereka terdedah dengan panas terik dan kadang-kadang
hujan pula.
Kesimpulannya bahawa imam atau
khatib yang sering sahaja membaca surah-surah dan berkhutbah
panjang serta tidak mengambilkira kesesuaian waktunya sehingga
menyusahkan para jemaah adalah tidak selaras dengan sunnah
Rasulullah S.A.W. , Wallahu A’alam. |