|
Tidak
syak lagi bahawa wang faedah atau “interest” yang diberikan oleh
mana-mana bank konvensional adalah ditegah dan haram hukumnya seseorang
mengambil dan menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadinya atau
keluarganya seperti membeli makanan, pakaian, tempat tinggal atau
menggunakan wang itu untuk membayar hutangnya, walaupun orang yang
memberi hutang itu bukan Islam atau untuk membayar hutangnya, walaupun
orang yang memberi hutang itu bukan Islam atau untuk membayar cukai,
termasuk cukai pendapatan.
Sikap sesetengah orang tidak
mahu mengambil wang “interest” dan membiarkannya terus berada di
dalam bank adalah juga salah dalam ajaran Islam kerana ini bermakna dia
mengukuhkan lagi kedudukan bank ribawi serta menolong dan membantu
berkembangnya maksiat.
Menolong perkara yang haram adalah haram. Lebih malang lagi bagi umat
Islam yang menyimpan wang mereka di bank luar negara seperti di Eropah
atau Amerika dan tidak mengambil faedah “Interest”di mana
akhirnya wang itu digunakan oleh bank itu bagi membantu
pertubuhan-pertubuhan Kristian dan Yahudi yang berada di negara-negara
Islam bagi memantapkan lagi usaha mereka untuk mengkristiankan umat
Islam atau sekurang-kurangnya membuat pelbagai kegiatan bagi melemahkan
keimanan umat Islam dan seterusnya terpesong daripada ajaran Islam.
Oleh itu, wang faedah atau “interest” hendaklah diambil dan
diserahkan kepada Baitulmal untuk dibelanjakan dan membiayai
projek-projek kebajikan umum eperti membantu fakir miskin, anak-anak
yatim, membuat jambatan, jalan dan seumpamanya.
Kesimpulannya, ada empat hukum berkaitan penggunaan wang “interest”
atau mana-mana wang daripada sumber haram, iaitu :
-
mengambil dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi hukumnya
haram;
-
membiarkannya tersimpan dalam bank hukumnya haram juga;
-
mengambil dan merosakkannya seperti dibakar atau dibuang ke laut,
juga hukumnya haram;
-
mengambil dan menyerahkannya kepada Baitulmal, inilah yang dituntut.
Satu hal yang saya ingin jelaskan disini bahawa penggunaan wang itu pada
urusan kebajikan umum bukanlah termasuk dalam ertikata sedekah, cuma ia
satu cara perbelanjaan atau penggunaan wang haram pada satu-satunya
jalan yang diharuskan.
Mereka yang mengambil wang "interest" dan menyerahkannya
kepada Baitulmal tidak mendapat pahala sedekah, tetapi akan mendapat
pahala dari dua segi, iaitu:
-
keengganannya menggunakan wang haram untuk faedah sendiri adalah
satu sikap yang baik dan akan diberi pahala oleh Allah s.w.t.
-
dia sebagai orang tengah yang membuat kebajikan dengan
menyerahkannya kepada Baitulmal juga diberi pahala oleh Allah s.w.t.
Wallahu A’alam |