Laman Utama  Hari Ini :


SOAL JAWAB/KEMUSYKILAN AGAMA PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Soalan :
Saya ingin tahu apakah perbezaannya di antara ibadah Qurban dengan ibadah Aqiqah

Jawapan:

Sebelum saya menjawab kepada soal perbezaan antara dua jenis ibadat ini maka sukalah saya maklumkan di sini bahawa hukum kedua-dua ibadat ini adalah sunat muakkad atau dengan kata lain ibadat yang sangat dituntut untuk dilaksanakan dan besar pahalanya. Namun ia akan menjadi wajib sekiranya dinazarkan.

Ibadat Qurban sangat dituntut kepada orang yang menunaikan haji dan juga orang yang tidak menunaikan haji. Manakala ibadat Aqiqah pula adalah sangat dituntut kepada orang yang wajib memberi nafkah daripada hartanya kepada seseorang kanak-kanak itu. Tuntutan ini adalah bermula sebaik sahaja kanak-kanak itu selamat dilahirkan sehinggalah ia mencapai umur baligh. Apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai umur baligh sedang ia tidak pernah dilaksanakan Aqiqah untuknya maka tuntutan sunat itu adalah ke atas dirinya sendiri.

Memang terdapat sedikit perbezaan antara dua jenis ibadah ini. Perbezaan yang begitu ketara antara dua ibadah ini ialah dari segi masa pelaksanaannya. Ibadah Qurban hanya boleh atau sah dilakukan pada hari Raya Haji iaitu pada tanggal 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah tiap-tiap tahun. Manakala ibadah Aqiqah pula sah dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Ibadah Qurban dihubungkaitkan dengan ibadah haji manakala ibadah Aqiqah pula dihubungkaitkan dengan kelahiran anak.

:: Penafian :: Kerajaan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami semasa menggunakan maklumat dalam laman ini...

Hakcipta Terpelihara © PMWP
Webmaster