• MAJLIS RU'YAH HILAL RASMI SYAWAL 1431H LABUAN PDF Print E-mail

    Pejabat Mufti Wilyah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Cawangan Labuan, Jabatan Penyiaran Malaysia Cawangan Labuan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang merupakan salah satu tapak cerapan rasmi melihat anak bulan di Malaysia. Majlis tersebut telah dihadiri seramai 53 orang, antaranya Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan, wakil dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan, UMSKAL, Masjid Jamek an-Nur Wilayah Persekutuan Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan, JAWI, Jabatan Penyiaran Malaysia Cawangan Labuan dan Jabatan Pelajaran Malaysia Cawangan Labuan serta JUPEM dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan sebagai urusetia majlis tersebut. Majlis juga telah dihadiri oleh Dato' Seri Amaran bin Abu Bakar dan Encik Azli bin Ali, Pengarah Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Cawangan Labuan.

    Bacaan surah Yaasin dan tahlil telah diadakan di awal majlis tersebut bagi memberkati dan mendapat keredhaan Allah s.w.t dalam menjalankan kefardhuan yang telah diamanahkan. Sebanyak lima (5) buah 'total station' dan sebuah teleskop telah dipasang bagi memudahkan aktiviti cerapan matahari dan cerapan hilal (anak bulan) dilaksanakan. Para tetamu jemputan turut mempelajari teknik cerapan tersebut. Tepat pada waktu terbenamnya matahari iaitu ketika azan Maghrib berkumandang, para jemputan telah disajikan dengan juadah berbuka puasa dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipengerusikan oleh S.F. Tuan Haji Ahmad bin Ismail, Ketua Penolong Mufti, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan telah bermesyuarat bagi membuat keputusan mengenai kenampakan hilal di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum melaporkan ke urusetia Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

    Para jemputan juga turut menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah yang telah diketuai oleh Imam Besar Masjid Jamek an-Nur Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Mohd Najeeb bin Abdul Rahim. Majlis tersebut telah diakhiri dengan jamuan makan dan bermaafan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.