Kata - Kata Aluan dari S.S. Datuk Mufti
 |
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh |
Segala pujian-pujian hanya bagi Allah Tuhan semesta Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W Rasul terakhir, ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta para tabi'in dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kemudian.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana melayari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Laman web ini sewajarnya dapat dijadikan pemangkin kepada kesinambungan usaha dalam menyebarluaskan maklumat-maklumat Islam melalui Internet khususnya dalam bidang kefatwaan, falak syarie serta perkembangan ilmu-ilmu Islam semasa.
Adalah menjadi harapan agar pembangunan laman web ini dapat menambahkan lagi sumber rujukan dan maklumat di samping memandu umat Islam ke arah memahami dan menghayati syariat Islam berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah, memperkukuhkan tradisi ilmu Islam khususnya falak syarie dan fatwa serta menyumbang terhadap pembangunan Islam dalam masyarakat dan negara.
Melalui laman web ini, kami bersedia dalam membantu memberi nasihat dan panduan kepada masyarakat dalam persoalan-persoalan dan permasalahan berkaitan dengan aqidah, syariah, ibadah, sosial, ekonomi dan kefatwaan yang melibatkan isu-isu semasa. Sebarang kemusykilan boleh diajukan samada melalui email, surat menyurat atau berhubung terus ke pejabat ini.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menyumbang ke arah meningkatkan syiar Islam dan membangun umat dan negara ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan keredhaan Allah S.W.T.
Wassalam
S.S. Datuk Hj Wan Zahidi bin Wan Teh Mufti Wilayah Persekutuan |