• Soal Jawab Agama


    Masalah kerap kentut terutama ketika hendak menyiapkan diri untuk solat PDF Print
    Thursday, 30 December 2010 10:36

    SOALAN

    Saya seing mengalami masalah kentut terutama ketika hendak menyiapkan diri untuk solat. Ini menyebabkan setiap kali ingin bersolat saya ke tandas sama ada untuk memastikan kentut keluar atau memaksa buang air besar bagi memastikan rasa terkentut hilang. Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil masa yang lama sebelum mendirikan solat dan menyebabkan setiap kali waktu solat saya rasa fobia kerana saya tak seperti orang lain yang mudah sahaja untuk mendirikan solat tanpa perlu berulang kali ke tandas.

     

    JAWAPAN

    Kentut atau keluar angin yang agak banyak adalah antaranya disebabkan oleh sistem pernghadaman yang tidak cerna dengan sempurna atau anda mengambil makanan yang berangin seperti kekacang dan sebagainya. Dalam hal ini, anda hendaklah dengan segera berwuduk (bila telah masuk waktunya) dan terus sahaja mendirikan solat, tanpa menunggu lama. Elakkan dari rasa was-was dalam ibadat kepada Allah SWT kerana was-was itu adalah bisikan syaitan yang ingin menggangu anak Adam. Dan berdasarkan dalil hadis : HR al-Tarmidzi dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: "Tidak wajib wuduk kecuali kerana kedengaran bunyi atau bau", maknanya selagi telinga kita tidak mendengar bunyi dan hidung tidak menghidu bau, maka yakinlah yang anda tidak kentut, teruskanlah tunaikan sembahyang dengan yakin.

     

     

    <<Kembali

     
    Masalah resdung mengganggu khusyuk di dalam solat PDF Print
    Thursday, 30 December 2010 10:17

    SOALAN

    Saya mengalamai masalah resdung dimana seringkali lendir mengalir ke anak tekak melalui rongga hidung. Oleh itu bila setiap kali saya solat saya terpaksa berhenti seketika untuk meludah lendir tersebut ke sapu tangan. Ini menjadikan setiap kali saya solat saya telah melakukan pergerakan disamping peluang untuk mendapatkan khusyuk solat tiada langsung. Apakah solat yang saya lakukan itu sah? tidak sah? atau makruh?.

     

    JAWAPAN


    Hukum solat anda adalah sah kerana pergerakan anggota anda bukan pergerakan yang sengaja tanpa sebab (bermain-main) dan bukan juga melakukan perbuatan yang banyak dan berturut-turut pada uruf seperti melangkah tiga kali berturut-turut sama ada dengan sengaja atau tidak. Dan yang dimaksudkan dengan pergerakan yang banyak itu ialah sama ada menggunakan satu anggota sahaja atau lebih, seperti pergerakan kepala dan dua tangan, satu lompatan yang kasar atau seluruh anggota badan.

     

     

    <<Kembali

     
    Hukum memberitahu ciri-ciri bahagian aurat kepada bukan mahram tanpa menunjukkan bahagian tersebut PDF Print
    Thursday, 30 December 2010 09:51

    SOALAN

    Apakah hukum memberitahu ciri-ciri bahagian aurat kepada yang bukan mahram tanpa menunjukkan bahagian tersebut? Contohnya seorang perempuan memberitahu kepada kawan lelakinya tentang rambutnya yang panjang, lurus dan sebagainya. Tetapi lelaki tersebut tidak pernah melihat rambut perempuan itu.

     

    JAWAPAN

    Hukum memberitahu ciri-ciri bahagian aurat kepada yang bukan mahram adalah ditegah oleh syarak, maksudnya haram hukumnya walaupun orang itu tidak melihat aurat tersebut, kerana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a., Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang perempuan bergaul dengan perempuan lain kemudian menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya itu melihat perempuan yang diceritakannya". (HR al-Bukhari dan Muslim)

     

    Imam  Ibnu Kathir menyatakan di dalam Tafsirnya mengenai Firman Allah Subhanahu wa Taala (au nisaa`ihinna), maksudnya adalah, seorang wanita muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Illah (sebab) batas aurat wanita muslim dihadapan wanita bukan muslim sama seperti aurat perempuan dengan lelaki bukan mahram adalah kerana wanita bukan muslim ini tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan. Bagi wanita ahlu zimmah tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain). Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut.

     

    Wa-Allahu a'alam bi al-sawab.

    <<Kembali

     
    Perlakuan Membawa Kepada Zina Haram PDF Print E-mail

    SOALAN:

    Saya pernah melanggani pelacur tiga kali. Saya melakukan segala-galanya kecuali bersetubuh. Saya tahu dengan melakukan perbuatan itu saya melakukan dosa besar. Tetapi saya ingin tahu, adakah perbuatan saya itu dikira zina? Adakah saya termasuk dalam kalangan penzina (yang seharusnya dikenakan hukuman 100 kali sebatan)? Adakah jalan untuk saya bertaubat dan bagaimana caranya?

    JAWAPAN:

    Merujuk kepada persoalan ditimbulkan, sebagaimana diketahui, zina adalah perbuatan yang dikutuk Allah. Dalam hubungan ini, ada banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah melarang umat Islam melakukan zina. Antaranya, Allah berfirman, bermaksud: “dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk” (al-Isra’:32) Oleh kerana zina itu ialah perbuatan yang terkutuk, maka apa saja yang berkaitan dengannya, sama ada perbuatan, kelakuan, perkataan atau apa sahaja kegiatan yang boleh menjerumuskan atau membawa seseorang itu terjerumus ke dalam perbuatan zina, maka ia diharamkan Allah. Mengikut kaedah dalam ajaran Islam, perbuatan yang boleh membawa kepada perkara haram, maka ia juga haram. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang boleh membawa kepada perbuatan baik, berpahala, maka ia juga berpahala. Justeru, apa yang berlaku kepada anda adalah memalukan dan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Walaupun anda tidak melakukan zina tetapi bercumbu dengan pelacur dan melakukan perkara lain yang ditegah agama dianggap berdosa kerana ia lambat laun akan membawa kepada zina. Perbuatan itu haram disisi Islam walaupun tidak sama dengan dosa zina yang merupakan dosa besar. Mengikut hukum Islam sendiri, sekiranya anda tidak melakukan zina anda tidaklah dikenakan hukuman sebat sebanyak 100 kali. Tetapi melakukan suatu perbuatan yang boleh membawa kepada penzinaan itu adalah haram. Ini kerana perbuatan zina itu adalah haram, maka apa yang anda lakukan itu adalah haram kerana perbuatan itu akhirnya menuju ke arah penzinaan. Ini berasaskan kepada hadis Rasulullah SAW. Baginda melarang orang yang menternak kambing seumpamanya, daripada menternaknya di tepi sempadan orang lain walaupun ia masih berada dalam tanah miliknya sendiri tetapi kerana berdekatan dengan sempadan itu, ditakuti binatang ternakan itu boleh memasuki dan memakan tanaman orang lain. Oleh itu, ia dilarang oleh Rasulullah SAW. Ertinya Rasulullah SAW atau Islam melarang kita melakukan sesuatu yang boleh membawa kita terjebak ke dalam perbuatan haram. Oleh itu, segeralah bertaubat dan menyesal di atas perbuatan itu. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar, kuatkan iman dan rajin beribadat kepada Allah. Pintu taubat masih terbuka dan Allah Maha Pengampun terhadap hamba-Nya yang menyesal dan bertaubat. Insya Allah, taubat anda akan diterima Allah. Kembalilah kepada agama Islam dengan sebenar-benarnya supaya hidup anda diredhai dan di berkati Allah.

     

    <<Kembali

     
    Sunat Witir Berjemaah Untuk Ramadan PDF Print E-mail

    SOALAN:

    Setiap menjelang Ramadan kita akan bertemu semula dengan solat sunat Tarawih dan Witir tetapi sehingga sekarang saya masih keliru dengan keperluan mengerjakan solat sunat Witir. Sesetengah orang mengatakan kita perlu melakukannya selepas solat Tarawih secara berjemaah di surau atau masjid manakala yang lain pula mengatakan kita tidak perlu bersolat sunat Witir selepas Tarawih di surau atau masjid, sebaliknya kita boleh melakukannya di rumah saja. Saya harap mendapat sedikit penjelasan mengenai perkara ini.

    JAWAPAN:

    Antara sembahyang sunat yang sangat dituntut kita mengerjakannya ialah sembahyang sunat Witir. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Anas bin Malik yang bermaksud: “Wahai Anas! Hendaklah kamu melakukan tiga perkara ini sepanjang hidupmu; yang pertama sembahyang sunat Duha, keduanya ialah sembahyang sunat Witir sebelum kamu tidur dan ketiganya berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis.” Inilah tiga perkara yang dipesan oleh Rasulullah kepada sahabatnya, Anas bin Malik. Pada prinsipnya sembahyang sunat Witir ini adalah dijadikan sebagai sembahyang yang terakhir pada waktu malam. Maknanya, kalau seseorang ingin berqiyamullail dan melakukan pelbagai solat seperti sembahyang sunat Tasbih, sunat Mutlak dan sunat Tahajud, maka akhirnya hendaklah ditutup atau disudahi dengan sembahyang sunat Witir. Ini berasaskan hadis sahih yang bermaksud: “Jadikanlah akhir sembahyang kamu pada waktu malam itu dengan Witir.” Berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan, biasanya sejajar dengan kebiasaan dalam Ramadan, selepas kita melakukan sembahyang Tarawih, ia akan diikuti pula dengan sembahyang sunat Witir tiga rakaat. Ini sudah menjadi amalan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Sehubungan itu, seperkara yang patut disebutkan juga di sini ialah sembahyang sunat Witir sebenarnya adalah antara sembahyang yang tidak disunatkan kita berjemaah. Tetapi jika dilakukan secara berjamaah hukumnya harus. Ertinya, kita sembahyang sendiri, kecuali dalam bulan Ramadan apabila sunat Witir dituntut dilakukan secara berjemaah.. Inilah yang kita lakukan setiap Ramadan. Berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan, bagi pendapat saya, oleh kerana sunat Witir ini disunatkan kita berjemaah khusus pada Ramadan ini maka adalah baik sekiranya bersembahyang Tarawih disudahi dengan sunat Witir secara berjemaah di surau atau di masjid itu. Kemudian, apabila kita bangun pada waktu sahur untuk mengerjakan qiamullail, bersembahyang tahajud atau melakukan apa-apa ibadat yang lain maka tidak perlu lagi kita menunaikan solat sunat Witir itu. Sebaliknya, memadailah dengan sekali Witir yang sudah ditunaikan itu. Ini berpandukan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tidak ada dua Witir dalam satu malam” (riwayat Ahniad dan Abu Daud). Ini bermakna kalau kita sudah sembahyang Witir berjemaah selepas sembahyang tarawih di surau atau masjid tadi maka selepas kita bangun pula pada waktu sahur dan melakukan pelbagai ibadat sunat yang lain maka tidak boleh lagi kita tutupkan ibadat kita itu dengan sembahyang Witir bagi kali yang kedua. Cukuplah selepas kita melakukan Witir bagi kali yang pertama tadi. Sebabnya memang ada hadis bahawa Rasulullah SAW pernah bersembahyang iaitu selepas sembahyang Isyak baginda bersembahyang Witir, kemudian apabila baginda bangun bertahajud pula, baginda tidak lagi mengerjakan sembahyang sunat Witir. Dengan penerangan ini, diharapkan tidak lagi menimbulkan kekeliruan kepada saudara yang bertanya. Bagaimanapun, terpulanglah kepada setiap individu — kalau seorang itu merasakan bahawa dia hendak menjadikan Witir ini sebagai penutup sembahyang maka selepas dia sembahyang Tarawih tidaklah perlu dia sembahyang Witir tetapi apabila dia bangun tengah malam dan mengerjakan sunat Tahajud dan sebagainya maka bolehlah dia mengerjakan sunat Witir kemudiannya. Tetapi sekiranya dia sudah mengerjakan sunat Witir selepas Tarawih tadi, maka tidak perlulah dia mengerjakan Witir sekali lagi. Khusus bagi bulan Ramadan ini, adalah lebih afdal seseorang itu sembahyang Witir berjemaah bersama imam selepas Tarawih. Kemudian kalau bangun tengah malam nanti, bolehlah dia mengerjakan sembahyang yang lain tanpa perlu sembahyang Witir lagi. Sebagaimana yang disebutkan awal tadi, sembahyang sunat Witir hanya disunatkan kita berjemaah pada Ramadan saja dan kita mendapat fadilat berjemaah daripadanya Sedangkan pada bulan lain, kita tidak disunatkan sembahyang Witir berjemaah. Seperkara yang tidak kurang penting ialah janganlah seseorang itu melakukan dua kali Witir. Kalau seseorang melakukan dua kali Witir, Witir yang kedua tidak dianggap Witir lagi, Ia mungkin jatuh sebagai sunat Mutlak. Sekiranya dia lakukan juga dua kali Witir dalam satu malam maka dia sudah melakukan bida’ah dalam agama.

     

    <<Kembali

     
    << Start < Prev 1 2 3 4 Next > End >>

    Page 1 of 4