AL-AFKAR #91: HUKUM MENYEDIAKAN MAKANAN UNTUK SEMBAHAN BERHALA

 

 

5.jpg

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya. Setiap kali musim perayaan tahun baharu Cina, kawan mak saya akan meminta mak untuk membuat beberapa juadah makanan. Makanan tersebut adalah bertujuan untuk dipersembahkan kepada “Dato’ Gong” iaitu berhala sembahan bagi keluarga mereka kerana masakan mak sedap dan disukai oleh “Dato’ Gong”. Adakah dibolehkan kepada mak untuk membuat sedemikian? Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Dato’ Gong atau dikenali juga sebagai Datuk Keramat merupakan roh semangat yang dipuja oleh bangsa cina di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand sebagai dewa tempatan. Di dalam bahasa cina ia dipanggil dengan nama Na Tuk Kong. Dewa ini dipilih jika sekiranya dalam hidupnya telah melakukan banyak kebaikkan, jasa atau sebagainya, maka apabila dia meninggal dunia, kemungkinan besar roh mereka akan dilantik untuk menjadi dewa[1].

Menurut ajaran agama Islam, menyembah sesuatu yang dianggap tuhan selain daripada Allah SWT merupakan amalan syirik. Bahkan di dalam Al-Quran jelas dinyatakan pemujaan berhala yang dianggap dewa adalah haram dan ia merupakan dosa besar.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)  

Merujuk kepada soalan yang ditanyakan, adakah dibolehkan untuk membantu menyediakan makanan yang bertujuan untuk dipersembahkan kepada berhala orang bukan Islam?

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Ma’idah: 2)

Melalui ayat ini, Allah SWT secara jelas melarang manusia untuk membantu manusia yang lain dalam melakukan dosa. Adapun muslim yang hendak atau sedang berbuat maksiat, maka menjadi tanggungjawab seorang muslim yang lain untuk menghalangnya.

Syariat Islam menghukumkan harus bagi aktiviti jual beli diantara orang Islam dan bukan Islam. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah membeli daripada seorang Yahudi makanan (bijirin barli) secara kredit, dengan menggadaikan baju besi Baginda.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, no.2096)

Namun begitu, Imam Nawawi menyatakan bahwasanya hukum menjual barang kepada orang yang membeli barangan tersebut untuk kegunaan maksiat atau melakukan dosa terbahagi kepada dua:

Pertama:

نَقَلَهُ الرُّويَانِيُّ وَالْمُتَوَلِّي عَنْ أَكْثَرِ الْأَصْحَابِ يُكْرَهُ كَرَاهَةً شَدِيدَةً وَلَا يَحْرُمُ

Maksudnya: al-Ruyani menyatakan daripada majoriti ulama’ yang lain bahawa hukumnya adalah sangat makruh tetapi tidak haram.

Kedua:

يَحْرُمُ وَبِهِ قَطَعَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ وَالْغَزَالِيُّ فِي الْإِحْيَاءِ وَغَيْرُهُمَا مِنْ الْأَصْحَابِ

Pendapat (kedua) yang paling sahih: Haram, dan inilah pegangan yang qat’ie (diputuskan/ditegaskan) oleh al-Syeikh Abu Hamid dan al-Ghazzali dalam al-Ihya’ dan selain mereka daripada kalangan Ashab.

(Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/353)

Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum membantu menyediakan makanan yang bertujuan untuk dipersembahkan kepada berhala orang bukan Islam adalah haram kerana tujuannya jelas untuk digunakan bagi ritual ibadat dalam penyembahan dewa. Begitu juga keadaan ini dianggap sebagai pertolongan dalam perlakuan maksiat, sedangkan perbuatan syirik itu adalah maksiat terbesar.

Kami menasihatkan sebaiknya menjelaskan kepada pembeli tersebut secara berhemah di atas larangan ini supaya tidak berlaku salah faham dan ketidak puasan hati. Bagi urusan jual beli yang telah dilakukan sebelum ini, kami menasihatkan supaya penjual memohon keampunan kepada Allah SWT terhadap kesilapan yang dibuat.

Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Allah SWT memaafkan dari umatku salah tanpa sengaja, lupa dan terpaksa.

(Hadis riwayat Ibnu Majah, No. 2045)

Moga-moga Allah SWT menerima taubat dan amalan yang kita semua lakukan.

WallahuA’lam.

[1] https://www.researchgate.net/publication/267934396_Datuk_Kung_dan_Guan_Yin_Ong_dan_Huat-Satu_Kajian_terhadap_lesikal_bahasa_yang_mempunyai_unsur_agama_Cina