Al-AFKAR #103: HUKUM MUSLIM MEMAKAN MAKANAN DAN BUAH-BUAHAN SEMBAHAN BAGI BERHALA

 

 

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya, dahulu ketika kecil, keluarga saya di kampung berjiran bersama keluarga berbangsa Cina yang beragama budha. Di depan rumah mereka terdapat satu tokong kecil yang di dalamnya terdapat patung. Yang menarik minat saya, kadang-kadang terdapat makanan yang lazat dan buah-buahan yang diletakkan dihadapan patung tersebut. Di atas kenakalan diri, saya pernah mengambil dan makan buah-buahan dan ayam pangang yang terdapat di dalam tokong tersebut kerana lapar. Apabila sudah dewasa kini, bila diingatkan kembali saya merasa serba salah dengan perbuatan tersebut. Soalan saya, apakah hukum saya memakan makanan dan buah-buahan tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…”

(Surah al-Baqarah: 172)

Ayat tersebut merupakan suruhan Allah SWT kepada hambanya untuk mencari rezeki daripada sumber yang terbaik lagi halal. Tuntutan supaya berwaspada dan berhati-hati dalam mencari rezeki adalah amat penting kerana ia adalah zat yang akan bersatu menjadi darah daging manusia itu. Kerana sesungguhnya seorang hamba yang memakan daripada sesuap rezeki yang haram ke dalam perutnya. Nescaya Allah SWT tidak akan memakbulkan doanya selama 40 hari dan setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya.

Bukan itu sahaja, Nabi SAW mengajar umatnya menjauhi perkara syubhat sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis;

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.

(Hadis riwayat Tirmizi, No.1205)

Meskipun perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas melalui nas-nas al-Quran dan Sunnah, akan tetapi di antara dua perkara tersebut disitu terletaknya perkara syubhah atau kesamaran yang menjadi keraguan status sama ada ia adalah haram atau halal. Hadis tersebut memberi petunjuk kepada muslim untuk menjauhi perkara-perkara syubhah kerana dibimbangi akan terjebak ke dalam perkara-perkara yang haram.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apakah hukum muslim memakan makanan dan buah-buahan sembahan berhala orang bukan Islam? Bagi menjawab persoalan ini, kami pecahkan kepada beberapa jawapan supaya ia membantu pembaca untuk lebih memahami berkenaan isu yang diajukan. 

Pertama.

Mengambil makanan dan buah-buahan di dalam tokong tersebut tanpa meminta izin kepada pemiliknya merupakan satu perbuatan mencuri. Di dalam Islam, jelas Allah SWT mencela umat Islam daripada mencuri harta manusia yang lain kerana ia tergolong di dalam dosa-dosa besar.

Firman Allah SWT;

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT dan Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

(Surah al-Maidah: 38)

Maka demikian pembalasan dan hukuman yang dijanjikan Allah SWT kepada pencuri semasa di dunia lagi. Bahkan Allah SWT melaknat kepada sesiapa yang mencuri kerana mencuri merupakan perbuatan yang zalim.

Walaupun berniat mengambil makanan tersebut atas sebab “lapar” namun jika ia diperolehi dengan cara mencuri maka ia tetap salah. Ini adalah kerana perbuatan haram dan berdosa besar tidak akan terluput lalu bertukar menjadi halal, hanyasanya berniat atas dasar kebaikkan atau dengan terma yang lebih mudah, niat yang baik tidak boleh menghalalkan cara.

Kedua.

Umat Islam dibenarkan untuk memakan makanan yang disembelih oleh orang Islam atau ahli kitab. Sepertimana firman Allah SWT di dalam al-Quran;

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

Maksudnya: Pada hari ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)

(Surah al-Maidah: 5)

Namun begitu, agama budha bukanlah agama yang diturunkan kitab kepada mereka dan sudah pasti mereka bukan daripada kalangan ahli kitab. Oleh itu, hukum memakan makanan sembelihan bukan ahli kitab adalah haram. Ini adalah sepertimana firman Allah SWT;

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ

Maksudnya:“ Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya...”

(Surah al-An’am: 121) 

Maka jelas memakan makanan sembelihan bukan Islam (bukan ahli kitab) adalah haram kerana cara sembelihan mereka yang tidak mengikut syara’.

Ketiga.

Apakah hukum memakan buah-buahan yang disembahkan kepada berhala?

Buah-buahan merupakan makanan yang dikategorikan sebagai makanan tetapi ia bukan makanan daripada haiwan sembelihan. Begitu juga seperti kuih-muih, roti dan sebagainya. Maka pada keadaan ini, adakah hukumnya sama seperti hukum memakan makanan yang disembelih oleh orang bukan Islam juga?

Kata al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kufar selama mana ia (makanan) bukan dari sembelihan mereka.

(Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 6/77)

Ini menunjukkan bahawa memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam adalah dibolehkan tetapi semestinya makanan tersebut bukan daripada haiwan sembelihan mereka.

Namun begitu, terdapat juga sebahagian ulama’ yang melarang umat Islam untuk memakan buah-buahan dan seumpamanya sepertimana hukum yang sama bagi haiwan sembelihan bukan Islam. Ini adalah adalah perbuatan syirik, kerana makanan tersebut adalah makanan yang disembah kepada dewa atau berhala sebagai tanda untuk mendapat sesuatu ganjaran yang baik di dalam urusan hidup.

Kata al-Habib Abdur Rahman bin Muhammad di dalam penulisannya;

ﻭﺇﻣﺎ ﺃﻥ ﻳﻘﺼﺪ ﺑﻪ ﺍﻟﺘﻘﺮﺏ ﻟﻐﻴﺮ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻛﻤﺎ ﻳﺘﻘﺮﺏ ﺇﻟﻴﻪ ﻣﻌﻈﻤﺎً ﻟﻪ ﻛﺘﻌﻈﻴﻢ ﺍﻟﻠﻪ ﻛﺎﻟﺬﺑﺢ ﺍﻟﻤﺬﻛﻮﺭ ﺑﺘﻘﺪﻳﺮ ﻛﻮﻧﻪ ﺷﻴﺌﺎً ﻳﺘﻘﺮﺏ ﺇﻟﻴﻪ ﻭﻳﻌﻮّﻝ ﻓﻲ ﺯﻭﺍﻝ ﺍﻟﺬﻳﻢ ﻋﻠﻴﻪ ﻓﻬﺬﺍ ﻛﻔﺮ ﻭﺍﻟﺬﺑﻴﺤﺔ ﻣﻴﺘﺔ

Maksudnya: Jika sekiranya tujuaannya penyembahannya kepada selain daripada Allah SWT sepertimana dengan mengagungkannya sama seperti Allah SWT, seperti sembelihan yang dipersembah sebagai penghargaan dan menjadi sesuatu tanda mendekatkan diri dan sebagai penghapusan dosa, maka perbuatan ini mengakibatkan kekafiran dan binatang sembelihan yang disembahkan itu menjadi bangkai.

(Rujuk Kitab Bughyah al-Mustarsyidin, 255)

Kesimpulan bagi isu ini, kami berpandangan bahawa memakan makanan yang disembelih oleh orang bukan Islam (bukan ahli kitab) yang dipersembahkan kepada berhala adalah haram. Adapun begitu, memakan buah-buahan atau sejenis yang dipersembahkan kepada berhala adalah dibolehkan. Tetapi haram jika diambil dengan cara mencuri.

Kami lebih cenderung agar dijauhkan sebagai keluar daripada khilaf. Begitu juga, sekiranya seseorang itu atas dasar waraknya dia dalam menjaga keperibadian diri, dinasihatkan agar dielakkan untuk memakannya tetapi tidak melarang orang lain berbuat begitu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Semoga Allah SWT sentiasa menghidayahkan kepada kita dengan petunjuknya. Amin.

WallahuA’lam.